BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 09, 2007

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan

Bertemu Kembali Dengan Romantis Selatan
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007

Sudah sekian lama aku tidak bertemu sahabatku yang seorang ini. Seorang sahabat yang pernah sama-sama berjuang dalam satu arena yang sangat sukar, suatu ketika. Kami mula berkenalan sekitar tahun 2000, iaitu ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sebuah institusi pengajian tinggi. Kami sama-sama mempunyai minat dalam bidang penulisan. Perkenalan ini menjadikan kami sahabat baik. Namun, sejarah hidup Romantis Selatan penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan duka dan air mata.

“Rev...” Dia menegurku, memandangku dengan tidak berkelip-kelip. Matanya kelihatan redup, dan perwatakannya sudah berbeza berbanding dulu. Seolah-olah seorang insan yang sentiasa bermunajat pada waktu malam memohon ampun, agar Tuhan Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pemurah akan mengampunkan dosa-dosa silamnya.

“South...” Dan selepas leka menganalisis perubahan pada dirinya, aku menegurnya kembali.

Tiba-tiba aku terimbas kembali, kenangan silam, iaitu pada zaman kegemilangan dalam persahabatan kami. Setiap masa dia menghabiskan masanya dengan menulis, menyatakan kebencian dan dendamnya terhadap takdir. Sehingga suatu hari, aku menemui tulisan-tulisannya yang kusangkakan sebagai tugasan.

“Ini kisah yang sangat menarik,” Aku memuji ‘tugasannya’ itu. Sebetulnya, aku sangat-sangat ikhlas dalam menutur pujian itu. Hasil tulisannya itu telah berjaya menambat kehibaan ke hatiku.

“Surat Untuk Takdir,” Romantis Selatan, atau South, kelihatan agak bergementar apabila mendapati aku mengusik hasil tulisannya itu. Dia tunduk lalu mengetik papan kekunci komputer peribadinya beberapa kali, mencari-cari fail-fail tertentu. Tanpa berpaling dia bersuara, “Aku sekadar menulisnya untuk suka-suka.”

Aku menghela nafas dalam-dalam. Aku sudah membuat kesilapan, mengusik hartanya tanpa kebenaran. “Maaf, setiap perjuangan hidup, selalunya akan menemui, api dan kezaliman yang kadang-kadang tidak boleh dipersalahkan.”

Aku menyusun ayat itu lambat-lambat. South tidak berpaling, dia masih melayan komputer peribadinya, seolah-olah sedang khusyuk mengemaskini fail-fail dokumen di dalam komputer. “Memang, aku sengaja mahu kau melihatnya. Tinggalkan komen supaya jalan ceritanya dapat menjadi lebih baik.”

“Jadi, biarlah aku menelitinya lagi.” Ayat-ayat yang tertulis dalam karya yang berjudul Surat Untuk Takdir itu berbaur pemberontakan. Kadangkala terluah rasa geram dan kesal yang amat dalam, seperti sedang mengira-ngira betapa dalamnya jurang di neraka. Tidak ada penamatan.

“Aku ada tiga patah perkataan yang boleh mengubah jalan cerita Surat Untuk Takdir untuk menjadi lebih baik.” Aku menghulurkan manuskrip Surat Untuk Takdir kepada South.

“Katakan, dan nescaya akan kupersetujui.” South tersenyum. Dia berhenti menaip dan berpaling ke arahku.

“Tegas dan garang.” Secara mendatar, aku meluahkan jawapanku. “Takdir tidak boleh dipersalahkan, juga tidak boleh dianggap sebagai rintangan. Kau mesti jangan berlembut dalam setiap perkara yang tidak menyebelahi diri kau.. Kau mesti bertindak garang, jangan takut-takut untuk membuat keputusan.”

Ingatanku terhadap masa silam berhenti setakat itu. Tiba-tiba, kedengaran tempikan guruh di langit. Langit yang sejak awal-awal tadi mendung, semakin pekat gelapnya. Tangisan yang mengharukan pasti akan tumpah tidak lama lagi.

“Aku dengar sudah lama kau berhenti menulis. Aku menanti-nantikan berita daripadamu.” Sejak Romantis Selatan menghilangkan diri, dan diri aku yang sentiasa sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, aku tidak sempat menyampaikan apa-apa mesej kepada dia. Aku sibuk berurusan dengan anak-anak muridku, dengan anak-anak yatim di Bukit Cagar, dan dengan anak-anak di Desa Bakti.

“Aku ada alasan tertentu untuk meninggalkan dunia penulisan. Apa berita terbaru?” Aku yakin, South merujuk kepada seseorang.

“Dia sudah berkahwin, dua bulan lepas.” Aku merujuk kepada seorang gadis yang dahulunya merupakan teman rapat kami berdua. Gadis cantik yang merupakan cinta pertama Romantis Selatan di IPTA ini.

“Aku tidak dapat kad jemputannya.” Wajah Romantis Selatan kelihatan agak dingin.

“Aku juga, barangkali dia tidak mahu membuatkan kau menderita, sakit hati untuk hadir mengingati dia.” Aku harap kata-kata ini dapat meredakan perasaannya.

“Bukan jodoh aku dengan dia. Sejak kekasih lama dia datang empat tahun lalu, aku sudah menjangkakan hal ini.” Romantis tunduk memandang tanah. Badannya terpaku, memendam rasa.

