BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 30, 2007

1957 - Hati Malaya dan KBT-KITAB

Hari ini ramai penuntut universiti keluar bersiar-siar. Memandangkan minggu ulangkaji pelajaran sudah bermula dan hari ini pula adalah hari tengah dalam minggu tersebut, ramai pelajar mengambil peluang melapangkan fikiran pada hari ini. Aku pula pergi menonton filem 1957 - Hati Malaya. Bagi aku, filem tempatan seperti ini perlu disokong, dan aku rasa tidak salah untuk menontonnya.

Filem ini adalah filem MESTI ditonton bagi sesiapa yang merasakan dirinya masih merupakan warganegara Malaysia, tidak kira Melayu atau bukan Melayu.

Bagi pelajar-pelajar sekolah yang ingin menghayati sejarah kemerdekaan, atau ingin meningkatkan kefahaman berkaitan dengan peristiwa kemerdekaan, atau sedang menyiapkan folio Kajian Sejarah Tempatan berkaitan dengan kemerdekaan; kisah Datuk Onn Jaafar, kisah Tunku Abdul Rahman Putra, kisah menuntut kemerdekaan dan seumpamanya, maka filem ini wajar dijadikan sumber rujukan.

Saya pasti setiap sekolah wajar menghantar pelajar-pelajar menonton cerita ini. Sekiranyanya filem ini sudah tidak ditayangkan lagi, pihak sekolah dan pusat-pusat sumber wajar mempertimbangkan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu VCD atau DVD filem 1957 - Hati Malaya sebagai bahan rujukan penting dalam usaha menghayati sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, secara visual dan dramatik.

Detik permulaan menarik dalam cerita ini adalah apabila Adlin dan Maya Karin berhujah untuk mempertahankan rekabentuk kulit buku. Adlin beranggapan bahawa kulit buku yang menunjukkan Tunku Abdul Rahman menjerit kemerdekaan adalah simbolik yang paling utama manakala Maya Karin atau Sal, mempertahankan rekaan kulit bukunya yang memaparkan wajah Dato' Onn bersama-sama Tunku Abdul Rahman kerana baginya kedua-dua orang inilah yang memperjuangkan kemerdekaan.

Pada akhir filem ini, ditunjukkan bagaimana akhirnya kedua-dua idea itu digabungkan. Memandangkan memang benar Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, kedua-duanya memainkan aspek penting dalam memperjuangkan kemerdekaan, maka wajah kedua-duanya dimuatkan di muka depan, kulit buku 1957 - Hati Malaya.

Filem ini membuatkan aku dapat melihat penderitaan Dato' Onn semasa memperjuangkan kemerdekaan. Tekanan yang dihadapinya, krisis dan kegembiraan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dalam hal ini, aku melihat, Dato' Onn bersusah payah mengasaskan kemerdekaan. Kerana merajuk apabila segelintir rakyat menuduhnya sebagai pengkhianat kerana memberi peluang kepada kaum-kaum lain menyertai UMNO, Dato' Onn menyerahkan jawatannya kepada Tunku Abdul Rahman, dan menubuhkan parti baru iaitu IMP.

Tunku Abdul Rahman meneruskan perjuangan Dato' Onn dengan bijaksana. Bak kata Monyet Gunung Salji dalam cerpen Tajima Shinji, jika tidak ada musim bunga, maka kita harus pergi mencari musim bunga, Tunku Abdul Rahman maju ke London untuk bersemuka dan berbincang mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Namun, sebelum itu, masalah berkaitan dengan tambang pengangkutan ke sana perlu diatasi.

Di sinilah dapat dilihat satu lagi babak yang mengharukan hati, apabila semua rakyat mengorbankan wang, barang kemas dan apa-apa barang berharga untuk menampung kos pengangkutan Misi Merdeka.

Untuk mencapai kemerdekaan dan merebut sekurang-kurang 50 buah kerusi bagi mencapai kemenangan dalam suatu pilihan raya, UMNO mewujudkan perikatan dengan parti MCA. Ini berbeza dengan keputusan Dato' Onn yang mahu membuka keahlian UMNO kepada ahli-ahli bukan Melayu. Nampaknya konsep perikatan ini lebih bijak. UMNO-MCA menang 51 buah kerusi daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan, seterusnya menyebabkan pihak penjajah tidak lagi boleh membuat alasan untuk melambat-lambatkan kemerdekaan.

Memandangkan sudah ada persetujuan dan kesatuan antara Melayu dan dua kaum majoriti Tanah Melayu iaitu Cina dan India, selain slogan "Hidup Melayu" telah ditukar kepada "Merdeka", pihak Inggeris tidak boleh lagi menjadikan alasan perpecahan kaum sebagai penghalang kemerdekaan.

