KISAH BENAR: Mimpi Melihat Gajah, Rumah, Kereta, Orang Ramai dan Masjid
MIMPI 16 SEPTEMBER
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Berdasarkan mimpi pada malam tadi
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Berdasarkan mimpi pada malam tadi
Tahun 2008 ini, bulan September cukup istimewa, kerana 1 September bersamaan dengan 1 Ramadhan. Ia bagaikan pertemuan antara dua kalendar. Tahun ini juga, 16 September merupakan tarikh yang dianggap keramat bagi sesetengah pihak apabila ianya dikatakan sebagai tarikh sebenar Malaysia terbentuk, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 16 September, 1963. Tarikh ini dipilih dianggap sebagai tarikh kemerdekaan oleh warga Sabah dan Sarawak.
Mimpi Melihat Gajah
Malam tadi, aku bermimpi melihat begitu banyak gajah berhijrah meninggalkan hutan-hutan, lalu memenuhi jalan-jalan raya, mengunjungi kampung-kampung. Kehadiran gajah-gajah yang berbadan besar ini kelihatan amat menakutkan dan ramai orang mencari tempat perlindungan.
Mimpi Masuk Ke Rumah Besar
Dalam pelarian itu, kami melihat rumah-rumah yang banyak, ada yang besar dan ada yang kecil. Manusia berlari masuk ke rumah-rumah itu. Namun, gajah-gajah tadi terus mengekori kami, malah ada yang sampai ke depan pintu rumah, ke dalam rumah! Gajah-gajah ini rupanya tidak merbahaya. Gajah-gajah ini baik-baik belaka.
Mimpi Menaiki Kereta
Keadaan menjadi aman seketika, sebelum kemudian ramai orang berpusu-pusu keluar dari rumah masing-masing. Mereka semua seolah-olah bergerak menuju ke satu arah yang sama, seolah-olah mahu berhimpun di suatu tempat. Kami sekeluarga menaiki sebuah kereta yang tidak dapat dikenalpasti modelnya (agaknya model terbaru yang belum wujud), lalu menuju ke arah destinasi yang tidak kami kenali.
Mimpi Melihat Perarakan dan Perhimpunan
Kami tiba di satu padang yang luas. Terdapat satu pentas dan terdapat ramai orang mengelilingi pentas. Dan di atas pentas terdapat beberapa orang berkumpul sambil menjulang sepanduk dan kain rentang yang tertera organisasi masing-masing.
Di bawah pentas pula terdapat berjuta-juta orang, ada yang membawa payung. Aku melihat gambar-gambar bagi setiap manusia yang berpayung dirakamkan, dan dipadankan dengan imej-imej yang terdahulu, sekitar tahun enam puluhan. Gambar hitam putih. Aku tidak pasti apa yang mereka katakan, tetapi kelihatan semua orang di atas pentas begitu gembira, seolah-olah melagukan sesuatu. Kemerdekaan?
Mimpi Melihat Ramai Manusia Solat Berjemaah Di Dalam Masjid
Kemudian aku dapati semua orang sedang bersolat di dalam masjid yang sangat besar. Aku tidak pasti di manakah penghujung masjid tersebut, seolah sebuah masjid yang tidak ada penghujung jarak panjang dan lebarnya. Masjid yang sangat luas.
Semasa bersolat, dan setiap kali sebelum sujud atau rukuk, aku mendengar seperti ada bisikan suara manusia mengucapkan sesuatu secara serentak. Kemudian selepas solat aku melihat ada sesuatu di atas permaidani masjid. Cukup banyak, seolah sesuatu benda yang berguguran dari tubuh setiap manusia. Seperti sesuatu kotoran debu, pasir atau habuk yang tertanggal daripada jasad setiap manusia. Semua orang tampak bahagia.
Dan loceng telefon bimbitku berbunyi. Aku bangun pagi dan bersahur.
Aku tidak pasti sama ada mimpi itu ada kaitannya dengan peristiwa peralihan kuasa yang dikatakan akan berlaku pada 16 September 2008, tetapi itu sememangnya satu mimpi yang menarik untuk bulan ini. Jadi aku merakamkan mimpi tersebut di sini, supaya aku boleh kekal mengingatinya.
|