Cara Menghilangkan Lapar dan Dahaga Semasa Berpuasa
Panduan Belajar Berpuasa
Buat Bukan Islam Yang Mahu Belajar Berpuasa
Jom Ikut Berpuasa - Puasa Sebagai Satu Tarikan Dalam Islam
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com
DIARI SILAM AMIENE REV:
Semasa masih belajar di universiti dahulu, saya mempunyai ramai sahabat rapat, dan salah seorang daripada mereka ialah seorang mahasiswa berbangsa Cina. Sekarang beliau merupakan seorang pendidik di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Saya masih ingat bagaimana dia begitu suka mempelajari mengenai agama Islam. Oleh itu saya mengajaknya untuk turut serta berpuasa semasa di bulan Ramadhan. Beliau begitu tertarik dengan ibadat berpuasa ini, menjimatkan wang saku, katanya. Dia juga turut serta apabila saya berbuka puasa.
PUASA SEBAGAI SATU TARIKAN BUDAYA: MARI CUBA BERPUASA
Di dunia ini terdapat ramai manusia yang tidak bernasib baik, hidup kelaparan tanpa makan dan minum. Berpuasa ini selain memenuhi tuntutan agama Islam, ia juga boleh dijadikan satu cara untuk kita turut merasai kesusahan dan kelaparan yang dihadapi oleh berjuta-juta manusia di dunia ini.
Ibadat berpuasa ini sebenarnya menarik. Bagi golongan yang bukan muslim, apa kata jika anda semua berpuasa sebagai satu cara untuk menghayati mangsa-mangsa kelaparan di seluruh dunia? Bagaimana sekiranya anda semua berpuasa sebagai satu kaedah untuk memahami kekurangan makanan dan kesusahan golongan miskin di serata dunia? Selepas menghayati kesusahan dan kelaparan pada waktu siang hari, maka kita pula akan dapat belajar bersyukur dengan berbuka puasa sebaik-baik sahaja matahari terbenam. Dengan cara ini kita akan dapat melatih diri kita supaya rasa bersyukur kerana masih dapat menikmati makanan yang mencukupi.
PANDUAN PERMULAAN BERPUASA YANG MUDAH: TIPS MENGHADAPI HARI PERTAMA BERPUASA
Panduan ini boleh diikuti oleh mereka yang baru belajar berpuasa supaya dapat bertahan sehingga ke waktu berbuka puasa:
1. Minum Air Pada Kuantiti Yang Mencukupi Sebelum Tidur dan Semasa Bersahur
Pada waktu malam, dan pada waktu bersahur, pastikan anda mengambil bilangan air yang mencukup. Jangan pula menunggu waktu bersahur untuk minum, pastikan minum sejumlah air yang cukup sebelum tidur, diikuti semasa waktu bersahur. Dengan ini, jumlah air di dalam badan dapat dikekalkan pada kadar yang seimbang.
2. Berada di tempat yang sejuk/kurang panas/teduh
Sepanjang bulan puasa, elakkan diri daripada berada di tempat yang panas. Suhu yang panas boleh menyebabkan kandungan air di dalam badan mengewap. Carilah tempat-tempat yang sejuk seperti di pasar raya atau hyper market. Banyakkan aktiviti membaca buku yang ringan dan menenangkan.
3. Kuatkan Kesedaran dan Niat Ikhlas Berpuasa Sebagai Satu Perjuangan
Sentiasa berfikiran rasional atau positif, bersangka baik dengan aktiviti puasa yang anda lakukan. Elakkan berfikir perkara-perkara yang negatif. Ceriakan perasaan anda dengan rasa berpuas hati dan gembira. Pada masa yang sama wujudkan kesedaran dan rasa insaf dan simpati terhadap mereka yang bernasib malang. Katakan kepada diri anda sendiri:
"Hari ini aku berpuasa, dan dengan ini aku dapat menghayati sebahagian kecil kesusahan dan kelaparan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa peperangan, anak-anak daripada keluarga yang miskin, dan orang-orang tua yang tidak berdaya yang tinggal keseorangan tanpa mampu mencari makanan sendiri. Juga bagaimana rasanya haiwan-haiwan yang hidup di muka bumi ini seperti kucing, anjing dan lain-lain binatang yang sentiasa kelaparan tanpa perhatian. Mereka merasainya setiap hari, dan hari ini aku berpuasa dan merasainya juga."
4. Hilangkan Rasa Lapar dan Dahaga Menerusi Aktiviti Yang Dapat Mencuri Masa Lapang
Isilah masa lapang anda dengan hobi yang berfaedah dan dapat membuatkan anda lupa terhadap tempoh masa kelaparan dan kehausan sepanjang hari anda berpuasa. Bagi orang-orang Islam pula, mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadat-ibadat seperti berzikir yang dapat menenangkan fikiran dan menginsafi diri sebagai seorang manusia yang dicipta oleh Tuhan mereka.
Semoga panduan permulaan bagi mereka yang mahu belajar berpuasa ini dapat dipelajari dan diikuti oleh para pembaca yang bukan beragama Islam yang berminat untuk belajar berpuasa. Semoga dengan aktiviti puasa ini, dapatlah anda yang bukan beragama Islam untuk sama-sama merasai pengalaman berpuasa, dan merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat Islam.
Salam perpaduan daripada saya, Amiene Rev. Selamat belajar berpuasa!
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com
|