Kata-kata Untuk Seorang Sahabat
Assalamualaikum,
Hari ini aku membaca blogmu. Nampaknya engkau dah kembali menulis. Aku sudah membaca catatan engkau dan mendapati apa yang engkau katakan itu benar. Engkau memang orang yang merugikan diri sendiri. Engkau tidak dapat melepaskan hasrat orang lain dan hasrat engkau sendiri.
Oleh sebab engkau bergantung kepada mereka, maka engkau tidak dapat lepas daripada dilema yang menjerat diri engkau. Kau akan dapat melepaskan diri kalau engkau menggagalkan hasrat orang lain dan engkau harus bersiap sedia untuk menanggung cemuhan, kutukan dan kekecewaan mereka semua.
Tetapi, aku tidak rasa engkau akan mampu berbuat demikian, maka engkau harus bersiap sedia untuk menderita untuk beberapa jangka masa lagi.
Memang benar, ada ramai manusia yang cuma suka memandang kejayaan orang lain. Sebab itu wujudnya idola. Patung yang dipuja. Sama ada engkau mahu menjadi idola atau pun ikon, itu terpulang pada diri engkau sendiri.
Aku pasti, asalkan engkau berani mengambil satu langkah drastik, maka engkau akan mampu menyebabkan orang-orang yang memandang remeh terhadap engkau, bagaikan terkena histeria, datang berjabat tangan dengan engkau. Engkau akan menjadi pesaing mereka. Ketika itu terpulanglah kepada engkau sama ada mahu menyambut tangan-tangan mereka yang kotor, atau, memijak kepala-kepala mereka. Jawapan aku ini adalah berdasarkan apa yang aku rasa setelah aku menghayati tulisan engkau.
Kalau engkau rasa dengan menggagalkan diri engkau dalam akademik yang telah engkau tabah mengharunginya selama hampir satu dekad, dan terus mencari peluang untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan yang kau rindui itu, maka aku tdak dapat menghalang engkau lagi. Tetapi bersiap sedialah untuk mengecewakan orang-orang yang terdekat dengan engkau.
Tetapi kalau engkau dengan tidak sengaja memilih untuk 'mengecewakan' penerbit-penerbit dan penulis-penulis yang sedang menunggu engkau menyiapkan karya-karya engkau, sebab engkau rasa kepentingan untuk taat dan setia kepada orang-orang yang paling rapat dengan engkau. Maka aku juga tidak menghalang. Dalam dunia ini, terdapat banyak penerbit. Engkau tidak boleh rasa dengan mengecewakan penerbit-penerbit kesayangan engkau itu, dunia penulisan engkau sudah tamat! Bodoh engkau ini.
Kalau aku, aku akan menumpukan segenap masa yang ada untuk orang-orang yang paling rapat dengan aku. Keluarga aku. Ibu bapa aku. Sebab, mereka yang menanggung aku. Aku akan berusaha untuk menamatkan apa yang perlu aku tamatkan untuk memenuhi hasrat mereka. Aku rela mati semata-mata untuk menunaikan hasrat ibu bapa aku. Itu, kalau aku jadi engkau!
Tapi mungkin kau akan kata, cakap itu memang senang. Ya, cakap itu memang senang. Aku telah mengorbankan banyak masa aku untuk menolong orang lain. Aku tidak kutip satu pun hasil daripada orang-orang yang aku telah tolong. Malah kadang-kala ada orang yang tidak tahu berterima kasih, ada yang seperti diberi betis hendakkan peha, memaksa aku menolong mereka dengan lebih lagi.
Tapi aku biarkan itu semua. Sebab apa? Sebab. Aku tahu fitrah manusia memang begitu. Tidak semua manusia mudah untuk bersyukur. Sebab itu dalam dunia ini wujud persaingan, wujud hasad dengki dan dendam. Tidak boleh tengok orang lain senang. Tidak boleh tengok orang lain lebih hebat daripada dia.
Namun aku juga sekarang sedang mengejar cita-cita aku. Aku akan berangkat ke luar negara, tidak lama lagi. Aku ada sesuatu yang perlu aku cari.
Engkau macam mana? Beberapa minggu lepas, bila engkau kata, mahu meninggalkan dunia penulisan semata-mata mengejar hasrat bonda, aku sudah boleh tersenyum. Sebab, sebab apabila engkau sudah dapat membuat keputusan sendiri, aku rasa itulah masanya engkau akan menjadi manusia.
Engkau tahu apa yang perlu engkau lalui. Dunia ini ada banyak cabaran. Kalau engkau mahu senarai penerbit-penerbit yang boleh membantu engkau, aku boleh berikan kepada engkau. Aku boleh cari. Kita adalah nakama!
Kau boleh terus menulis lagi selepas berjaya menunaikan hasrat bonda. Kau boleh. Pasti boleh. Jangan bodoh lagi. Teruskan. Tunaikan hasrat bonda engkau itu. Dan kemudian, kita akan sama-sama mengejar cita-cita masing-masing.
Sahabatmu,
Amiene Rev
27.10.2007
|