Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum
Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum
PUTRAJAYA – Semua minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai kandungan alkohol kurang satu peratus adalah harus diminum.
Perkara itu diputuskan dalam muzakarah khas, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diadakan dari 14 Julai hingga 16 Julai lalu bagi membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan.
Mesyuarat itu juga memutuskan minuman ringan yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol itu terjadi secara sampingan ketika proses membuat makanan dan minuman adalah tidak najis dan harus dimakan atau diminum.
Keputusan itu disiarkan portal rasmi jawatankuasa terbabit.
Ia dicapai selepas jawatankuasa menerima taklimat, pembentangan dan penjelasan oleh pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta berdasarkan keputusan yang dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.
“Semua makanan dan minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol bagi tujuan penstabilan adalah harus digunakan dengan syarat ia tidak dihasilkan daripada proses pembuatan arak.
“Selain itu, kuantiti alkohol dalam produk akhir itu juga mestilah tidak memabukkan dan mengandungi kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Agama Johor (JAJ) mendedahkan ada produk minuman yang terkenal dari Arab yang mengandungi kandungan alkohol 0.5 peratus, iaitu melebihi had yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, hingga mencetuskan isu mengenai ‘bir halal’.
Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghantar sampel empat jenama berlainan minuman berkarbonat diimport dari beberapa negara Asia Barat bagi menjalani ujian terperinci di Jabatan Kimia susulan kekeliruan pengguna Islam terhadap kandungannya.
Difahamkan keputusan mengenai status minuman berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak terbabit.
Dalam pada itu, muzakarah sama turut memutuskan minuman ringan dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling dalah haram diminum.
Sumber: BERITA HARIAN 22 Julai 2011
|