BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 13, 2011

Thailand Dilanda Banjir - Bekalan Beras Masih Mencukupi

Sekarang sudah mula kedengaran orang ramai bercerita tentang bekalan beras yang mungkin tidak mencukupi di pasaran Malaysia. Rakyat Malaysia kini cenderung untuk saling menasihati antara satu sama lain supaya memberi stok beras yang mencukupi. Sebaliknya, berita terbaru dari Menteri Pertanian mengatakan bahawa orang ramai tidak perlu panik  Barangkali kutu beras akan suka dengan pertambahan kediaman baru di negara ini sekiranya stok beras yang disimpan terlalu banyak sehingga tersimpan begitu lama. Apakah nanti akan terjadi, bak peribahasa baru "Kerana takutkan bekalan banjir, kutu beras berpesta beras."

Rakyat jangan panik beli beras

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan masalah kekurangan bekalan beras dari Thailand ekoran banjir besar yang melanda negara itu ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah menyediakan stok beras secukupnya untuk rakyat di negara ini dan memberi jaminan tidak akan timbul masalah kekurangan bahan itu.

Menurutnya, bekalan beras mencukupi kerana perjanjian hadapan yang ditandatangani dengan Thailand sebanyak 307,000 tan metrik setahun dan negara itu sudah menyediakan stok bekalan seperti yang dijanjikan.

“Separuh daripada bekalan sudah berada di dalam negara dan selebihnya berada di tempat yang selamat di Bangkok dan tidak terlibat dengan banjir serta akan dibawa masuk dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Harta Intelek Herba di sini semalam.