BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 07, 2007

Pengembara Dari Geneva, Bergembiralah

Aku bergembira hari ini kerana jawapan untuk kertas ujianku menepati skema dan oleh itu aku mendapat markah penuh untuk subjek logik yang dikatakan sangat sukar itu. Syukur ke hadrat Ilahi yang memberikan aku ingatan yang luar biasa seperti ini. Jika bukan kerana ingatan yang luar biasa itu, sudah pasti tidak akan dapat aku mengingati teori, lemma, formula dan seumpamanya.

Cuba bayangkan bagaimana menderitanya hidup ini, apabila dimestikan untuk menulis satu persatu simbol-simbol Yunani dan Greek purba itu, yang mewakili rumus-rumus yang berbaris-baris sehingga berpuluh-puluh baris.

Aku mengambil langkah Sei yang nyata lebih baik daripada langkah Dou, iaitu salah satu cabang dalam seni asas untuk menguasai Seikyuusen, lalu kupraktik dengan segenap rel organ minda untuk menguasai rumus-rumus itu. Jika hilang satu fungsi di dalam rumus yang sangat panjang itu, maka baris-baris itu akan pincang dan jawapan akhirnya juga akan tumbang.

Di dalam kelas itu, aku menjadi satu-satunya pelajar yang dapat menjawab salah satu subjek dalam cabang Matematik itu dengan sempurna. Sesungguhnya setiap yang berlaku itu adalah dengan izin Allah. Kepintaran ini juga adalah anugerah Allah.

Namun, hatiku tetap dibayangi perasaan gelisah, apabila memikirkan peperiksaan akhir yang bakal menjelang selepas Al Quds. Lalu, aku pun menggenggam tangan kananku, sambil memandangnya dengan mata yang memancarkan cahaya seperti lampu stadium, terang benderang, penuh dengan semangat Sei yang mutlak.

Demi melindungi keluargaku, saudara-saudaraku dan demi martabat bangsa dan agamaku, aku akan menjulang kepintaran dan ketampanan yang aku miliki untuk menakluk dan membasuh segala bentuk kejahatan Baal dan kenegatifan Negacion, untuk membawa pulang seribu rahmat yang tidak penghabisan kembali kepada yang berhak.

Alangkah beruntungnya, sekiranya aku syahid dalam memerangi kemungkaran.

"Rahmat telah kembali," bisik Kebenaran dengan suara yang mendatar.

Malam tadi, aku bermimpi, seorang manusia berjubah dan bercahaya menunaikan solat di bilikku. Sehingga kini, aku masih dapat merasai kehadiran bau wangi kasturi yang keluar dari mulutnya yang sepanjang malam berzikir sehingga sekitar jam 5 pagi.

Oh, mungkin limau itu. Aku terlupa memakannya dua hari lepas! Tapi limau itu itu bukannya limau kasturi!