BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 16, 2011

Kurang Tidur Pendek Usia - Tidak Cukup Tidur Bahayakan Nyawa

MANUSIA MESTI TIDUR ENAM HINGGA LAPAN JAM SEHARI - TIDUR KURANG DARIPADA ENAM JAM MEMBAWA PADAH! TIDUR LEBIH DARIPADA SEMBILAN JAM JUGA MENGUNDANG MAUT.

Kurang tidur kini merupakan satu masalah serius di kalangan umat manusia. Dahulu kita biasa dengar bahawa manusia yang banyak memberi sumbangan, rajin bekerja untuk memajukan organisasi pergi lebih awal menemui Tuhan. Kata-kata positif seperti Tuhan lebih sayangkan orang yang baik, rajin memberi sumbangan dan suka berbakti kini mula menimbulkan persepsi yang lain. Rupa-rupanya kurang tidur semata-mata untuk menyiapkan urusan kerja tepat pada masanya boleh menjadi punca pendek umur. Sebab itulah sering didengari ramai pekerja yang rajin mati awal. Steve Jobs yang banyak memberi sumbangan kepada dunia juga pergi pada usia 56 tahun. Steve Jobs meninggal kerana penyakit jantung. Sebelum ini, pernah dilaporkan bahawa seorang penyanyi nasyid yang juga merupakan ketua kumpulan nasyid popular meninggal dunia pada usia yang cukup muda iaitu sekitar 30-an. Allahyarham dilaporkan merupakan seorang yang rajin, berfikir dan memberi sumbangan besar kepada kejayaan kumpulan nasyid tersebut.

Kurang Tidur Pendek Usia - Tidak Cukup Tidur Bahayakan Nyawa - 48 dan 15 peratus berisiko mati sakit jantung, angin ahmar

LONDON: Kajian terbaru menunjukkan tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan.

Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama. Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau. Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting, katanya. Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar.

Amalan tidur lewat dan awal pagi sebenarnya umpama bom jangka kepada kesihatan. Jadi, bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit membahayakan nyawa seperti itu, kata penulis bersama kajian, Profesor Francesco Cappuccio.

Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard. Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain.

Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas, kata pakar. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.

Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan. Agensi