BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Disember 30, 2009

Masalah Anda: Anak yang Lemah Dalam Pelajaran

Surat Pembaca: Anak lelaki saya sangat lemah dalam pelajaran. Keputusan PMR 2009 adalah seperti berikut:
  • A English
  • B Matematik
  • B Bahasa Melayu
  • B Pengetahuan Agama
  • C Kemahiran hidup
  • C Geografi
  • D Sains
  • D Sejarah
  • E Arab
Saya ingin minta pandangan, untuk ke tingkatan 4 ini, apakah subjek yang patut anak saya ambil berdasarkan kemampuannya.

Dia adalah satu-satunya anak saya. Sebagai anak tunggal, saya inginkan yang terbaik untuknya. Saya tahu dia tidak secemerlang anak rakan-rakan saya. Tetapi masih belum terlambat bagi anak saya. Terima kasih.
Maklum balas Amiene Rev: Anak anda mempunyai keputusan yang bagus dalam sesetengah subjek tetapi kurang bagus atau lemah dalam sesetengah subjek yang lain. Keputusan Matematik anak anda agak baik, tetapi anak anda lemah dalam sains, bidang yang mungkin sesuai dengannya ialah aliran perdagangan.

Kebiasaannya, semasa di tingkatan 4, pihak sekolah dengan kerjasama pihak kaunselor sekolah akan melakukan streaming untuk para pelajar yang bakal memasuki tingkatan 4 berdasarkan keputusan PMR. Streaming adalah proses untuk menentukan aliran akademik (pakej jenis-jenis subjek) yang sesuai untuk diambil oleh para pelajar tersebut. Kebiasaannya pakej yang ditawarkan di sekolah harian biasa adalah aliran sains, aliran perdagangan dan aliran kesusasteraan.

Anda boleh membuat temujanji dengan kaunselor sekolah anak anda, dan meminta panduan daripada kaunselor. Saya galakkan anak anda mengambil ujian personaliti, ujian aptitud dan sebagainya. Pihak kaunselor sekolah biasanya memiliki maklumat yang lebih berkenaan hala tuju akademik anak anda.

Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin rasa aliran yang mereka ambil semasa di tingkatan 4 tidak sesuai dengan kebolehan mereka, maka untuk kes seperti ini juga, elok diajukan kepada kaunselor. Biasanya selepas menemui anak anda, kaunselor akan memutuskan sama ada anak anda memiliki kelayakan, berminat atau pun tidak dalam aliran akademik yang bakal diambil. Kaunselor akan menulis surat pertukaran aliran untuk anak anda.

Sekian, terima kasih.

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.