BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 23, 2007

Mata Pena Yang Menjadi Punca Pembunuhan

Tidak ramai yang mampu memperalatkan mata pena sebagai objek pembunuhan. Mata pena juga boleh menjadi objek perpecahan. Teknologi telah mengubah pandangan ini.

Benarkah mata pena atau jari-jari kita sendiri yang melakukan pembunuhan itu? Jari-jari yang menaip tulisan perpecahan, tulisan hasutan, tulisan fitnah yang disebarkan ke mana-mana bentuk media. Tulisan yang cuma melihat keburukan dan pada masa yang sama menyembunyikan kebaikan. Itulah dunia politik yang serba busuk, mainan orang-orang Barat.

Benarkah cuma mata pena, benarkah cuma jari-jari yang melakukan pembunuhan? Corong-corong suara, bergema melaungkan pemberontakan. Dari lidah yang berbelit-belit mengelirukan minda manusia, kerana jahatnya mulut musuh-musuh manusia ini.

Benarkah cuma mata pena, jari-jari dan lidah? Nafsu yang menguasai akal manusia. Nafsu yang mewujudkan pandangan dengki dan tamak. Manusia mula mencari keburukan setiap manusia yang dibencinya, setiap manusia yang mahu digulingkan, dikalahkan lalu dibuang ke longkang-longkang fitnah.

Adakah dengan mencari keburukan orang lain, segala masalah akan selesai? Dan, syaitan, iblis dan ifrit ketawa terbahak-bahak, melihat betapa bodohnya manusia, memperdayakan sesama bangsanya.