Musim Bulan Terang Punca Harga Ikan Naik
- Peristiwa: Musim Bulan Terang
- Tempoh: Mei hingga Julai setiap tahun.
- Kesan: Harga ikan segar naik kerana tangkapan kurang.
PETALING JAYA: Kenaikan harga ikan segar tidak menentu sejak beberapa minggu lalu dipercayai berpunca daripada musim ‘bulan terang’ setiap tahun bermula Mei hingga Julai mengakibatkan kekurangan tangkapan ikan oleh nelayan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mahani Tan Abdullah, berkata pihaknya mendapati harga turun naik ikan segar berlaku setiap tahun terutama pada tiga bulan itu.
Katanya, kekurangan tangkapan daripada nelayan memberi kesan kepada harga pasaran ikan segar semasa dan harga itu akan naik daripada kebiasaan apabila musim ini berlaku setiap tahun.
“Kami sentiasa memandang serius perkara ini dan menjalankan pemantauan terhadap keadaan pasaran supaya peniaga tidak menaikkan harga terlalu tinggi.
“Setakat ini, bekalan ikan segar di seluruh negara dilaporkan mencukupi menjelang akhir musim iaitu pada Julai ini selain menasihatkan orang ramai supaya bijak berbelanja dan hanya membeli untuk keperluan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Akhbar Suara Pelindung Pengguna bagi Zon Lembah Klang, semalam.
Sementara itu, Mahani berkata, hasil kajian pada tahun lalu mendapati kira-kira 58 peratus rakyat sedar terhadap hak mereka berhubung isu kepenggunaan dan kerajaan berharap peratusan itu meningkat melalui beberapa pendekatan yang sudah diambil.
Sumber: Harian Metro
|