BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 28, 2007

Surat Untuk Seorang Sahabat: Menjelang Peperiksaan Akhir Semester I

Assalamualaikum,

Aku harap, engkau sudah baca surat aku yang sebelum ini. Ini barangkali surat yang terakhir untuk semester ini. Kalau engkau menulis untuk takdir. Aku menulis untuk engkau. Menegur engkau.

Aku dah buat banyak benda untuk membantu engkau. Aku wujudkan program khas untuk bantu engkau. Aku dah buatkan KITAB untuk bantu engkau pulihkan keyakinan engkau. Aku dah buat program khusus untuk membantu orang-orang yang lemah macam engkau. Tapi, nak buat macam mana, sebab manusia sekarang begitulah, lebih pentingkan diri sendiri. Ada pula yang ego, dah tahu diri tu lemah dalam pelajaran, tak nak pula bagi kerjasama. Saat-saat akhir baru nak tanya aku itu dan ini. Masa tu, aku dah tak boleh bantu. Kita dah bagi peluang untuk belajar. Kita dah bagi peluang untuk cari tenaga pengajar khas untuk bantu golongan ini. Ego.

Sayang sekali ada syarat daripada pihak fakulti. Mana ada tutor nak mengajar percuma? Semua nak berbayar. Aku dah bincang dengan wakil daripada fakulti, supaya walau macam mana pun mesti nak tolong orang-orang yang lemah akademik. Berjaya juga dapatkan beberapa orang tenaga pengajar. Nak bantu orang-orang yang lemah dalam akademik. Nak bantu engkau. Tapi tak ada tutor yang boleh bantu engkau, sebab semua yang ambil subjek tu, budak tahun akhir. Yang pandai subjek tu semua dah tamat pengajian. Jadi macam mana? Terpaksalah engkau berdikari.

Aku faham kerja-kerja menulis novel yang engkau tengah buat bukan novel biasa. Macam nak siapkan satu projek akademik. Bahan rujukan kena ada. Sebab tu, untuk siapkan satu-satu novel tu, perlu makan masa yang banyak. Engkau perlu menjiwai setiap watak dalam novel engkau. Ingat, karya novel yang macam ini apabila keluar kelak, banyak faedahnya kepada pembaca engkau. Ada bahan rujukan. Ada konsep-konsep matematik dan sains.

Bukan semudah mengarang cerita fantasi. Menulis sebagai satu cara untuk mengajar. Aku setuju dengan konsep engkau. Kita menulis, bukan menulis kosong-kosong sahaja. Bukan perasaan sahaja. Bukan fantasi semata-mata, tetapi berdasarkan hujah-hujah yang berat. Ada teori yang dipraktikkan semasa-masa menulis novel. Sebab tu novel engkau lambat siap dan engkau tak dapat nak tumpukan dua perkara dalam satu masa.

Aku pun sebenarnya sama juga macam engkau. Sebab nak tumpukan pada program kemasyarakatan, program untuk bantu meningkatkan akademik mahasiswa, aku abaikan dulu penulisan novel aku. Sebab aku nak bantu engkau. Aku nak bantu budak-budak yang lemah dalam akademik tu. Itu paling penting. Dan, aku penat buat kerja-kerja ni semua.

Aku kena luangkan masa untuk belajar dan pada masa yang sama memastikan program-program ni bergerak. Utamakan akademik, sahabatku. Saudaraku.

Aku tahu, engkau adalah orang yang jenis determine. Sifu pernah kata macam tu. Selagi satu kerja tu tak siap, engkau takkan rasa senang hati untuk buat kerja lain. Selagi engkau tak lepas halangan engkau di universiti ni, selagi tu kau tak rasa senang nak menulis novel.

Aku faham. Aku tahu, macam mana orangnya engkau ini. Aku dah kenal engkau dekat tujuh tahun. Sejak engkau masuk ke sini. Junior-junior engkau pun aku pernah jumpa. Junior-junior engkau ada yang sambung belajar di peringkat lebih tinggi dekat sini. Aku pernah tanya dia orang mengenai engkau. Minta pendapat macam mana nak tolong engkau.

Jadi aku rasalah. Benda paling baik untuk engkau, habiskan apa yang patut engkau habiskan. Jangan main tarik tali lagi. Aku takut nanti masa engkau menulis jawapan untuk kertas peperiksaan akhir engkau nanti, yang keluar novel. Aku tengok manuskrip yang engkau tulis hari tu pun aku dah tahu. Betapa jelasnya watak-watak yang akan hidup dalam novel engkau.

