BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Julai 26, 2011

Jalan Tujuh Pemikiran

Jalan Tujuh Pemikiran
Idealist Blogger
Cetusan Rasa Penulisan Oleh: Amiene Rev (C) 2011

Dalam diri manusia terdapat beberapa set komponen pencetus daya tujah pemikiran yang dikenali sebagai Id, Ego dan Super Ego. Ini adalah cetusan rasa yang telah diformulakan oleh Sigmund Freud. Satu lagi bentuk komponen telah aku kenalpasti sebagai Alter Ego. Alter Ego adalah penyumbang kepada sisi gelap dalam pemikiran yang seterusnya mencetus pada tingkah laku digital yang negatif.

PERSONALITI MANUSIA MENGIKUT PSIKOANALISIS

Othman Mohamed dalam penulisannya tentang Id, Ego dan Super Ego menghuraikan ketiga-tiga struktur ini sebagaimana berikut:

Selain dari penghuraian tentang konsep kesedaran ini dan kesannya terhadap perkembangan personaliti, psikoanalisis juga telah membahagikan personaliti manusia itu kepada tiga struktur:

(1) ID
(2) EGO
(3) SUPER EGO

Id. Id diandaikan semua gejala yang neutral dalam pemikiran seorang individu. Dalam pandangan psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa ianya dilahirkan. Id dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi, satu elemen yang diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia. Id merupakan satu gejala bawah sedar. Id merupakan satu tenaga yang primitif. Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Id merupakan sumber LIBIDO. Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan kepuasan swadiri secara mendadak (
immediate gratification). Itulah sebabnya id tidak mempunyai penyatuan dari segi maksud tidak teratur dan tidak bermoral. Sebagai satu daya tenaga yang begitu primitif, id merupakan penggerak psikologikal yang tidak payah
dipelajari.

Ego. Ego berbeza dengan id. Ego tidak wujud semasa kelahiran. Sebaliknya, ego berkembang secara berperingkat. Sebagai elemen pada tahap sedar, ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Perkembangan ego adalah melalui hubungan secara sosial dan identifikasinya dengan orang lain, objek di dalam alam sekelilingnya. Sebagai alat memperkukuhkan swadiri pada tahap sedar, ego memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur tingkahlaku dan personaliti individu.

Identifikasi. Sebagai satu konsep terapan yang disedari, identifikasi memainkan peranan yang penting semasa mengubahkan haluan tenaga psike daripada id kepada ego. Antara fungsi ego adalah ego dapat bertindak terhadap acara yang mendatangkan kecemasan, biasanya konflik atau pertentangan antara id dengan super ego.

Ego mempunyai dua cara untuk bertindak dalam keadaan kecemasaan.

(1) Ego boleh menggunakan asas pengalaman serta kebolehan tenaga pemikiran yang nyata atau yang sebenar. Seterusnya, ego boleh bertindak terhadap tingkahlaku penyelesaian masalah berasaskan pengalaman dan sosialisasi.

(2) Ego boleh menggunakan kaedah menentang, menolak, tipu-helah dengan memesongkan keadaan sebenar atau kebenaran. Apabila kaedah ini bergerak dan mengambilalih tingkahlaku, keadan ini ternyata sebagai mekanisma beladiri ego. Antara mekanisma beladiri adalah pendaman, rosotan, sublimasi.

SUPER EGO. Super ego merupakan struktur yang ketiga dalam pemikiran tingkahlaku psikoanalisis. Super ego lebih menyerupai hati nurani atau 'conscience' seseorang individu. Super ego merupakan akar tunjang dari aspek peneguhan moral yang baik. Moral yang dipelajari, dikenal pasti daripada ibu dan bapa, mahupun masyarakat.

Moral yang demikian dipelajari hasil daripada asuhan semasa seorang individu itu masih kecil peringkat umurnya dan berkembang dengan penerapan moral sebagai sebati dengan hati nuraninya.

Super ego mengawal ego dan id. Super ego bertindak seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan, sikap, tingkah laku.

