BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 10, 2008

Hikmah Pengharaman Qazaf - Hukum Fitnah

Hukum Qazaf - Hukum Fitnah

Perkataan qazaf dalam bahasa Arab bermakna melemparkan sesuatu benda umpama batu dan sebagainya. Seterusnya perkataan itu dikhususkan kepada melemparkan sesuatu yang buruk termasuk menggunakan perkataan yang keji terhadap seseorang.

Menurut istilah hukum syarak, qazaf ialah menuduh zina terhadap seseorang tanpa saksi yang adil. Termasuk juga menuduh liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama, di antaranya Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali. Mazhab Hanafi pula hanya mengkhususkannya kepada tuduhan zina sahaja, manakala tuduhan liwat di sisi mereka termasuk dalam perkara takzir.

Qazaf termasuk dalam hukum hudud yang dinaskan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Perkara yang telah dinaskan, berada di luar bidang ijtihad para ulama, kerana haram meminda nas daripada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, tidak boleh dinamakan hudud PAS atau hudud sesiapa. Sesiapa yang membuat kenyataan itu maka hukumnya berdosa kerana kenyataan yang dibuatnya itu berdasarkan kepada kejahilannya.

Perkara tersebut menjadi perkara yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam, kerana fardhu ain itu, bukan sahaja terdapat pada perkara yang wajib ditunaikan, tetapi termasuk juga pada perkara yang diharamkan kita melakukannya agar kita menjauhinya, meninggalkannya dan mencegahnya, Manakala mendalaminya secara detail hukumnya adalah fardhu kifayah.

Di kalangan ulama ada yang membahagikan tuduhan itu kepada dua cara:

1. Secara sorih (berterus terang) dengan menujukan tuduhan zina atau liwat kepada orang yang tertentu. Sekiranya tuduhan itu diakui oleh orang yang dituduh secara sukarela dan memenuhi syarat-syarat pengakuannya, maka hukuman hudud boleh dijatuhkan oleh hakim ke atas orang berkenaan.

2. Secara sindiran. Seperti menafikan nasab daripada ayahnya mengatakan 'awak bukan anak kepada si anu' yang diketahui sebagai bapanya yang sebenar, atau 'awak anak daripada hasil zina' dan lain-lain tuduhan yang boleh difahamkan sebagai tuduhan zina atau liwat.

Hikmah Pengharaman Qazaf

Tujuan pengharaman qazaf adalah bagi memelihara maruah manusia, yang menjadi satu daripada perkara yang sangat penting bagi manusia sama ada bagi diri, keluarga atau masyarakatnya. Maruah sangat bernilai dalam hidup dan mati seseorang, membezakan manusia dengan binatang dan menjadi sebahagian daripada harga diri sehingga tidak boleh dinilai dengan harta benda yang paling mahal. Islam telah menegaskan kewajipan mempertahankan maruah dengan meletakkan maruah mengatasi harta yang juga wajib dipertahankan.

Demi menjaga maruah itulah, maka diwajibkan hukuman qazaf secara hudud yang ditetap oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w. supaya seseorang itu atau kumpulannya tidak boleh melemparkan tuduhan zina dan liwat ke atas seseorang yang lain secara sewenang-wenangnya.

Syarat-syarat Qazaf

Tidaklah mudah menentukan bahawa seseorang itu telah melakukan qazaf, kerana Islam mewajibkan syarat-syarat tertentu bagi orang yang melakukannya, orang menjadi mangsa dan tuduhan itu sendiri.

Syarat-syarat bagi orang yang melakukan tuduhan itu adalah:

1. Berakal. Tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh dipakai.

2. Baligh, yakni sampai umur mukallaf yang boleh dipertanggungjawabkan perintah-perintah agama ke atasnya. Kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikategorikan tuduhannya sebagai qazaf.

3. Tidak dipaksa. Tidak boleh menerima tuduhan yang dilakukan oleh orang yang dipaksa supaya melakukan tuduhan itu.

4. Tidak dapat mengadakan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi mengikut hukum Islam.

Orang yang dituduh juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Berakal. Maka tidak sah menuduh orang yang tidak berakal. Oleh itu orang yang menuduh tidak boleh diambil tindakan qazaf

2. Baligh. Maka orang yang menuduh terhadap orang yang tidak baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had qazaf. Dia hanya dikenakan hukuman ta'zir.

3. Islam, mengikut jumhur para ulama.

4. 'Iffah atau ihsan, yakni orang yang dituduh itu seorang yang diketahui kebaikan akhlaknya dan tidak pernah disabitkan melakukan zina.

5. Orang yang ditentukan tidak berlaku qazaf dengan menuduh seseorang yang tidak ditentukan secara khusus.

Syarat tuduhan pula hendaklah tuduhan dalam perkara zina, menurut ijmak para ulama dan tuduhan dalam perkara liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama. Sekiranya tuduhan itu dalam perkara yang lain seperti berjudi, minum arak, rasuah dan sebagainya, maka tidak dinamakan qazaf yang mewajibkan hukuman hudud, tetapi berpindah kepada hukum takzir yang terserah kepada budibicara pihak yang berkenaan untuk menentukan hukumannya.

Mensabitkan Jenayah Qazaf

Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:

1. Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2. Dua orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.

Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf

Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?

Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah (manusia) dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.

Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba (manusia), kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila

maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.

Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.

Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan (berwajib) maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.

Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.

Hak Tuduhan Qazaf

Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.

Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.

Tulisan ini dipetik daripada buku “Qazaf: Mangsa Fitnah” (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam.