BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 04, 2011

Gaji Naik Empat Puluh Peratus - Makin Ramai Kakitangan Awam Kerajaan Kena Cukai Pendapatan?

Gaji Kakitangan Awam Kerajaan Naik Empat Puluh Peratus : Gaji Kakitangan Awam 2012 Naik Sehingga 40% & Gaji Satu Lapis Diwujud Semula

Kakitangan kerajaan bakal naik gaji sehingga 40%? Kalau betul berita gaji kakitangan awam 2012 naik kakitangan naik gaji ini, Alhamdulillah. Kalau diikutlah kenaikan sehingga 40% sangatlah tinggi tetapi dilihat sepadan memandangkan taraf hidup rakyat Malaysia pun dah melambung tinggi. Yang pastinya, berita kenaikan gaji dalam Bajet 2012 akan ditunggu-tunggu. Dan kami pasti slot pengumuman seperti kenaikan gaji kakitangan awam ini akan boleh didengar pada slot terakhir pengumuman Bajet 2012.  Pada awalnya, ramai yang mengatakan :

        Kakitangan kerajaan akan mendapat bonus yang lumayan dan gaji kakitangan awam 2012 naik. Adakah berita bonus lumayan ini dan kenaikan gaji ini akan menjadi realiti untuk kakitangan awam?

        Ada yang meramalkan gaji kakitangan awam 2012 naik sehingga 30 – 40% tetapi semua elaun dihapuskan. Kalau begini, nampaknya makin ramai yang akan kena bayar income tax.

        Dan ada juga yang meramalkan, gaji kakitangan awam 2012 naik sehingga 30 – 40% tetapi semua  elaun diselaraskan ke RM500 untuk semua. Walaubagaimanapun, namapun ramalan.

Kalau tahun lepas, kakitangan awam menerima bantuan kewangan sebanyak RM500, tahun ini bonus setengah bulan gaji. Dan paling terbaru, berita gaji kakitangan awam 2012 naik sehingga 40% mula kedengaran.

    Gaji satu lapis sektor awam diwujud semula, naik hingga 40 peratus

    KUALA LUMPUR— Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.

    Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).

    “Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

    Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu. Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum.

    Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus. Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. Satu sumber berkata, “langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred.”

    “Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat,” kata beliau yang turut merujuk kepada permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB.

    Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu.

    “Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan. “Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam … kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing,” kata sumber itu sambil menambah, maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan.

    “Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus,” kata sumber itu lagi.

    Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana. Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan. SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam. SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota.

    Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi. The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991.

    Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.

    Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini. Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Sumber: The Malaysia Insider