Pada malam kemerdekaan, pihak British turut mengalirkan air mata apabila Union Jack digugurkan dari menara kegemilangan bangsa. Para pejuang kemerdekaan menutup mulut apabila lagu kebangsaan pihak penjajah dinyanyikan, dan sebaik-baik sahaja irama lagu "Negaraku" berkumandang, semua rakyat Tanah Melayu menyanyi dengan penuh perasaan terharu. Tunku Abdul Rahman tidak dapat menahan air matanya, pada saat kemerdekaan yang penuh dengan kesyukuran dan kegembiraan. Sementara itu di kediaman Dato' Onn, radio yang memancarkan siaran kemerdekaan berkumandang. Dato' Onn tampil menguatkan bunyi radio, dan kemudian duduk di atas kerusi dengan perasaan bersyukur dan terharu, sambil menitiskan air mata, tersenyum mengingati hari itu adalah hari kebebasan rakyat Tanah Melayu, dengan anaknya berada di sisinya.

Penderitaan Dato' Onn telah dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan telah berbaloi. Tunku Abdul Rahman juga telah berjaya dalam misinya. Kedua tokoh-tokoh ini telah berjasa besar!

Mengingati perjuangan Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman, tiba-tiba aku mengingati KBT-KITAB. Aku juga tidak mahu lagi terlibat dalam program ini pada semester hadapan. Harap-harap ada orang yang boleh meneruskan perjuangan ini. Bermula dengan KITAB yang bermatlamat pendidikan percuma dan kemudian KBT yang bertujuan membantu pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik.

Semester ini di universiti, mata aku cuma memandang akademik, sehingga tidak mempunyai masa untuk menulis novel. Penderitaan yang aku alami mungkin tidak seterus Dato' Onn, tetapi tekanan untuk menggerakkan KBT memang besar. Jika kejayaan UMNO-MCA bergantung kepada kuasa rakyat, maka kejayaan KBT bergantung kepada kemahuan pelajar-pelajar untuk menbantu diri masing-masing dengan memberi sokongan terhadap program ini. Bukan mudah untuk menarik pelajar-pelajar untuk berjuang membantu meningkatkan akademik. Aku kecewa kerana tidak dapat membantu beberapa orang sahabat aku, kerana masalah ketiadaan orang yang boleh mengajar mereka. Ini menyebabkan aku berasa sedih, mengalami depresi, kecewa dan seolah-olah tidak boleh diharap kerana tidak dapat membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan. Cuma beberapa kumpulan belajar sahaja yang dapat digerakkan dalam keadaan serba kekurangan.

Semasa aku keluar dari panggung, tiba-tiba aku menemui dua orang junior yang telah memberi sokongan terhadap perjuangan KBT-KITAB. Mereka juga, nampaknya menonton filem ini tadi, tetapi aku tidak sedar. Barangkali, aku sambil menonton 1957 - Hati Malaya, sambil teringatkan KBT-KITAB, mungkin kerana, kewujudan dua orang ini. Suasana di panggung gelap.

Dan, aku juga gembira apabila kerajaan pusat mengumumkan sistem pendidikan percuma! Ini adalah salah satu perkara yang aku perjuangkan di universiti. Pendidikan sepatutnya diberikan secara percuma kerana di dunia ini masih ramai keluarga yang tidak berkemampuan. Aku mewujudkan KITAB atas kesedaran ini. Sekarang, bermula tahun hadapan, sudah ada pendidikan percuma!

Aku rasa perjuangan aku... sudah... belum selesai, tetapi aku sudah boleh memberi laluan kepada diri aku, untuk mencari kemerdekaan untuk diri aku.

Begitu juga buat sahabatku yang seorang itu. Aku harap engkau akan dapat membebaskan diri engkau daripada kelukaan dan penderitaan yang engkau alami selama 7-8 tahun ini. Suatu hari engkau akan dapat menjadi seorang novelis, seorang penulis yang prolifik, seorang penulis yang versatil dalam menghasilkan pelbagai genre, menjelajah ke seluruh dunia.

Ketika itu, kau laungkanlah sekuat-kuat hatimu: "Merdeka! Merdeka! Merdeka!"

Hari Kemerdekaan untuk diri engkau pasti akan tiba, wahai sahabatku. Berdoalah. Kita sama-sama akan mencapai cita-cita kita. Menjadi seorang penulis, pengembara kehidupan yang berjaya.

Menerusi karya-karya kita, kita akan mendidik bangsa! Pendidikan percuma akan direalisasikan tidak lama lagi. Sekarang, marilah kita mendidik pembaca kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan menerusi karya-karya kita, kerana kita sama-sama menyayangi pembaca-pembaca kita!

Aaaaaaaaaaaaaaaaaayyyyuuuhhhhhh! Kita cari, kemerdekaan itu!