BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 24, 2007

Mata Yang Memandang Dengan Keyakinan

Dunia blog sudah tidak menarik. Sejak institusi pengajian tinggi di tempat aku menyekat pelbagai fungsi untuk melayari blog. Aku cuma boleh membaca menerusi Google Reader. Aku tidak dapat muat naik gambar-gambar yang kuambil sepanjang minggu Hari Raya yang lalu. Kalau boleh aku ingin meletakkan gambar-gambar sekitar Bandaraya Melaka.

Antaranya Kedai Pembuat Terompah di Jalan Hang Kasturi. Bonda aku, telah 'dibuli' oleh majikannya. Dia mendapat cuti, tetapi dengan syarat mesti membawa pulang terompah sebagai cenderamata. Oleh itu, bonda aku mencari-cari kedai terompah yang sesuai.

Suasana di tempat kerjanya penuh dengan tekanan. Bonda aku tidak bercadang melanjutkan kerjayanya lagi selepas tempoh persaraannya bulan tiga tahun depan. Dia tabah dan bersabar semata-mata menunggu hak untuk mendapatkan wang pencen. Supaya dapat menanggung keluarga.

Aku pula sekarang mempunyai misi yang tersendiri. Kali ini aku mahu memberi komitmen dalam tanggungjawab asalku. Aku mahu mengubah sesuatu yang patut diubah.

Aku cuma mahu memandang kejayaan. Satu mata. Satu mata sahaja. Kelak aku akan mampu menghidupkan 'kematian', menguasai 'air dan hujan'. Dalam dunia ini, setiap manusia diberikan dua pilihan. Jalan benar, atau jalan sesat.

Ada manusia yang memilih untuk melalui sempadan antara kedua-duanya. Semata-mata untuk memastikan apakah kebenaran itu benar-benar wujud? Atau dusta semata-mata.

Dunia politik ibarat jalan sempadan antara kebenaran dan kesesatan. Ada manusia yang kelihatan menegakkan kebenaran dan ada pula yang memadamkan kebenaran. Aku benci dunia politik. Namun, dunia politik ini sentiasa wujud, seolah-olah tidak dapat dipisahkan dari alam kehidupan manusia.

Manusia pun begitu juga. Mereka mempunyai dua takdir. Sama ada dilahirkan sebagai seorang yang bertakwa, atau sesat dalam kemungkaran. Akhir zaman sudah tiba.