BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 03, 2008

Proposal Al-Quran: Solat Tahajud dan Kesihatan

Keistimewaan Solat, Solat Tahajud
Dari Segi Terapi Fizikal

Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sekiranya kita bangun pada awal pagi, tentu kita akan dapat menikmati udara segar yang nyaman dan melapangkan dada. Udara segar sekitar jam tiga pagi mengandungi kandungan oksigen yang sesuai untuk dimanfaatkan menerusi senaman solat. Oksigen ini akan dialirkan menerusi salur-salur darah yang terdapat di dalam badan kita.

Solat tahajud dikatakan boleh menghalang penyakit buah pinggang. Ini kerana semasa kita bersolat, sendi, otot dan urat saraf di seluruh tubuh badan akan digerak dan diregangkan.

Pergerakan otot semasa solat adalah seperti berikut:
  1. Berdiri tegak (qiyam), mengangkat tangan untuk takbir dan kemudian meletakkan tangan di atas pusat dikatakan dapat membantu membesarkan rongga dada kita, memberi ruang yang lebih luas di dalam paru-paru dan membantu menyerap udara khususnya oksigen dengan lebih baik.
  2. Rukuk, iaitu dalam keadaan badan membongkok lurus dari paras pinggang ke depan dengan kedua-dua belah tangan lurus menapak di atas kepala lutut membantu pengaliran oksigen ke bahagian tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tungkin.
  3. Dikatakan terdapat satu bahagian dalam otak kita yang tidak pernah dilalui darah. Bahagian ini boleh mendapat oksigen apabila kita bersujud. Apabila darah membawa oksigen ke bahagian otak ini semasa sujud, kita akan berasa lebih tenang. Semasa sujud juga, seluruh berat badan akan ditampung oleh otot-otot tangan, kaki, dada, perut, punggung dan leher.
  4. Apabila kita bangkit dari sujud dan kembali berdiri, kita telah menggerakkan hampir keseluruhan otot-otot di bahagian badan kita.
  5. Semasa duduk antara dua sujud dan duduk tahiyat, kita menggerakkan bahagian tumit, pangkal peha, kelangkang, sendi-sendi di bahagian kaki dan jari-jari kaki.
  6. Semasa memberi salam, kita menggerakkan urat, sendi dan otot di bahagian leher dan bahu, sambil menghembuskan nafas.
Keseluruhan aktiviti ini melibatkan pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah di badan kita. Solat tahajud pula merupakan satu amalan bonus untuk membolehkan badan kita menyerap oksigen dengan lebih berkesan.