BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 22, 2007

Tahukah Anda? Penyanyi Yang Mampu Menghayati Lagu Memiliki Ciri-ciri Seorang Pelakon Yang Baik

Semasa menulis skrip dan novel, saya mendapat ilham mengenai hubungan penyanyi dengan pelakon. Hasilnya dapat diterjemahkan seperti catatan di bawah:

Kadangkala, populariti seorang penyanyi menyebabkan penyanyi itu boleh dipilih untuk berlakon di dalam filem. Pun begitu, apakah ciri-ciri untuk memilih pelakon yang baik daripada kalangan penyanyi? Carilah penyanyi yang boleh menghayati lagu-lagunya. Lihat pada nada suaranya, cara dia mengalunkan sesuatu lagu itu.

Contoh-contoh penyanyi yang boleh berlakon adalah seperti berikut:

Ziana Zain terkenal dengan vokal lantangnya. Dia boleh membawa watak-watak beremosi.

Amy Mastura juga terkenal dengan kehebatan vokalnya. Lagu-lagu yang mampu dibawanya adalah berentak lantang dan lembut. Oleh itu Amy Mastura mampu membawakan watak-watak antagonis dan protagonis.

Ning Baizura mempunyai suara soprano. Menerusi lagu Awan Yang Terpilu, dapatkah anda bayangkan watak-watak yang boleh dilakonkan oleh Ning Baizura? Ning Baizura boleh membawa watak seorang kakak, seorang ibu atau watak-watak feminis yang mendorong kasih sayang.

Misha Omar juga mempunyai potensi dalam bidang lakonan. Cuba dengar lagu-lagu nyanyiannya dan bagaimana dia menghayati lagu-lagu tersebut.

Saya rasa Nora juga berbakat dalam bidang lakonan. Ogy Ahmad Daud juga mampu berlakon dan menyanyi. Jadi, ini juga menjawab persoalan kenapa P.Ramlee boleh berlakon dan menyanyi.

Kesimpulannya. Seorang pelakon boleh dilahirkan dari kalangan penyanyi yang mampu menghiburkan peminat-peminatnya menerusi cara dia menghayati lagu (nada suara, mimik muka dan gerak badan).

Siapa tahu Faizal Tahir suatu hari nanti mampu meletup sebagai seorang pelakon handalan?


Panduan Untuk Penerbit atau Produksi Kecil:

Sebagai seorang penerbit kecil, anda mungkin mencari pelakon-pelakon tidak ternama untuk produksi anda. Barangkali anda adalah sekumpulan remaja yang mahu menggunakan kamera digital untuk merakamkan filem pendek atau drama suka-suka untuk sambutan Hari Guru di sekolah, Hari Kemerdekaan di Universiti atau untuk rakaman drama atau sketsa untuk kempen-kempen tertentu di institusi anda.

Jadi bagaimanakah caranya anda boleh mencari pelakon yang baik? Carilah pelakon yang boleh menghayati nyanyiannya. Cuba minta dia menyanyi dan dengarlah bagaimana dia mengalunkan nada suaranya. Tidak perlu mempunyai nafas yang panjang atau vokal sehebat Anuar Zain dan Adibah Noor. Paling penting dia memiliki keupayaan untuk memaparkan perasaan sedih, gembira, ganas, lembut dan sebagainya menerusi nada suaranya.

Ini adalah salah satu ciri yang penting untuk menjadi seorang pelakon drama, pelakon filem, atau voice actor. Juga merupakan ciri asas yang perlu diambil kira oleh produksi baru.