BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 18, 2007

Orang Menulis Untuk Berbicara

Apabila kita menulis buku, bermaksud kita sedang bercakap dengan seseorang. Pembaca kita adalah pendengar. Mereka mendengar dengan suara hati mereka yang membaca tulisan kita dengan mata mereka.

Setiap orang, ada gaya masing-masing untuk berbicara. Ini diri sebenar penulis. Penulis menyusun kata-katanya dalam bentuk bertulis. Sekiranya kita suka hasil tulisan penulis tersebut, kita, secara automatik akan menyukai penulisnya, meminatinya.

Sekiranya kita mahu mengukur berapa ramai orang yang sukakan cara pergaulan kita, maka tulislah dengan jujur, novel-novel dan buku-buku kita.

Sekiranya buku-buku tersebut lingkup di pasaran... Astagfirullahalazim! Bermaksud, cara penulisan kita tidak menyenangkan. Topik yang kita bualkan, tidak menarik. Barangkali, apa yang kita tulis itu cuma leteran sahaja. Kritikan sahaja tanpa komen membina.

Mengenai soal pujian. Saya sebenarnya lebih suka pandangan membina. Pujian sahaja tidak bermakna. Pujian mesti disertai dengan pandangan membina.


Contoh pujian tidak bermakna:

"Saya suka baca cerita awak." Apa yang menyebabkan pemuji suka baca karya tersebut?

"Blog awak ni cantiklah." Apa yang cantik?

Pujian-pujian seperti di atas adalah racun yang boleh membunuh jika penulis atau blogger tidak sedaya upaya mengesan kelemahan di dalam blognya.


Contoh pujian bermakna:

"Hasil tulisan awak menyentuh perasaan saya. Apabila awak mengkritik sesuatu isu, kritikan awak boleh menyebabkan siapa yang termakan cili dia terasa pedas. Apabila awak menyokong sesuatu perkara, tulisan awak membuatkan saya rasa saya juga patut menyokong kebenaran yang awak paparkan."

Pujian bermakna biasanya memakan sedikit masa, dan pemikiran kritis para pemuji bermakna. Pemuji-pemuji ini telah mengemukakan pandangan terhormat.

"Rekabentuk blog awak kelihatan cantik dengan warna latar biru dan putih yang menyejukkan mata. Susunannya kemas. Setiap kali saya datang ke sini, saya pasti akan berasa tenang. Saya suka blog awak."

Pujian seperti di atas barulah membawa makna. Penulis atau tuan punya blog baru akan dapat menafsir apa yang baik di dalam blognya.


Contoh-contoh kritikan yang tidak bermakna (atau komen sampah):

"Warna yang awak gunakan dalam blog awak tidak sesuai."

Apa yang menyebabkan warna yang digunakan tidak sesuai? Pengkritik seolah-olah mati akal untuk mengkritik dan ayat kritikannya tersungkur di tengah jalan.


"Saya tidak suka blog awak."

Apa yang menyebabkan pengkritik tidak suka blog tersebut? Komen, pujian dan kritikan yang tidak ada harga untuk membantu penulis mengenalpasti kelemahan diri seperti ini biasanya tidak diluluskan dan ditendang keluar dari blog.

Kebiasaannya penulis atau blogger yang tidak suka dengan kehadiran pengkritik seperti ini akan menyatakan ayat-ayat seperti berikut: "Ini blog saya!" atau "Suka hati akulah nak tulis apa dalam blog aku."


Menilai karya-karya sendiri:

Bagaimana hendak menilai karya-karya tulisan kita sendiri? Setiap manusia memiliki naluri yang istimewa. Naluri untuk mengesan bahaya, mengesan perubahan emosi dan sebagainya. Kita lihat bagaimana penulis-penulis berjaya biasanya mengharungi zaman sukar pada mudanya. Setiap nama-nama besar dalam arena penulisan, akan mengharungi pelbagai tentangan, pembulian dan penindasan yang disebabkan oleh faktor manusia, wang dan takdir. Kejayaan akan datang kemudian. Mereka berdikari, maka mereka berjaya.

Menerusi penindasan, pembulian dan tentangan yang diterima, penulis mula menghayati erti kemanusiaan yang sebenar. Ketika inilah mereka mencapai tahap tertinggi dalam menilai karya-karya mereka sendiri, dan mereka akhirnya memiliki naluri best-seller.

Dunia penulis berbeza dengan dunia perniagaan. Penulis yang ditindas, dibuli dan ditentang akan menjadi semakin kuat. Semakin hebat. Semakin mereka dianiayai, semakin mereka dapat meningkatkan potensi mereka.

Kerana apa? Kerana penulis adalah pendidik. Mereka menyebarkan kebenaran. Ini adalah suatu keberkatan. Mereka menggunakan anugerah Allah ke jalan yang benar. Pembuli, penentang dan penindas tidak akan berjaya. Cubalah, cabarlah kekuasaan Allah, mereka tidak akan berjaya. Penulis yang menulis mengenai kebenaran akan menang!


Kesimpulan:

"Pujian yang tidak membina umpama kabus dingin yang mengganggu pandangan mata pada waktu pagi, manakala kritikan yang tidak membina umpama jerebu yang menyakitkan mata pada siang hari yang panas." - Amiene Rev