BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 17, 2011

Haqqul Yakin

Haqqul Yakin

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (Al-Baqarah 2:2)

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Al-Baqarah 2:3)

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). (Al-Baqarah 2:4)

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Baqarah 2:5)

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr 103 : 1-3)

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah 2 : 256)

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi. (Al-A'raaf 7 : 178 )

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Israa' 17 : 82)

Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan. (Al-Jinn 72 : 13)

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (Al-Baqarah 2 : 153)

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah 2 : 257)

Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka - dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi. (Al-Ahqaaf 46 : 18 )

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman pula berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal". (Asy-Syuura 42 : 45)

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu. (Al-An'aam 6 : 31)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Baqarah 2 : 277)

Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisaa' 4 : 134)

(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), - itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. (At-Taghaabun 64 : 9)

Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa' 4 : 170)

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali". (Al-Baqarah 2 : 285)

"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)". (A-li'Imraan 3 : 53)

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi. (Al-Baqarah 2 : 64)

PETIKAN UTUSAN: HAQQUL YAKIN

DALAM keadaan yang kurang mententeramkan jiwa di negara kita sekarang, marilah kita merenung diri kita sendiri setelah puas melihat gelagat mereka yang diruntun dan dipukau oleh nafsu serta hasutan syaitan. Pelbagai cakap dihamburkan untuk mempertahankan tindakan puak masing-masing demi merebut kuasa dalam kehidupan yang tidak kekal ini. Kebenaran dan kepalsuan sudah bercampur-aduk.

Berwaspada jugalah terhadap diri sendiri, takut kalau-kalau suasana persekitaran yang tidak sihat turut menghakiskan iman dalam diri kita. Dalam keasyikan melihat gelagat orang-orang lain, kadangkala kita boleh terlupa kepada diri sendiri.

Periksa diri kalau-kalau ada perubahan. Adakah solat lima waktu masih khusyuk dan seronok seperti dulu? Berapa kerapkah kita mengingati Allah SWT sejak bangun tidur hingga ke saat memejamkan mata pada waktu malam? Adakah hati kita berasa sesuatu apabila mengingati Allah, atau seperti biasa sahaja? Adakah persaaan kita biasa sahaja apabila mendengar orang lain membaca Quran, atau kita sendiri sudah hilang keinginan membaca Quran? Masih selalukah kita bermunajat dan mengadu segala masalah kepada Allah?

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (berserah diri). - Al Anfaal 8: 2

Jika jawapan kepada soalan-soalan ini lebih banyak ‘negatif’ atau kesemuanya ‘negatif’, maka itulah tanda-tanda bahawa tahap iman kita sudah merosot atau barangkali sudah hampir ke paras sifar. Hanya orang tidak beriman sahaja yang tidak berasa bimbang terhadap tanda-tanda amaran ini.

Jika begitulah keadaannya, maka kita perlu risau. Sekalipun kita sering bersolat jemaah di masjid. Atau sentiasa memakai kopiah atau serban sebagai tanda orang Islam. Ingatlah bahawa Allah tidak memandang paras rupa manusia, tetapi pada hati kita. Jangan cuba berbohong dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui daripada diri kita sendiri tentang kandungan hati kita.

Sebenarnya tahap iman seseorang tidak akan diketahui oleh orang lain, kecuali Allah dan diri kita sendiri. Ingatlah bahawa orang munafik juga menunaikan solat dan menampakkan dirinya Islam kepada orang lain. Manusia boleh berlakon dan Allah mengizinkannya sebagai ujian keimanan.

Dalam bercakap soal keimanan ini, hamba teringat kepada huraian seorang sahabat tentang tahap iman pada diri seseorang. Sahabat ini menggunakan analogi yang sangat mudah untuk difahami. Katanya, memahami tahap iman pada diri kita adalah ibarat mengetahui tentang kemalangan jalan raya.

Kebanyakan orang mengetahui tentang sesuatu kejadian kemalangan melalui cerita orang lain, sama ada dari mulut atau membacanya dalam akhbar atau melihat laporan berita TV. Begitu jugalah tentang iman. Kita beriman kerana mendengar tentang iman daripada ustaz-ustaz yang mengajar di kelas agama semasa bersekolah dan kemudian daripada ceramah-ceramah di masjid. Kita juga mengetahui tentang iman melalui media cetak dan elektronik.

