BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 15, 2009

2000 - Hari Pertama

Diari Lama Seorang Mahasiswa
Sebuah Karya Amiene Rev (C) 2009

Sahabatku, tahun itu tahun pertama aku menjejakkan kaki ke situ. Aku temui ramai rakan-rakan baru. Aku senang hati, apabila semua orang menegur aku. Pada ketika itu aku melihat bayang-bayang guru, tetapi aku percaya itu bukan dia. Aku melihat guru sedang duduk di atas sebuah kerusi, tersenyum puas hati, melihat aku kini sudah berjaya menjejakkan kaki ke medan mahasiswa.

Sahabatku, ini pertama kali, aku berada di sebuah kota metropolitan. Besar. Luas. Penuh dengan macam-macam hiburan. Penuh dengan macam-macam ajaran. Senior sering kali berpesan, jangan mudah percaya apa yang orang lain ceritakan. Di sini banyak tipu helah. Di sini ada ramai orang yang suka memperalatkan orang lain. Ada agenda bawah tanah. Ada agenda konspirasi. Ada mata duitan. Aku tidak peduli semua itu. Aku cuma percaya pada diri aku sahaja.

Sahabatku, hari pertama ini, aku mendaftarkan diri. Gambar aku diambil, dan di belakangku ada latar merah. Sekejap sahaja, aku sudah mendapat kad matrikku. Aku di bawa melihat suasana di ruang kolej. Sebuah bilik lengkap dengan segala kemudahan. Betapa mudahnya hidup seorang mahasiswa.

Kemudian, kami dibawa melawat sekitar kawasan kampus. Rupanya sangat-sangat indah. Ada tasik yang luas dengan burung-burung bangau putih berterbangan. Ada padang rumput yang luas seperti permaidani hijau. Tanah-tanah berbukit tinggi, dan ada pula bangunan-bangunan berukiran tradisional, dengan bentuk atap yang unik di atas bukit-bukit hijau itu. Pohon-pohon besar berdaun rimbun, dahannya menjalar sehingga meneduhi jalan-jalan tar kelabu. Inilah universiti. Inilah menara gading. Aku sudah menjejakinya. Aku seorang budak kampung, bergelar pelajar terbaik di sekolah, salah seorang pelajar terbaik di Kota Bharu, Kelantan, yang namanya sampai ke luar negeri, kini bergelar pelajar universiti. Mahasiwa. Maha. Siswa.

Adakah budak kampung seperti aku layak untuk berada di sini? Aku merenung langit. Aku nampak wajah-wajah guru sedang tersenyum. Aku tahu, ini bukan khayalan. Aku sememangnya sudah berada di universiti secara rasmi. Ketika itu, aku sangat bersyukur. Sangat, bersyukur.