BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Oktober 19, 2007

Dua Filem Barat Pilihan Amiene Rev - Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness

Petang tadi, selepas Solat Jumaat, aku keluar mencari makanan dan bahan bacaan di luar kampus. Hujan sekarang makin kerap turun pada waktu tengah hari dan menyebabkan ramai orang terbatuk-batuk kerana perubahan suhu dan penyebaran virus batuk secara promosi.

Sempat juga aku menonton cerita The Seeker - The Dark Is Rising. Watak utamanya, Will Stanton memperlihatkan ekspresi muka yang agak jahat ketika berjaya menewaskan antagonis. Ini mengingatkan aku kepada watak Anakin Skywalker.

Aku rasa setakat ini tidak ada cerita yang benar-benar menarik minat aku selain trilogi Bourne (The Bourne Identity, The Bourne Supremancy dan The Bourne Ultimatum), Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness.

Menerusi filem-filem Bourne, aku tertarik dengan manipulasi plotnya. Aku rasa manipulasi plot-plot ini juga terserlah dalam skrip drama remaja terbitan anak-anak tempatan iaitu "KAMI". Filem yang mengisahkan mengenai gejala sosial remaja yang semakin berbau dalam nafas budaya tempatan.


Filem Pilihan Amiene Rev - Bridge To Terabithia

Filem Bridge To Terabithia juga agak menarik kerana mengingatkan aku pada zaman kanak-kanak aku. Benar-benar seperti zaman kanak-kanak aku. Watak yang paling menarik(dan kasihan) dalam filem ini ialah Maybelle (adik perempuan Jess) dan Janice (gadis pembuli - watak makhluk gergasi troll amat mirip dengan Janice). Benar-benar mirip dengan zaman kanak-kanak aku. Persahabatan yang sangat dirindui antara seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan. Aku tidak tahu sama ada aku akan dapat menemui dia lagi...

Perasaan menyentuh hati menguasai diri apabila menonton filem nostalgia ini. Aku berasa simpati dengan watak Maybelle dan Janice. Bagi aku skrip cerita ini memiliki kekuatan dan sekiranya aku ini adalah seorang penganjur majlis penyampaian anugerah, maka skrip cerita ini pasti akan menerima anugerah.

Lihatlah bagaimana imaginasi kanak-kanak diserlahkan dalam filem ini. Aku teringat juga, bagaimana pada zaman kanak-kanak, kami pernah melakukan perkara yang sama, bermain dengan imaginasi. Mewujudkan suasana cemas, watak-watak antagonis, raksasa dan sebagainya. Suatu advencer silam yang kini dibangkitkan semula secara memori menerusi filem Bridge To Terabithia.

Cerita ini berjaya memaparkan kisah kanak-kanak secara nyata dari sudut pandangan kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak yang memiliki kecerdasan spatial. Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi.

Kehebatan Jess Aaron sebagai kanak-kanak yang memiliki kecerdasan spatial terserlah pada awal penceritaannya. Pengarah bercerita mengenai kebolehan Jess pada permulaan cerita menerusi bahagian kreditnya. Lihat sahaja lukisan kanak-kanak yang bergerak-gerak sudah memberikan mesej kepada aku, pasti jalan ceritanya berkisarkan imaginasi atau kreativiti seorang kanak-kanak.

Lagu tema filem Bridge To Terabithia juga sangat menarik. Lagu temanya hidup dan mewakili simbolik kecerdasan yang diluahkan dalam melaksanakan erti kehidupan seorang kanak-kanak berbakat spatial. Lagu tema filem tersebut boleh didengari (format Flash) sebaik-baik sahaja laman web di bawah dilayari:



Untuk filem The Pursuit Of Happyness, aku rasa tidak perlu aku mengulas lagi keseronokan menonton cerita ini. Aku sudah mengulas filem ini secara ringkas di entri yang lain. Aku ada menyelitkan ulasan-ulasanku dalam entri yang ini dan yang ini.

Resident Evil - Extinction kurang menyengat (dari aspek debaran) biarpun ada pembaharuan. Namun penamatnya ada tarikan, iaitu di mana Alice bersatu dengan klon-klonnya untuk menentang antagonis.

Apabila Bridge To Terabithia menimbulkan kerinduan pada masa silamku, The Pursuit Of Happyness pula mengingatkan aku mengenai cabaran masa kini dalam usaha mencari masa depan yang terbaik. Dan aku, seperti Jason Bourne, memburu kehidupan yang nyata dengan jiwa yang tabah dan tegas.

Jadi aku mengumumkan filem-filem dari Barat iaitu Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness sebagai dua buah filem menyentuh hati yang menjadi pilihan untuk dijadikan koleksi filem 2007. Manakala trilogi Bourne sebagai pengikat antara kedua-duanya. Kemunculan Die-Hard 4.0 (lakonan Bruce Willis, yang aku suka melihat filem-filem aksinya) dan Transformers, turut memeriahkan suasana.