Novel engkau tu, jalan cerita, suasana, watak-watak semuanya ada bahan rujukan. Novel kau berkualiti tinggi. Ada nilai. Sebab, bukan semua orang boleh luangkan masa berfikir macam engkau. Setiap satu perkataan yang kau tulis tu ada logik dan hujah-hujahnya. Ada kajian, ada teori dan fakta. Novel macam tu takkan siap dalam beberapa bulan.

Pernah dengar, bagaimana Stephen King membuang Bab 1 untuk novel Carrie ke dalam tong sampah? Tekanan yang cukup tinggi. Engkau pun sekarang tertekan untuk siapkan novel engkau. Bahan rujukan yang sesuai belum ditemui. Aku faham, cita-cita engkau untuk menulis sebab engkau hendak mengajar manusia mengenai pelbagai ilmu. Konsep-konsep sains, matematik, psikologi, fakta sejarah dan lain-lain. Bukan boleh ditulis sebarangan.

Juga aku tahu engkau tak mahu karya-karya engkau jadi macam segelintir karya-karya Faisal Tehrani. Ada sesetengah adunannya tidak kelihatan hidup. Tidak natural. Engkau sedang berusaha mencipta karya agung yang menggabungkan ilmu pengetahuan dan cereka. Bukan mudah tetapi boleh disempurnakan.

Kalau engkau ada masalah kewangan, tulis saja novel-novel biasa. Tapi ego engkau cukup tinggi. Pendirian engkau keras! Engkau berdegil nak tulis novel-novel yang berkualiti tinggi. Aku hormat pendirian kau.

Tapi engkau kena fikir, kalau engkau rasa perlu menggunakan dunia penulisan untuk menyara hidup engkau, maka jangan berdegil untuk hasilkan karya-karya biasa. Biarlah tak ada rujukan, biarlah cuma bergantung pada imaginasi engkau sahaja. Tak ada penerbit yang marah. Gunakan pengalaman engkau. Tak apa. Tapi bukan sekarang. Sekarang, engkau perlu bersiap sedia untu peperiksaan akhir engkau. Lepas habis peperiksaan. Cuba luangkan masa untuk tulis satu karya novel yang ringkas. Tak perlu bahan rujukan. Novel macam tu, aku yakin engkau boleh siapkan dalam masa satu bulan.

Kalau boleh. Kalau tak boleh, kalau kau tetap ego nak bermula dengan novel-novel berkualiti. Kalau engkau rasa masalah kewangan tak menjadi halangan. Tumpukan pada akademik engkau dulu. Tamat pengajian, baru tulis novel-novel yang kau idam-idamkan tu.

Orang macam engkau memang degil. Tegas dan garang. Tegas dan tabah. Selagi tak habis satu perkara, susah nak siapkan satu perkara yang lain.

Aku tahu. Engkau tidak mahu mengecewakan keluarga engkau. Jadi engkau tidak mahu menggagalkan diri engkau. Engkau bertahan selama 7-8 tahun ini, sebab engkau tidak sanggup mengecewakan ibu bapa engkau. Pada masa yang sama, engkau tidak mahu melepaskan cita-cita engkau. Apa kata, tangguhkan cita-cita engkau, untuk selesaikan satu perkara dulu. Tapi itu saja yang aku boleh kata, kalau kau rasa tertekan, sebab masalah kewangan dan engkau mahu menggunakan dunia penulisan untuk tujuan itu, hasilkan karya yang biasa-biasa sahaja. Tak perlu kerja rumah yang berat-berat. Tangguhkan sementara waktu. Cuma engkau yang boleh tolong diri engkau.

Minggu depan, peperiksaan akhir dan nak bermula. Semoga engkau berjaya. Semoga Tuhan murahkan rezeki engkau. Semoga Tuhan permudahkan urusan engkau. Semoga Tuhan berikan kejayaan dan kebahagiaan hidup kepada engkau di dunia dan di akhirat. Semoga Tuhan berikan engkau Jalan Yang Lurus. Ini doa aku. Engkau pun kena berdoa untuk diri engkau. Selamat berjaya!

Sahabatmu lagi,
Amiene Rev
28.10.2007