Mohd Norman Mohamed Salleh Dicari - Ibu Kandungmu Merinduimu. Carilah Ibumu Dan Dapatkan Keredhaan Di Akhirat
Kali ini saya ingin menyebut nama Mohd Norman bin Mohamed Salleh yang berusia sekitar 29 tahun (pada tahun 2009) yang sedang dirindui oleh ibunya. Wahai Mohd Norman Mohamed Salleh, sekiranya anda masih hidup di muka bumi ini, carilah ibumu, sesungguhnya syurga di bawah tapak kaki ibu. Mohd Norman Mohamed Salleh, jika anda membaca petikan berita di bawah ini, ketahuilah, betapa ibumu merinduimu. Apakah budi dan jasa seorang anak, selain mengubati kerinduan ibunya? Ketika ini ibumu amat memerlukan kehadiranmu. Carilah dia kembali. Wahai Mohd Norman Mohamed Salleh, kembalilah kepada ibumu. Sesungguhnya kamu bukan anak yang derhaka. Kamu dipisahkan, dan kini kamu mampu untuk menghubung apa yang kamu hilang. Magic-magic in the world, temukan kembali Mohd Norman Mohamed Salleh dengan ibunya.
Ibu rindu anak dipelihara keluarga angkat
Rujukan: http://www.hmetro.com.my (Jumaat - 11 Disember 2009)
KUANTAN: “Saya merayu suami isteri yang mengambil adik sebagai anak angkat menghubungi saya segera kerana ibu bapa kami uzur dan merinduinya,” kata peniaga makanan, Rosnawati Mohamad, 44.
Rosnawati dari Jalan Datuk Wong Ah Jang di sini, berkata ibunya sering menyebut nama adiknya, Mohd Norman, 29, dan merindui sejak diserah kepada keluarga angkat ketika berusia empat hari.
Ibunya, Zaharah Jusoh, 64, menghidap darah tinggi manakala bapanya, seorang nelayan, Mohamed Salleh, 62, buntu memikirkan untuk menemui anaknya.
“Malah, sejak kebelakangan ini terutama ketika Aidilfitri, ibu sering menangis terkenangkan adik yang sempat dinamakan Mohd Norman yang masih belum ditemui hingga kini.
“Kami tidak tahu wajah sebenar adik kerana tidak berpeluang menatap wajahnya sejak lahir.
“Tambah menyedihkan apabila tujuh adik-beradik kami yang lain meninggal dunia dan Mohd Norman langsung tidak mengetahuinya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Anak kelapan daripada 16 beradik, Mohd Norman diambil sebagai anak angkat pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Sallehudin dan Salmah yang tidak mempunyai anak selepas tujuh tahun berkahwin.
Ketika itu, Sallehudin yang berasal dari Negeri Sembilan bertugas sebagai pemandu tentera di Bengkel Unit 4 Briged Mekanis, Batu 10, Kuantan dan alamat terakhirnya di 303, Tingkat 4, Kuarters Rumah Kelamin kem berkenaan.
Katanya, kali terakhir ibu menatap wajah Mohd Norman ketika berusia 20 hari di rumah keluarga angkatnya itu, namun ketika berkunjung kali kedua selepas habis berpantang, keluarga berkenaan sudah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan.
Menurut Rosnawati, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki Mohd Norman termasuk menyiarkannya di radio dan televisyen, namun belum menampakkan hasil.
“Lebih kurang sebulan lalu, saya bersiaran secara langsung menerusi slot Fitrah Kasih di RTM 1 tetapi kemungkinan keluarga Sallehudin tidak mengikutinya menyebabkan usaha ini masih gagal.
“Ibu bukan sengaja menyerahkan adik kepada orang lain tetapi kerana kesusahan hidup, dia terpaksa berbuat demikian,” katanya.
|