BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 27, 2007

Bermimpi Tentang Hantu, Tentang Super Hero

Malam tadi mimpinya sangat aneh. Aku berada di sebuah rumah besar seakan-akan pusat membeli belah. Dalam mimpi itu, aku bermimpi setiap kali aku hendak tidur, akan terdengar suara orang membuat persiapan hari raya, yang meriah tetapi seram. Kontradiksi yang kurang menyenangkan.

Setiap kali itu juga aku bangun, dan turun daripada rumah besar, yang diperbuat daripada kayu itu, untuk memastikan sama ada aku bermimpi atau pun tidak. Benar, wujud hantu!

Kemudian, aku bermimpi suatu perkara yang lebih menggemparkan. Aku bermimpi aku mewakili sekumpulan elit yang aneh. Dalam mimpi itu, aku perlu merampas sesuatu daripada satu kumpulan yang lain. Kumpulan yang satu lagi ini berpecah-pecah untuk menyukarkan kami merampas barang tersebut. Barang tersebut berupa satu kepingan kulit yang tertera satu simbol misteri. Kami berpecah, dan mengejar mereka semahu-mahunya.

Lebih unik, apabila setiap ahli kumpulan kami mampu mengubah rupa, dan menggunakan senjata yang unik. Aku menggunakan tiga mod yang berbeza, dan memburu pihak musuh sehingga ke luar bangunan yang tinggi, melompat dari satu bangunan ke satu bangunan dengan kuasa roket yang memancarkan cahaya ungu dan biru. Di tanganku terdapat senjata berupa kuku tajam yang panjang seperti watak hero Wolverine dalam X-Men. Kuku ini terhasil daripada sinar seakan-akan laser. Juga terdapat satu mod yang bersenjata yang lain, iaitu mampu memancarkan laser beam tetapi banyak menggunakan tenaga.

Aku memilih mod yang barangkali merupakan mod senjata yang terakhir iaitu sepasang tangan yang mampu menyerap tenaga daripada pihak musuh. Menggunakan mod ini, aku berjaya merampas 4 kepingan kulit yang tertera simbol misteri. Rakan-rakan sepasukan yang lain juga berjaya menyelesaikan tugas mereka. Musuh-musuh dibunuh semasa proses mendapatkan simbol misteri itu, cuma seorang sahaja yang dibiarkan hidup. Dia, musuh yang terakhir ini tidak melawan, dan menyerahkan saja simbol tersebut.

Kemudian kami pulang ke kubu. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Suasana futuristik dengan pancaran cahaya biru dan hijau. Misi selesai.


Dalam mimpi itu aku mengulas ketiga-tiga mod senjata yang digunakan:

  1. Mod bersenjata dengan senjata pencakar daripada cahaya laser seakan-akan wolverine. Terdapat sepasang roket bersifat jump-air atau speed booster yang berfungsi untuk membolehkan pengguna memecut laju ke hadapan atau melonjak ke udara. Aku menggunakan mod ini untuk mengejar salah seorang musuh, melompat dan menjejak/memanjat bangunan tinggi.
  2. Mod bersenjata dengan senjata seakan-akan laser beam. Pancaran laser ini seolah-olah hidup dan mampu mencari sasaran seperti seekor ular. Suit bersayap besi seolah-olah sayap jet yang digunakan pula bersifat membolehkan aku terbang di udara dengan bebas untuk menjejaki musuh. Pancaran laser ini mempunyai dua fungsi, memusnah dan menyerap kuasa musuh. Penggunaannya perlu strategik, sebab pengguna harus tahu bila masa yang sesuai untuk menyerap kuasa musuh untuk memastikan kuasa senjata ini tidak habis. Ini adalah kelemahan senjata yang amat berkuasa ini.
  3. Mod dengan sepasang tangan yang mampu menyerap kuasa musuh. Apabila dalam mod ini, aku mampu bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi untuk mengejar musuh. Mod ini merupakan mod terakhir yang aku gunakan untuk menyelesaikan misi.


Musuh-musuh pula kelihatan agak biasa. Aku tidak pasti sama ada pasukan kami terlalu kuat atau pihak musuh yang terlalu lemah. Aku juga tidak tahu apa motif merampas kepingan kulit dengan simbol misteri itu. Apa pun yang berlaku, misi itu berjaya diselesaikan.

Namun musuh yang terakhir itu ada memberitahu sesuatu kepada kumpulan kami. Menyebabkan dia tidak dibunuh. Barangkali, itu adalah klu untuk satu jawapan penting yang aku mahukan. Maklumat yang diberitahu musuh itu, akan menjadi rahsia.