Di sebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan. Sebagai contoh, lazimnya di kalangan orang Melayu, apabila hendak keluar dari rumah, secara otomatis terlintas bagi memakai kasut. Keadaan menanggalkan kasut sebelum memasuk ke dalam rumah kediaman juga menjadi kelaziman adat orang Melayu. (Dipetik dari sumber Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed.)
Begitulah konsep ketiga-tiga komponen yang mampu menjadi daya tujah dalam pemikiran. Setiap komponen memberi kesan terhadap hasil pemikiran manusia yang berbeza dari aspek peringkat usia. Namun, apa yang ingin aku tekankan dalam tulisan kali ini adalah Alter Ego yang aku dapati mempunyai peranan dalam mencetuskan pemikiran sisi gelap dalam diri manusia. Berdasarkan penelitian aku, Alter Ego tidak dikawal oleh Super Ego yang ada dalam diri satu-satu manusia. Super Ego mengawal Ego dan Id, tetapi tidak mengawal Alter Ego. Cetusan yang penting di sini, adakah Super Ego, mengawal Alter Ego dalam keadaan yang berbeza berbanding dengan Super Ego mengawal Ego.

ALTER EGO
Jadi berdasarkan keterangan di atas, Super Ego adalah satu bentuk kawalan. Namun Alter Ego adalah sebaliknya. Jika Ego merujuk kepada diri sendiri, Alter Ego merujuk kepada "The Other" atau satu set personaliti yang bukan merujuk kepada identiti individu. Alter Ego mengambil alih peranan fizikal dan pemikiran individu secara total dalam satu-satu masa. Aku dapat memastikan Alter Ego adalah orang yang kita tidak kenal yang muncul dalam diri orang yang kita kenal. Sisi gelap bermula dari sini.

Mengikut pandanganku, perkataan adalah asas penting yang membentuk pemikiran. Tanpa perkataan, pemikiran cuma terbentuk menerusi gelombang input dan data. Manusia mencipta perkataan untuk tujuan pelabelan atau perwakilan bagi memudahkan penilaian, pengunikan dan pembezaan dibuat. Manusia menggunakan perkataan untuk menyalur keluar segala rasa emosi atau idea kepada output.

Dalam kes ini, teks berperanan sebagai penyampai mesej atau output. Kuasa teks dalam mencungkil keluar pemikiran manusia memang tidak dinafikan. Apabila berlakunya asimilasi pemikiran manusia menerusi kepantasan jari dan detik paparan emosi secara tekstual, maka pada ketika itu, sisi gelap manusia mula terdedah.

Hal ini berlaku dalam banyak perkara dan peristiwa. Manusia mungkin mahu menyatakan sesuatu yang benar, ketidakpuasan hati, mengeluh, mengadili, berhujah, menyerang atau membela atau sekadar gurauan. Bentuk yang lain pula adalah hasutan dan mengubah pemikiran. Bentuk yang sempurna pula ialah mendidik.

Tajamnya teks mampu terus langsung menusuk ke hati. Ini kerana apabila seseorang pembaca itu mula membaca teks, secara tidak langsung pembaca itu telah membenarkan teks tersebut berada dalam pemikirannya.

Pada ketika ini, kekebalan hati dinilai. Manusia yang mempunyai tahap kekebalan hati yang tinggi mampu melapisi jiwa dan emosinya dengan satu dinding lutsinar yang kebal dan mampu memantulkan semula kesan mesej teks tersebut ke luar. Namun konsep kekebalan hati juga adalah bersifat unik. Contohnya, manusia yang degil, malas dan suka berbuat mungkar, hatinya gelap dan biarpun membaca teks mesej berbentuk nasihat, tetap tidak mampu memberi kesan kepada dirinya.

Maka terdapat dua terma tentang konsep kekebalan hati. Satu kekebalan hati. Satu kegelapan hati. Kegelapan hati, bermaksud mesej yang berbentuk nasihat atau cahaya tidak mampu menerangi kegelapan di dalam hati. Sebaliknya dalam konsep kekebalan hati, mesej berbentuk offensive atau hasutan tidak dapat menembusinya.

Kedua-dua konsep ini, merupakan teras atau jalan pertama dalam Jalan Tujuh Pemikiran Penulisan Amiene Rev terhadap tingkahlaku tekstual. Memahami konsep ini, mampu membenteng racun-racun tekstual yang menyerang minda rakyat.

Pada usia 12 tahun, aku pernah mengutarakan idea berkenaan Alter Ego. Namun ketika itu aku masih dianggap terlalu muda. Namun, cetusan dan resensi telah aku ukirkan dan kemudian aku menyimpannya di dalam "Arkib Nagara". Pada Jun 2009, aku membongkar kembali cetusan ini untuk diadaptasi dalam "Paramatix Sagara", berkenaan Komponen Jalan Tujuh Pemikiran.

Hari ini, teknologi internet telah menjadi budaya kehidupan manusia, dan idea ini sudah menjadi relevan untuk dibicarakan.