“Mereka tidak pernah berpisah, cuma takdir menyebabkan mereka berjauhan seketika. Selama beberapa berbelas tahun. Faktor keluarga.” South mengalihkan pandangnya ke lain. Pastinya, dia tidak mahu aku membaca perasaannya. “Aku tidak sampai hati untuk menjadi orang ketiga.”

Soal cinta bukan keutamaan kini. Cinta yang berputik pada zaman kanak-kanak, kemudian tertangguh selama berbelas tahun kerana dua budak kecil yang masih mentah terpaksa mengikut keluarga masing-masing meninggalkan kota London. Berbelas-belas tahun kemudian mereka bertemu semula di IPTA ini, meneruskan kembali cinta silam yang belum pernah padam. Romantis Selatan yang baru hendak berputik cintanya terpaksa memadamkan hasrat itu, kerana dia tahu, gadis itu sehingga ke hari ini masih mengingati kisah silamnya.



Apabila aku mengingati kisah silam si gadis itu, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil yang pernah sama-sama bermain hujan. Kisah gadis itu mengingatkan aku kepada kisah silamku juga.

“Jadi, apa alasannya untuk kau tidak kembali menulis?” Aku kembali mengubah ke topik asal.

“Hasrat bonda. Aku mengejar hasrat bonda. Jadi aku mengabaikan dunia penulisan untuk mengejar kejayaan dalam bidang yang satu itu.” Romantis Selatan mengetap bibirnya. Terbayang wajah derita, yang mungkin cuma aku, sebagai seorang sahabatnya yang dapat mengertinya.

“Aku doakan kejayaan kau. Aku tidak ada apa-apa lagi yang boleh membantu kau. You’re on your own. Jalan kita sama-sama sudah jauh berbeza.”

“Tegas dan garang...” Tiba-tiba Romantis Selatan mengucapkan tiga perkataan ajaib itu kepadaku.

“Ya, tegas dan garang. Kau telah lakukan satu pengorbanan besar, demi menghormati restu ibu, kau mengorbankan bakat. Moga-moga ahli-ahli syurga akan menyambut kau dan kau akan bersama-sama mereka.” Aku mengucapkan kata-kata terakhirku. Barangkali kami tidak akan berjumpa lagi selepas ini. Hari ini, Romantis Selatan akan berangkat ke suatu tempat yang jauh, untuk seketika.

Dia tidak pulang berhari raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Dia tidak mahu mencacatkan suasana hari raya dengan air mata dan tangisan ibu dan ayahnya. Dia akan membawa diri ke suatu tempat lain, yang tidak akan menyebabkan dia mengingati kisah silam. Dia sudah berjanji tidak akan pulang dengan tangan kosong. Dia akan pulang hanya apabila kejayaan sudah berada di dalam tangan!

“Rev, dengar kata kau akan keluar negara tahun hadapan?” Nampaknya Romantis Selatan juga mendapat berita itu.

“Edinburgh, City of Literature.” Jawabku pendek. Aku tidak tahu kenapa hatiku sering menyebut-nyebut nama tempat ini. Ada satu jawapan misteri yang sedang menungguku. Barangkali berkaitan dengan darah keturunanku. Sesuatu yang takkan terpahat di dalam blog ini, sekadar kiasan dan catatan untuk mengingatkan aku apabila aku lupa.

“Itu cuma satu kemungkinan.” Tambahku lagi.

Ada jawapan yang masih belum selesai. Aku bukan bangsa Melayu sepenuhnya, nenek moyang aku tinggal di dua negara.

Rahsia keluarga ini telah dipendam sejak beberapa generasi, kerana dikhuatiri akan membawa malapetaka pada waktu dulu. Namun sekarang, permusuhan antara Eropah dengan Timur boleh dikatakan sudah tamat. Walau apa pun, orang Melayu itu berasal daripada tanah. Orang Inggeris itu juga berasal daripada tanah. Aku juga tetap berasal daripada tanah. Keluarga kami adalah Melayu, sebab kami berbahasa Melayu, sebab kami berpegang pada agama sebagaimana agama bagi kebanyakan orang-orang di Melayu di Tanah Melayu.

Adam dan Hawa pernah menderhakai Tuhan dan kemudiannya mendapat kemaafan. Kerana Tuhan itu Maha Pengampun. Maafkan nenek moyang kami yang pernah menjajah orang-orang Melayu. Manusia seperti kita, tidak ada seorang pun yang dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Hujan mula turun. Rintik-rintik, bertitisan kecil. Air hujan yang mengenai rambut dan mukaku membuatkan aku mengingati semula kisah silam. Dua kanak-kanak kecil yang bercinta semasa di tadika. Senyuman gadis cantik itu tiba-tiba mekar, berbayang di mataku. Dua orang kanak-kanak yang baru beberapa tahun mengenali dunia sudah mula dilanda perasaan cinta? Oh, ya, mereka lupa, kami anak-anak Indigo. Kepintaran kami semasa kecil, sudah setanding dengan anak-anak pada zaman remaja!

Aku meneruskan langkah meninggalkan medan pertemuan sahabat lama. Romantis Selatan juga sudah tidak kelihatan lagi. Kami akan membawa hala tujuan kami masing-masing. Cita-cita dan matlamat hidup masing-masing.