BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 07, 2009

Kejayaan Dunia Dan Dosa Menganiayai Orang Lain

Saya diberitahu oleh seorang kawan lama mengenai tingkahlaku segelintir kakitangan kerajaan yang menjawat jawatan pembantu am rendah dan kerani kerajaan yang sangat tidak memuaskan. Kebiasaannya urusan-urusan seperti gaji, elaun dan sebagainya diuruskan oleh golongan ini. Hakikatnya jawatan mereka adalah lebih rendah berbanding kakitangan kerajaan yang lain seperti guru atau pun pensyarah. Namun, disebabkan merekalah orang yang bertanggungjawab menguruskan soal gaji terutamanya, maka ada di kalangan mereka yang menjadi besar kepala. Pada pandangan mereka ini, mereka berkuasa dalam menentukan cepat atau lambatnya kemasukan gaji atau elaun bagi kakitangan yang menjawat jawatan atau gred yang lebih tinggi daripada mereka.

Golongan ini silap. Mungkin benar, kerana kelulusan mereka cuma sekadar sijil, menyebabkan mereka tidak mampu berfikir secara lebih bijak. Mereka lupa maksud tanggungjawab atau mungkin mereka jahil tentang tanggungjawab.

Mungkin mereka rasa mereka boleh menganiayai atau menyeleweng sedikit daripada tanggungjawab dengan melambat-lambatkan hak seseorang untuk menerima gaji, elaun, kenaikan pangkat, pengesahan jawatan dan sebagainya, tetapi mereka tidak tahu bahawa perbuatan mereka itu pertamanya akan menyusahkan orang lain, dan keduanya mereka berdosa dan harus mencari alasan yang sesuai sebelum diseksa di akhirat kelak.

Menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan amanah atau lebih tepat tidak bertanggungjawab serta menzalimi orang lain sememangnya satu dosa. Dosa ini menjadi berkait-kait. Contohnya seorang kakitangan kerajaan tidak dapat mengirimkan wang untuk ibu bapanya, atau perbelanjaan sekolah anak-anaknya atau untuk tujuan-tujuan perubatan dan kebajikan keluarga yang lain. Bagaimana seorang pembantu am rendah atau kerani itu boleh menebus dosanya selepas melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut?

Ada juga pembantu am rendah atau kerani yang berasa seolah-olah dirinya berkuasa atau orang penting apabila ada kakitangan kerajaan yang perlu terikat seperti meminta pengesahan tandangan dan sebagainya daripadanya. Secara logiknya, itu adalah satu tanggungjawab dokumentasi untuk memudahkan penyemakan atau pembuktian pada masa akan datang. Namun kerana ceteknya pemikiran segelintir kakitangan am rendah menyebabkan mereka tersalah anggap bahawa itu sebagai satu lambang kuasa dan kemegahan bagi diri mereka.

Saya bersimpati dengan golongan pembantu am rendah yang berfikiran seperti ini. Mereka mungkin kabur atau tidak tahu maksud tanggungjawab yang sebenarnya. Catatan dosa tetap wujud. Mereka lupa, tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka itu sangat besar. Maka jika mereka melakukan sesuatu yang menyebabkan penganiayaan kepada kakitangan lain, maka hukuman akhirat sedang menanti. Ketika itu barulah ada yang menangis dan menyesal kerana jahil dalam membezakan antara tanggungjawab dengan kuasa. Kuasa manusia tidak sama dengan kuasa Tuhan. Kuasa manusia bermaksud tanggungjawab. Semakin besar kuasa, semakin besar dosa yang harus dipikul jika mereka menyalahgunakan kuasa tersebut.