BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 01, 2009

Kekacauan Di Bangunan-bangunan Bercantum

Kata orang, apabila mimpi mampu dilalui berulang kali, ia mungkin membawa mesej tertentu. Semalam, aku menemui bangunan-bangunan bercantum lagi. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku dapati keadaan di situ sesak dan kacau-bilau. Beberapa orang berpakaian jubah seakan-akan bangsawan Korea berlari-lari, bertaburan, di merata-rata tempat di sekitar bangunan-bangunan bercantum.

Aku dapati, aku juga berpakaian bangsawan dan usiaku amat muda. Rupa-rupanya di dunia tersebut aku masih seorang budak kecil. Ini menjelaskan keadaan sebenar kenapa di dunia itu aku berkawan dengan budak-budak kecil. Kenapa sebelum ini aku tidak pernah melihat diri aku sendiri? Seorang remaja meminta aku menyembunyikan skrol-skrol yang tersimpan di atas satu almari kecil ke dalam baju. Aku memandangnya sekilas lalu menurut arahannya. Sempat aku meneliti isi kandungan skrol-skrol tersebut. Tulisan-tulisan berbentuk pepaku serta gambarajah-gambarajah yang merujuk kepada manusia dan beberapa teknologi lain yang belum aku fahami menusuk masuk ke memoriku.

Remaja tersebut meminta aku cepat-cepat meninggalkan bilik tersebut, dan mengekorinya. Kami berlari-lari lagi. Ramai orang sedang bertarung. Kemudian seorang lagi budak botak bermata biru, berkulit pucat, bertelinga tajam dan berbaju jubah bangsawan menarik aku lari ke satu arah semak. Di situ dia meminta aku senyap. Matanya biru gelap, kepalanya bujur, merenungku seolah-olah meminta aku faham bahaya yang akan dihadapi jika kami ditemui. Tanpa suara, kami berkomunikasi.

Bangunan-bangunan bercantum, tangga bukit dan rumput-rumput tinggi tidak aman lagi. Penceroboh-penceroboh misteri yang menyerang kami masih tidak diketahui motifnya. Barangkali malam nanti, aku akan cuba membongkar cerita di sebalik serangan ini.

Sebelum aku meninggalkan dunia itu, aku melihat sebilah senjata seakan-akan pedang. Bersinar. Berkilau-kilauan.