Bandar Meteor - Pembersihan Minda Mengulit Karya
Bandaraya Meteor
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007
Subhanallah! Terucap kata-kata itu di mulut Adam. Tidak dapat digambarkan lagi perasaan hatinya, apabila melihat begitu dunia manusia sudah berubah sama sekali. Teknologi makhluk asing yang serba mesra alam telah membangun dalam masa beberapa hari ini.
Bangunan-bangunan umpama menara sudah tumbuh di merata-rata tempat. Suasana berkabus tebal menakluki persekitaran. Tidak telus oleh pancaran suria. Sesekali kelihatan jaluran cahaya biru menjelajah secara rawak dari puncak menara, seolah-olah memantau keadaan.
"Dunia kitakah ini? Bukan satu mimpi?" Mei Yun berbisik. Terdampar nada kekecewaan pada latar suaranya. Lemah.
Yuni, merah hidungnya. Dia memeluk Mei Yun. Menangis teresak-esak. Menangis semahu-mahunya. Selepas kehilangan Hisyam, kini, mereka kehilangan semua orang.
Semua orang pasti sudah mati. Terbunuh dalam bencana misteri yang tidak boleh diceritakan dalam apa jua putaran lidah pun. Tragedi ini, telah mengubah segala-galanya.
Dalam keadaan mereka leka melihat perubahan itu, tidak ada seorang pun yang sedar, Mikel juga mengalami perubahan yang aneh.
"Manusia adalah hamba! Bawa mereka pulang!" Satu suara berbisik. Bergema, menganggu minda Mikel.
"Bawa mereka pulang. Ini arahan!" Suara itu kedengaran makin kuat, mencucuk gegendang telinga Mikel.
Tidak! Aku tidak boleh mengkhianati Tuan Puteri! Tidak boleh! Mikel merintih. Dia perlahan-lahan meninggalkan tempat itu. Tubuhnya menggeletar.
"Bawa mereka pulang! Pulang ke kubu!" Suara itu makin keras! Mikel berlari-lari. Semakin jauh meninggalkan kumpulan manusia itu. Dia melawan suara-suara yang cuba menghasutnya.
"Ingat! Tujuan kita datang ke bumi ini adalah untuk menakluki alam manusia! Kami memperalatkan kamu supaya matlamat kami tercapai. Kau telah menerima ganjarannya bukan! Tubuh badan kamu, kebolehan minda kamu, adalah evolusi yang kami hadiahkan kepada kamu! Patuhi arahan kami!" Suara itu terus menguasai Mikel.
"Tidak!!!" Mikel mendengus. Suara itu terus mencucuk otaknya. Mikel meraung kesakitan. Meraung sekuat-kuat hatinya!
"Mikel?" Yuni tersentak. Dia melepaskan Mei Yun. Jeritan Mikel terdengar sayup-sayup sahaja.
"Ada sesuatu yang tak kena!" Yuni bingkas bangun. Adam memandang Yuni dengan perasaan waspada. Mei Yun kelihatan lemah. Traumanya masih belum hilang.
"Mikel hilang!"
Sementara itu, di atas salah sebuah menara. Kelihatan seekor makhluk berbadan seakan-akan labah-labah. Makhluk itu berleher panjang seperti seekor ular. Kelihatan kepala seorang gadis memandang ke arah tiga orang manusia itu.
"Ssshhh...." Gadis itu berdesis seperti ular. Gadis itu adalah Emilia yang telah berevolusi. Kerana hasad dengki yang menguasai dirinya. Dia telah kehilangan jiwa seorang manusia. Lalu terkena sumpahan meteor. Menjadi seekor makhluk raksasa. Jiwanya kotor, penuh dengan kebencian dan hasad dengki.
"Mangsaku seterusnya! Yuni.... " Emilia meludah. Keluar satu jalur seolah-olah tali, seperti sarang labah-labah dari mulutnya. Tali labah-labah ini mengenai satu menara yang lain, yang berdekatan dengan Yuni dan kawan-kawannya. Emilia menggerak-gerakkan empat pasang kakinya, meniti tali labah-labah, perlahan-lahan.
"Yuni, si gadis cantik. Menjadi pilihan jejaka idamanku. Kau akan mati kali ini! Dan, jejaka itu akan kembali menjadi milikku. Hi! Hi! Hi!" Emilia menyeringai. Yuni, Adam dan Mei Yun belum sedar bahaya yang bakal menimpa.
bersambung...
|