BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 20, 2007

Artikelku Mencatat Jumlah Pembaca Tertinggi!

Sehari yang lalu, aku menerima e-mel dari sebuah hos, memaklumkan artikel yang aku tulis (intenational publisher) mencatat jumlah pembaca tertinggi. Artikel tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris dan menggunakan nama samaran yang lain.

Sebagai seorang yang low profile, aku tidak suka dikenali. Malah, aku sendiri telah memberi amaran kepada sesiapa yang mengenali diriku supaya tidak mendedahkan nama-nama samaran yang pernah aku gunakan.

Setiap nama samaran mewakili identiti dan genre yang berbeza. Apa yang aku kejar bukan populariti, tetapi penghargaan terhadap karya-karya yang kutulis. Sungguh kelakar, apabila kita mendapati ada sesetengah orang begitu meminati karya-karya kita, tetapi dia tidak sedar bahawa penulis karya-karya tersebut ada berdekatan dengannya. Pada masa yang sama, dialah orang yang mengutuk, mengkritik dan memandang rendah terhadap kita.

Kejutan demi kejutan, sehingga kemudian aku mendapati sesetengah manusia itu terlalu hina, sombong dan angkuh. Mereka menjerit seakan-akan histeria, bahawa orang yang mereka sangkakan tidak ada kepentingan untuk diperalatkan itu sebenarnya adalah orang yang mereka 'buru' kerana 'faedahnya'. Lalu datanglah mereka dengan senyuman hipokrit, menjilat tapak kasut kita tanpa segan silu. Kelakar bukan?

Mereka lupa, bahawa setiap ilham dan rezeki itu datangnya daripada Tuhan. Mereka lebih suka mengotori lidah-lidah mereka dengan kotoran daripada menyusun lidah-lidah mereka untuk memohon keampunan kepada Tuhan. Sesungguhnya mereka ini orang-orang yang rugi.

Sejak akhir-akhir ini aku sudah mula meninggalkan status pengemis. Baju-baju yang berusia sekitar 8-12 tahun itu sudah jarang-jarang kupakai apabila berjalan-jalan di luar. Baju-baju itu semakin mereput dan dengan status sebagai seorang yang penting di universiti, aku perlu pergi ke pejabat dengan pakaian yang kemas. Hal ini meningkatkan rasa hormat orang lain terhadapku.

Imej seorang pengemis yang miskin, yang selalu kubawa, kini jarang-jarang dapat dilihat. Apabila kita berpakaian seperti itu, sesetengah orang akan memandang rendah terhadap kita, melainkan orang-orang yang mengenali diri kita.

Aku membeli telefon bimbit yang mewah untuk kegunaan kemasyarakatan. Aku membeli komputer riba untuk kegunaan projek (yang melibatkan internet) secara wireless dan mudah alih, bermaksud aku boleh menggunakan banyak masa, tidak kira tempat dan masa. Setiap barang yang aku memiliki memiliki manfaatku.

Namun, ada juga orang yang sering bertanya kenapa aku tidak membeli motosikal atau kereta. Seolah-olah satu kelemahan atau kesalahan pula. Lalu aku bertanya kepada mereka, "Dengan duit siapa engkau membeli semua itu?"

Duit kerajaan, duit emak bapak engkau, atau duit engkau? Kalau kau ada masa untuk mencari duit, maka sepatutnya engkau mendapat keputusan cemerlang juga.

Mereka semua terdiam. Manusia, selalunya mudah lupa daratan. Mereka lupa kesenangan yang mereka perolehi itu berasal daripada siapa.

Nota:

Aku pulang ke kampung sehari sebelum Hari Raya. Tiket bas pasti sudah habis, tetapi aku tidak risau. Sebab, aku seorang jurnalis. Seorang pengembara. Hidup dengan advencer. Aku suka menaiki bas lompat. Untuk ke kampung, aku menaiki lima buah bas awam (bas berhenti-henti). Dari Johor Bahru, aku menuju ke Air Hitam. Dari Air Hitam, aku ke Batu Pahat. Dari Batu Pahat, aku ke Muar. Dari Muar, aku ke Melaka Sentral. Dari Melaka Sentral, aku berangkat ke kampung bonda. Harga tambang keseluruhan adalah sekitar RM16. Masa perjalanan keseluruhan adalah sekitar 6 jam.

Perasaannya adalah seperti Jason Bourne aka David Webb yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Jika dahulu aku suka filem-filem aksi Bruce Willis, kini aku tertarik dengan filem-filem aksi Matt Damon. Sebelum itu, aku juga suka aksi Brad Pit dalam Mr. Smith. Filem-filem aksi memang hebat. Catatan ini sungguh kelakar. Aku perlu menamatkannya segera! Selamat pagi!