Karya Hebat Penulis Tempatan: 8 Buah Novel Dalam Masa 2 Bulan
Aku sudah pun selesai membaca 8 buah novel. 6 novel setebal kira-kira 600 halaman, 2 novel setebal kira-kira 150 halaman. Hari ini aku menamatkan 2 buah novel lagi. Jadi, berapakah bilangan novel yang telah aku baca dalam masa 2 bulan ini. Satu novel keluaran PTS setebal kira-kira 150 muka, kutamatkan dalam masa satu hari. Sebenarnya aku kurang sihat sejak beberapa minggu ini, jadi aku banyak menghabiskan masa dengan membaca novel.
Sekarang, aku sudah tidak ada novel untuk dibeli lagi. Jadi, apabila hendak makan malam, aku membelek-belek semula novel yang telah habis dibaca. Kesemua novel yang kubaca adalah hasil karya penulis-penulis tempatan. Baru-baru ini aku berkunjung ke MPH, aku dapati ada pertambahan jumlah buku, semuanya hasil karya penulis yang kukaji (buku-bukunya paling banyak kubeli).
Oh, ya. Ada tak sesiapa yang sedar hasil karya Lea Mansur mirip seorang penulis best-seller, iaitu Aina Emir? Barangkali Lea Mansur ini 'berguru' dengan Kak Aina Emir. Daripada hasil kajianku, penulis best-seller mempunyai identitinya sendiri. Selepas dikaji, sebenarnya Lea Mansur adalah Kak Aina Emir.
Usman Awang pernah menggunakan beberapa nama samaran. Sehingga suatu ketika ada seorang pembaca yang sering mengikuti karya-karya Usman Awang, menghantar surat kepada salah satu nama samaran tersebut, kerana menganggap penulis tersebut meniru gaya Usman Awang. Penulis novel atau pengkarya biasanya memiliki pengikutnya yang tersendiri. Ada segelintir pengikut yang mempunyai sifat kesetiaan yang sangat tinggi, dan akan berasa tidak senang sekiranya ada penulis lain yang mengikut gaya penulis kesayangannya. Aduh!
Aku juga tertarik dengan hasil karya pendatang baru iaitu Farihah Iskandar dan Izzul Izzati. Dua orang ini barangkali adalah penulis yang akan menerokai zaman baru dalam bidang penulisan. Zaman Ahadiat Akasyah pernah berkumandang tidak lama dahulu. Ahadiat Akasyah adalah seorang penulis prolifik dalam menghasilkan karya-karya remaja dengan tema yang ringan.
Setiap zaman pasti ada penulis-penulis yang menyinar bintangnya. Tidak kira apa-apa bidang pun, pasti akan ada tokoh-tokoh semasa, yang kemudian akan diwarisi atau ditandingi oleh tokoh-tokoh baru. Ombak yang terkemudian itu adakalanya lebih tinggi berbanding ombak yang terdahulu. Ini adalah konsep fana, tidak ada sesiapa yang kekal di atas. Lahir, muda, tua dan kemudian mati.
Pun begitu, masih ada beberapa kokun yang belum pecah. Menunggu masa untuk bangkit sebagai penulis. Mereka ini, adalah golongan penulis yang masih dalam dilema. Ada juga yang masih dalam trilema dalam membuat keputusan untuk menjadi penulis. Tekanan hidup, matlamat dan tanggungjawab menyebabkan mereka belum bersedia untuk memulakan dunia penulisan. Fokus utama mereka mengatasi fokus seorang penulis. Catatan hidup mereka lebih memfokus kepada kehendak keluarga, tanggungjawab dan janji mereka kepada keluarga, juga kerajaan berbanding dengan laluan mereka dalam bidang penulisan.
Kita, aku, sedang menunggu. Menunggu penulis-penulis ini keluar dari kokun mereka. Menjadi penulis bebas, tanpa ada sebarang dilema, tanpa sekatan perjanjian keluarga, tanpa ikatan dan tanggungjawab terhadap pekerjaan, menulis sedikit demi sedikit untuk menghasilkan sebuah buku. Semakin lama, semakin banyak penerbit buku muncul di tanah air kita. Era membaca sudah mula melangkah. Ratusan ribu, penulis-penulis lahir. Menerbitkan sendiri karya-karya mereka menerusi jurnal elektronik. Weblog. Blog. Sebagai blogger.
Kerana meletusnya zaman blogger. Maklumat tersebar dengan meluas. Pro dan kontra. Sukar dikawal. Zaman sekarang, manusia semakin bijak, dengan semakin luasnya maklumat-maklumat dan kebenaran, yang menjadi sumber makanan minda.
Ini adalah zaman, di mana, luahan hati bermaharajalela. Ini adalah zaman, manusia memendamkan rasa menerusi elektronik. Di luar barangkali, mereka seorang yang bersopan santun, pendiam, peramah dan penyabar. Namun siapa tahu di dalam dunia maya, mereka melontarkan kutukan, kesedihan, pemberontakan dan mengadu. Mengadu, meluahkan rasa yang terpendam. Tanpa disedari, luahan mereka itu didengar oleh orang-orang yang tidak mereka kenali. Lalu mereka pun berkenalan.
Adakalanya di alam nyata, mulut mereka terkunci. Namun dalam alam siber, jari-jari mereka pantas mengetik, berceloteh, berbicara dan mengeluarkan pendapat. Ini mencetus istilah baru bagi sifat pendiam, peramah, banyak bercakap, celupar dan sebagainya.
Kerana adanya alam internet, otak manusia selalu bergerak-gerak. Jari adalah lidah yang kedua. Jari adalah anggota komunikasi yang mampu menyampaikan mesej. Adakah jari itu lebih berkuasa daripada lidah? Jari dan lidah, sama-sama adalah anggota komunikasi yang memiliki kelebihan dalam mencapai matlamatnya. Jangan memandang rendah, kedua-duanya.
Pun begitu, otak yang merancang dan Tuhan yang menentukan.
|