Melihat Tahun Baru
Tahun Baru sudah pun menjelma. Kemunculan tahun baru ini mengundang idea kepada saya untuk menyambung novel blog Catatan Seorang Guru Matematik dan ICT. Sudah berbulan-bulan lamanya saya tidak menulisnya.
Catatan Seorang Guru Matematik dan ICT - Melihat Tahun Baru
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Tahun baru sudah menjelma. Hati saya tiba-tiba sayu mengenangkan kehidupan saya pada tahun lalu. Saya suka mengajar. Saya suka melihat anak didik saya menjadi pandai. Tidak cukup dengan itu, saya mengajar pelajar-pelajar dari kelas lain pula pada waktu lapang. Apabila pulang ke rumah saya rasa sangat penat, tetapi puas hati kerana dapat mengajar mereka.
Keseronokan saya mengajar pelajar-pelajar saya tentang ilmu matematik tidak lama. Selepas tamat peperiksaan PMR, saya dapati ada pelajar-pelajar dahulunya tahu menghormati guru, mula bersikap lupa diri, bongkak, sombong, biadab, kasar, tidak mengenang budi, sanggup mempermain-mainkan guru, mengarah-ngarah guru dan memperbodoh-bodohkan guru yang pernah memberi tunjuk ajar kepada mereka.
Ada pula yang merayau-rayau ke sana ke mari. Bagi segelintir mereka, pelajar yang duduk di dalam kelas, adalah penakut. Mereka yang suka-suka merayau di luar kelas adalah berani. Malah lebih teruk, ada pula yang berani mempersendakan kawan-kawan yang mematuhi peraturan.
Sejak itu saya mula terfikirkan sesuatu. Saya dapati mereka tidak tahu berterima kasih sepenuhnya. Mereka mungkin ada mengucapkan terima kasih dengan mulut, tetapi tidak dengann hati. Hati mereka tidak tulus. Hati mereka tidak jujur. Mereka seolah-olah memperalat guru-guru mereka untuk menjadi lebih pandai, mengutip faedah daripada guru-guru mereka untuk kepentingan diri mereka sendiri. Golongan pelajar seperti inilah yang membuatkan saya agak fobia untuk mengajar pelajar-pelajar di luar waktu kelas lagi.
Selama ini saya berharap pelajar-pelajar ini mendapat kemudahan untuk cemerlang dalam pelajaran dengan adanya kelas atau sesi tuisyen percuma yang saya berikan. Selalu juga saya beli buku-buku baru khusus untuk mencari teknik yang lebih mudah untuk mereka. Semuanya percuma. Masa saya, wang saya, penat lelah saya, cita-cita yang saya korbankan, segala-galanya demi kasih sayang saya kepada pelajar-pelajar ini. Saya gembira apabila melihat peningkatan dan kecemerlangan dalam diri pelajar-pelajar yang saya ajar. Saya semakin lemah, tetapi semangat saya menyebabkan saya kembali segar untuk terus mengajar mereka. Hakikatnya tenaga badan saya semakin haus. Badan guru semakin lemah, semata-mata mahu mendidik anak muridnya supaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Namun kegembiraan itu digantikan dengan perasaan kesal dan kecewa apabila ada pelajar yang mula berubah sikap, menjadi kurang ajar. Sejak itu saya takut untuk mengajar kelas tuisyen lagi. Saya termenung panjang. Air mata saya mengalir sekali-sekala. Pada waktu malam, kekecewaan itu menyerang sehingga ke dalam mimpi-mimpi saya. Saya datang ke sekolah dengan hati yang luka. Saya sangat kecewa. Saya cuba pendam kekecewaan dan kekesalan saya terhadap racun yang diberikan oleh pelajar seperti itu.
Kasih sayang saya terhadap pelajar-pelajar saya mengatasi segala-galanya. Saya menegur dan terus menegur. Air mata saya mengalir pada malam hari mengenangkan betapa sakitnya hati seorang guru apabila diperlaku begitu biadab, diaibkan, dipermain-mainkan oleh pelajar yang pernah diajar dan diberi dorongan supaya terus belajar. Dorongan, sokongan moral, ambil berat, dan tunjuk ajar selama ini menjadi sia-sia.
Sejak itu saya mula sedar betapa membentuk akhlak, sikap hormat-menghormati, tahu mengenang budi dan keikhlasan jiwa adalah lebih penting berbanding mengajar ilmu akademik seperti matematik. Jiwa yang suci lebih penting berbanding kepakaran dalam bidang matematik.
Pelajar-pelajar ini mungkin mendapat A dalam Matematik, tetapi adakah akhlak mereka juga begitu. Adakah mereka akan menjadi orang yang fikirkan tentang kebajikan orang lain, mengutamakan kepentingan orang lain? Saya kecewa kerana selama ini saya mengajar matematik, tetapi tidak menekankan aspek kebajikan. Saya tahu, hakikatnya tanggungjawab mengajar erti mengenang budi ini sepatutnya telah diajar oleh ibu bapa mereka. Namun, tidak semua ibu bapa sedar kepentingan ini. Atau mungkin anak mereka terlalu keras hatinya?
Sejak itu saya mula menekankan aspek moral. Saya tidak mahu lagi lihat pelajar yang saya ajar menjadi kurang ajar dan biadab pada kemudian hari. Sejak itu saya semakin teguh mempercayai kenapa agama lebih penting daripada segala-galanya. Rohani itu sangat penting.
Untuk tahun baru ini saya berazam untuk mengutamakan moral, rasa hormat pelajar terhadap guru, dan seumpamanya. Saya tidak mahu lagi lihat seekor iblis lahir hasil daripada tunjuk ajar saya. Iblis, kerana mereka cuma pandai dan mahir dalam ilmu dunia, tetapi tidak memiliki hati yang bersih, dan keikhlasan yang sejati dalam menegakkan kebajikan manusia.
Keinsafan mula hadir di dalam diri ini. Pelajar-pelajar perlu diajar untuk menghargai pemberian orang lain. Tidak kira dari segi material, atau pun ilmu.
|