Menurut sahabat hamba itu, samakah pengetahuan orang yang mengetahui tentang kemalangan melalui cara di atas dengan orang-orang yang melihat sendiri kejadian yang berlaku? Mungkin ketika itu mereka berada di tepi jalan di tempat kejadian. Tentulah tidak sama kesahihan antara orang yang mendengar cerita daripada orang lain dengan orang yang melihat sendiri kejadian.

Dan bandingkan pula ketepatan cerita antara orang yang melihat kejadian dengan orang yang terlibat sendiri dengan kemalangan. Andaikanlah kejadian itu melibatkan dua kenderaan. Tentulah cerita pemandu yang selamat dalam kemalangan itu lebih tepat daripada gambaran orang yang melihat kejadian.

Begitulah juga iman. Tentulah tidak sama tahap iman orang yang mendengar cerita daripada orang lain dengan orang yang melihat sendiri tanda-tanda yang Allah zahirkan kepadanya untuk memperkukuh imannya.

Dan tentulah lebih mantap iman seorang yang melalui sendiri pengalaman-pengalaman yang menjadi bukti tentang kekuasaan dan kebesaran Allah, sebagaimana pemandu kenderaan yang mengalami kemalangan dan selamat.

Sahabat hamba itu menakrifkan iman yang diperoleh secara mendengar cerita orang lain itu sebagai ‘yakin.’ Kemudian jika dia terus mencari dengan hati yang ikhlas dan memohon kepada Allah supaya sentiasa ditingkatkan imannya, maka mudah-mudahan Allah akan memasukkannya ke tahap kedua yang dipanggil ‘ainol yakin’ atau keyakinan yang lebih kuat berdasarkan mata hati.

Ikhlas

Jika dia terus ikhlas dan meneruskan pengembaraan rohaniahnya dengan penuh tawaduk (rendah diri), mudah-mudahan Allah akan menemukannya dengan ‘hakkul yakin’ iaitu keyakinan yang hakikat. Alangkah bertuahnya mereka yang sampai ke tahap ‘hakkul yakin’ kerana inilah kemuncak keimanan yang paling teguh.

Sudah tentulah ‘hakkul yakin’ dimiliki oleh para nabi dan para wali. Mereka inilah yang berada di ‘jalan lurus’ yang kita mohon sekurang-kurangnya 17 kali sehari melalui bacaan surah Al-Fatihah yang menjadi rukun solat.

Tentulah jalan yang lurus ini lebih sukar untuk dicapai kerana ia memerlukan kesabaran dan penyerahan diri kepada Allah yang sangat total. Namun ia tetap boleh dicapai oleh sesiapa yang berkehendak dan berusaha. Dalam surah Wa‘aqiah, Allah berfirman bahawa golongan jalan lurus lebih banyak di kalangan umat dahulu dan sedikit sekali di kalangan umat sekarang.

Dan kamu menjadi tiga golongan (selepas hari kiamat). Iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang beriman paling dahulu ( jalan lurus), mereka itulah yang didekatkan kepada Allah. Berada dalam jannah (syurga) kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu (umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW), dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian (umat Nabi Muhammad). - Wa‘aqiah 56: 7 hingga 14

Yang lebih ramai ialah golongan kanan yang akan dihisab pahala dan dosa mereka di akhirat kelak. Mungkin ada yang akan terus masuk ke syurga, atau mungkin dimasukkan ke neraka terlebih dulu sebelum dimasukkan ke syurga.

Yang paling celaka ialah golongan kiri, iaitu orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Mereka akan terus dimasukkan ke neraka dan kekal selama-lamanya. Antara dua golongan kiri ini, orang munafik akan mendapat siksaan paling dahsyat.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka. - An Nisaa’ 4: 145

Mudah-mudahan kita ditunjukkan ke jalan yang lurus di atas rahmat-Nya. Carilah jalan ini dengan penuh kesabaran dan penyerahan diri kepada Allah dengan iman yang ada. Pencari akan menghadapi pelbagai ujian, bersabarlah. Dan tingkatkan iman dan ketakwaan.

Seterusnya beramal soleh dengan melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan kebajikan kepada sekelian makhluknya. Janganlah melakukan kerosakan sama ada dengan perbuatan atau lisan. Bersihkan diri daripada segala penyakit hati. Inilah sebenarnya matlamat hidup setiap manusia yang beriman selagi masih bernyawa di alam yang tidak kekal ini.