BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Oktober 21, 2011

PTPTN saman 104,083 peminjam ingkar bayar balik

Semasa aku masih menuntut di universiti, aku mendapat tajaan dan bukan pinjaman, maka aku dikategorikan sebagai salah seorang insan yang beruntung di muka bumi ini. Sehingga kini aku masih tidak memahami kenapa masih ramai peminjam PTPTN masih enggan membayar balik pinjaman yang pernah dibuat. Pada pengetahuan aku, duit PTPTN itu akan dikitar semula untuk digunakan bagi pelajar-pelajar baru yang memerlukan bantuan pinjaman wang untuk membiayai pengajian mereka.

PTPTN saman 104,083 peminjam ingkar bayar balik

SUNGAI PETANI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memfailkan saman di mahkamah terhadap 104,083 peminjam yang ingkar membayar balik pinjaman bagi tempoh 2007 sehingga 30 September lalu.

Anggota Lembaga Pengarahnya Datuk Tajul Urus Md Zain berkata daripada jumlah itu, sebanyak 69,573 saman mendapat perintah penghakiman bersih daripada mahkamah.

"PTPTN terpaksa mengenakan tindakan penguatkuasaan saman yang dihantar ini kepada peminjam-peminjam tersebut memandangkan mereka tergolong dalam kategori tegar yang ingkar bayar balik pinjaman," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata PTPTN hanya menerima balik bayaran pinjaman sebanyak RM2.7 bilion daripada 725,000 peminjam bagi tempoh 1997 sehingga bulan lalu, berbanding jumlah yang patut diterima sebanyak RM 5.6 bilion.

"Ini menunjukkan peminjam yang bayar balik pinjaman adalah sebanyak 77 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan sebanyak 937,000 peminjam yang patut bayar," katanya.

Beliau berkata untuk tahun ini iaitu sehingga 30 September lalu PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan sebanyak RM4.16 bilion kepada 172,134 penerima biaya.

"Daripada jumlah itu PTPTN telah mengeluarkan pinjaman pendidikan sebanyak RM2.35 bilion," katanya selepas merasmikan Program Kemasyarakatan Anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok dengan kerjasama PTPTN, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Tajul Urus turut meminta peminjam yang mempunyai kesulitan membuat pembayaran balik agar berhubung dengan PTPTN bagi menyelesaikan mereka, bukan melarikan diri.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pelaburan PTPTN Tuan Din Tuan Mat yang turut hadir berkata PTPTN menerima reaksi positif selepas pelancaran semula Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dua bulan lalu.

Katanya kutipan menerusi akaun pendeposit, SSPN mencatatkan peningkatan sebanyak 100 peratus.

"PTPTN meletakkan sasaran RM60 juta dapat dikutip daripada SSPN untuk tempoh tahun ini berikutan kutipan memberangsangkan sepanjang minggu lalu iaitu sebanyak RM3.6 juta," katanya. - Bernama