BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 02, 2007

Apabila Seseorang Itu Benar-benar Layak Menjadi Penulis Novel

Lagu-lagu latar dimainkan secara medley yang mahu ditambah dalam koleksi lagu-lagu yang diminati sepanjang zamanku:







Dalam diri ini ada semacam keraguan, yang timbul, apabila mahu mula bergelar sebagai seorang novelis. Semua orang boleh menjadi penulis, tetapi penulis yang bagaimanakah itu, bergantung kepada tanggapan dirinya.

Apakah perkara yang meragukan bagiku, sebagai seorang penulis novel? Personaliti. Keperibadian seorang penulis novel. Aku bimbang sekiranya apa yang aku tulis nanti, akan mencetus peperangan dalam jiwa setiap pembaca novelku. Seolah-olah terputusnya tali kebenaran, dalam pinggiran neraka kesesatan.

Adakah impak yang mengenai para pembaca itu nanti, impak yang yang baik, atau akan menjuruskan mereka kepada nilai-nilai negatif seperti kebencian, dendaman, kemurungan, kekufuran, sukakan sifat baran, sukakan keganasan, kealpaan, hasad dengki, materialistik, ego, gilakan kuasa, atau sukakan provokasi?

Seorang penulis itu adalah seorang pendidik. Karya-karyaku perlu diteliti semua, agar pengadunan dan pengolahan mesejnya tercapai. Biar sejahat mana pun sesuatu watak itu, maka tidak ada seorang pembaca pun yang akan suka atau mahu mengikuti jalan kesesatan itu.

Betapa hati ini sentiasa menangis dan menyesal, apabila melihat mimpi-mimpi yang dibayangi kesesatan, sekiranya karya-karya yang lahir daripada jari-jemari yang memetik petak-petak abjad ini, merupakan induk terhadap perkara-perkara negatif ini. Betapa gentarnya isi daging yang memaut jantung, dan darah panas yang melancari urat-urat di tubuh ini, apabila mengenangkan bagaimana mata dan telinga ini mendapati mimpi-mimpi seram itu menjadi nyata pada kemudian hari.

Sebuah karya, adakalanya memerlukan masa bertahun-tahun untuk disempurnakan, apabila mahu memikirkan soal ini. Pucuknya di sini, adakah masa lapang yang benar-benar wujud ketika ini benar-benar dapat dimanfaatkan untuk menatang minyak yang penuh?

Novel yang terhasil itu nanti, perlu melalui banyak peringkat tapisan dan pengadunan, seperti jeli raja yang diperolehi daripada sang ratu lebah. Zat-zat yang menghidupkan sesebuah karya itu akan mencerminkan keperibadian seorang penulis.

Seorang penulis yang benar-benar berjaya, adalah seorang pendidik yang matang. Tidak kira bagaimana caranya kisah itu disampaikan, sehebat mana pun imaginasi yang dapat dicorakkan pada minda pembaca, pemikiran dan fokus penghayatan pembaca itu haruslah dikembalikan pada mesej yang hendak disampaikan.

Ini adalah Teknik Penulisan Novel Amiene Rev. Biar pun teknik ini atas namaku, namun, sesungguhnya ilham itu datangnya daripada Allah. Apabila dia menyampaikan kepakaran ini kepadaku, maka aku akan menggunakan kepakaran ini untuk membentuk minda pembaca yang benar-benar sepadan dengan statusnya sebagai manusia, Hamba Allah.

Ketika ini, terasa betapa beratnya beban sebagai seorang penulis. Jalan itu tampak terlalu jauh dan berliku-liku. Namun jika hari ini tanpa niat, jika hari ini tanpa satu langkah, maka pada kemudian hari, aku akan tertinggal satu niat dan satu langkah.

Maka langkah itu akan sentiasa berterusan. Seperti ajal yang meragut jiwa. Ada yang mati muda, dan ada yang mati tua. Yang muda, yang tua, tidak kira apa pun usia ketika meninggalnya, tidak semestinya menuju ke syurga, dan tidak semestinya sentiasa ke neraka. Bergelar seorang penulis pun begitu juga.

Tidak boleh terburu-buru untuk menjadi seorang penulis, hanya kerana atas batas usia. Seseorang itu dapat menjadi seorang penulis pada usia muda, maka itulah rezekinya yang diizinkan Tuhan, sedangkan setiap manusia juga harus sentiasa berusaha, biarpun belum dapat menyatakan hasilnya.

Adakah kamu, mahu bergelar seorang penulis termuda, atau mahukan syurga itu sebagai tempat terakhir penujuanmu dalam erti hidup yang serba luas maknanya? Maka jadilah penulis yang diredhai-Nya. Mengejar keredhaan Allah itu nyata terlalu penting sehingga tidak ada ruang lain selainnya.

Aku memohon kepada-Mu, jadilah aku penulis novel yang diredhai-Mu. Moga-moga setiap titik darah yang terhasil dari kantung rezekiku itu nanti, adalah hasil pembelian pembaca yang membaca karya-karya tulisanku dan kemudian mendapat kebaikan dan hikmah daripadanya.

Amin.