BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Disember 09, 2009

KB Mall Runtuh - Panduan Keselamatan Di Escalator

KB Mall runtuh. Begitulah laungan khabar-khabar angin mengenai KB Mall. Malah ada pula yang menokok tambah berita sehingga menjadi lebih dahsyat. KB Mall Runtuh, 40 orang mati! Itulah khabar angin paling teruk yang saya dengar mengenai cerita-cerita rekaan berkenaan KB Mall runtuh. Hakikatnya, KB Mall tidak runtuh. Cuma ada sedikit bahagian atas KB Mall telah roboh akibat dirempuh sebuah kereta bernombor dot dot dot 3210 yang dipandu oleh orang dari Besut, Terengganu. Kasihan.

(Klik pada gambar untuk imej yang lebih besar)

Tragedi kematian dalam kemalangan yang dinamai orang sebagai KB Mall Runtuh boleh dikurangkan risikonya sekiranya pengguna escalator tidak berada dalam kedudukan yang berlabel hijau seperti di atas. Bahagian yang dilabelkan hijau, iaitu kedudukan bahagian sisi dalam escalator boleh dikosongkan sebagai laluan ekspress.


Laluan escalator selalunya dibahagikan kepada dua bahagian. Kebiasaannya pengguna yang tertib atau beradab akan mengosongkan salah satu bahagian escalator untuk memberi laluan kepada pengguna-pengguna yang kecemasan atau ingin cepat naik atau ingin cepat turun tanpa menunggu tangga escalator tiba ke destinasti naik atau turun.

Sikap sesetengah pengguna yang tidak memberi laluan kepada pengguna yang ingin cepat kadangkala mengecewakan. Bukan sahaja mereka melambat-lambatkan pengguna yang ingin cepat, tetapi sekiranya tragedi seperti di KB Mall berulang lagi, maka merekalah orang yang berisiko untuk ditimpa kecelakaan. Sebenarnya perkara ini sudah lama saya perhatikan berlaku di KB Mall dan di sesetengah tempat yang lain. Kebanyakan pengguna escalator sering membolot kedua-dua sisi di satu-satu laluan escalator dan apabila ditegur oleh pengguna yang mahu cepat, barulah mereka mahu membuka laluan. Sempat lagi berangan-angan di atas escalator. Jarang sekali saya lihat ada pengguna yang terfikir adanya pengguna lain yang hendak cepat. Harap maaf, tak semua orang ada banyak masa lapang untuk berkhayal atau 'blur' di atas escalator.

Laluan escalator memiliki ruang yang terhad, oleh itu bagi pengguna escalator yang berhemah dan berakal, sepatutnya mereka sedar akan kepentingan untuk mengosongkan salah satu sisi escalator yang sedang mereka naiki seperti gambar yang disertakan di atas.

Nampak seperti remeh, tetapi beringat-ingatlah, kerana walaupun remeh, tindakan bertanggungjawab dengan mengosongkan satu sisi escalator (disarankan mengosongkan sisi bahagian dalam escalator) mungkin dapat meningkatkan peluang terhindar dari kecelakaan yang serius. Remehkan? Saya tak pasti berapa orang pembaca yang akan mengikut saranan ini selepas membacanya. Atau mungkin mereka sudah biasa beradab dan memiliki tertib tanpa perlu diajar, boleh fikir sendiri. Atau mungkin mereka tak terfikir pun hal ini dan keras kepala untuk terus membolot kedua-dua sisi di laluan escalator?

Mungkin teguran saya ini agak pedas tetapi apa yang saya tulis kali ini adalah kerana rasa tidak puas hati saya dengan sikap sesetengah pengguna escalator yang sering saya lihat suka membolot kedua-dua sisi escalator tanpa pernah terfikir untuk mengosongkan satu sisi bagi kegunaan kecemasan atau laluan ekspress. Namun, sepatutnya pengguna escalator boleh fikir sendiri perkara ini. Sebab akan sentiasa ada pengguna yang mahu cepat. Melainkan, mereka tidak pernah menggunakan escalator, atau pertama kali menggunakan escalator atau pun mereka terdiri daripada golongan kanak-kanak kecil yang kebiasaannya belum faham erti tanggungjawab.

Maaf ya, kalau ada yang terasa. Semoga tragedi KB Mall menjadi iktibar buat pengguna-pengguna escalator. Mungkin papan tanda berkenaan mengosongkan satu sisi laluan di KB Mall boleh dipasang.

Untuk kes kemalangan akibat rempuhan pula, besi-besi penghadang yang kuat perlu dipasang di sekitar kawasan yang berisiko untuk dirempuh kenderaan, bagi mengurangkan kuasa pelanggaran dan seterusnya mengurangkan risiko kenderaan jatuh dari lubang angin seperti yang telah berlaku di KB Mall. Dan lagi satu, harap dapat sediakan jejantas. Saya pelik kenapa di kebanyakan jalan sibuk di Kelantan tidak ada kemudahan jejantas? Jawablah sendiri.