Kaedah baru caj telefon bimbit mengunakan air mendidih
Kaedah baru caj telefon bimbit mengunakan air mendidih
Sebuah syarikat Jepun memperkenalkan kaedah terbaru mengecas telefon bimbit di luar rumah selepas bencana alam melanda iaitu dengan memanaskan sebuah periuk di atas unggun api.
Periuk terma elektrik tersebut yang dikenali sebagai Hatsuden-Nabe menukar haba air mendidih kepada tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke peralatan seperti telefon pintar, pemain muzik dan sistem pengesan kedudukan global.
SEORANG kakitangan syarikat TES NewEnergy menunjukkan sebuah periuk yang menindih air boleh mengecas sebuah telefon bimbit dalam satu demonstrasi baru-baru ini.
Syarikat TES NewEnergy yang beribu pejabat di Osaka, mula menjual periuk itu di Jepun pada harga AS$299 (RM907) bulan ini sebelum ia dipasarkan di negara-negara membangun tidak lama lagi.
Periuk berkenaan dilengkapi bahan seramik termaelektrik yang menghasilkan arus elektrik melalui perbezaan suhu 550 darjah Celsius di dasar periuk dan air mendidih di dalamnya pada suhu 100 darjah Celsius.
Syarikat berkenaan menyatakan, gajet itu mengambil masa tiga hingga lima jam untuk mengecas sebuah iPhone dan para pengguna boleh memasak makanannya pada sama yang sama.
“Saya mendapat idea mencipta periuk ini apabila melihat rakaman televisyen yang memaparkan mangsa-mangsa gempa bumi membuat unggun api untuk memanaskan badan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TES NewEnergy, Kazuhiro Fujita. – AFP
Britney Spears dilarang ada telefon bimbit
Penyanyi Britney Spears, 29, telah dilarang daripada memiliki telefon bimbit sendiri untuk mengawal tingkah lakunya.
Larangan tersebut dilihat sebagai salah satu langkah yang diambil oleh individu terdekat dengan penyanyi itu bagi mengelak dia mengulangi kesilapan-kesilapan pelik sebelum ini.
“Orang yang paling rapat dengan Britney sentiasa memerhati gerak-gerinya bagi memastikan dia berada pada trek yang sepatutnya.
“Salah satu pendekatan yang diambil adalah melarangnya daripada memiliki telefon bimbit kerana ia membantu orang lain untuk mengawal dirinya,” kata satu sumber seperti dipetik akhbar Sun.
Pada tahun lalu, bekas pengawal peribadinya Fernando Flores, 30, mendakwa penyanyi itu telah mengirimkan beberapa keping gambar bogel yang diambil sendiri menggunakan telefon bimbit.
Padah guna telefon bimbit semasa petir:
Remaja perempuan maut dalam bangsal
Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.
Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd. Firdaus, 16, sudah meninggal dunia di bangsal kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ini berikutan ahli keluarga mencarinya setelah tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pukul 4.30 petang.
Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Rosnah Dollah, 49, berkata pada mulanya dia menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang terletak berhampiran rumah, namun terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak pergi ke situ.
“Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah.
“Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini.
Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, dia kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut.
“Saya teringat untuk mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian,” katanya.
Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat sakit kencing manis. Dia kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari.
Bahaya Telefon bimbit, boleh menyebabkan kanser.
Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit.
Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia,” kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin.
Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak,” kata Presiden IARC, Jonathan Samet.
Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon.
Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun.
“Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka,” kata Samet.
Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan. – AFP
|