Proses Menulis Novel - Sebuah Novel
Bandaraya Meteor (Meteor City)
Hakcipta Amiene Rev (C) 2007
Yuni tergamam! Dia tidak menyangka, makhluk aneh yang telah menyelamatkan dirinya ini adalah haiwan yang sering ditemuinya di tepi jalan. Baru sebentar tadi dia berbudi dengan memberi roti kepada makhluk ini, sekarang makhluk ini telah membalas budinya kembali.
"Mikel?" Sekali lagi Yuni kehairanan. "Bagaimana, err... Encik Mikel mendapat nama ini?"
"Tuan Puteri yang bagi, Mikel terdengar nama ini apabila Tuan Puteri memanggil Mikel. Nama itu pasti nama Mikel," bersungguh-sungguh makhluk aneh yang baru berevolusi itu menjawab.
"Mikel! Mikel! Mari Mikel! Mari Mikel!" Mikel mengulang kembali kelakuan Yuni semasa memberi roti kepadanya. Yuni melopong, lalu menoleh ke arah Mei Yun. Dia ternganga sambil menahan gelak. Comel! Getus hatinya.
"Terima kasih Mikel kerana menyelamatkan kami." Jawab Yuni. Dia berharap Mikel akan berhenti mengulang kelakuannya.
"Apa lagi Mikel, kahwinlah dengan Tuan Puteri Yuni!" Tiba-tiba Hisham bergurau. Muka Yuni merah padam.
"Kahwin? Baiklah, Mikel akan mengahwini Tuan Puteri Yuni bersungguh-sungguh!" Nampaknya Mikel sudah tersalah anggap bahawa perkataan kahwin itu bermaksud melindungi. Hisham tidak dapat menahan ketawanya lagi.
Melihatkan kelakuan Hisham itu, Mikel mengangkat keningnya, menampakkan kelopak mata yang memutih. Mei Yun pantas menyiku Hisham, sebagai isyarat supaya Hisham berhenti ketawa. Mikel berasa pelik melihat telatah manusia-manusia itu, tetapi ia lebih berminat untuk memberi perhatian terhadap Yuni.
"Muka Tuan Puteri merah, Tuan Puteri sakitkah? Biar Mikel cari penawarnya." Mikel merapati Yuni. Mei Yun yang sejak tadi mengambil peluang merakamkan aksi luar biasa itu dengan kamera digitalnya.
Adam yang pendiam, mula berfikir-fikir sama ada dia kini sedang bermimpi, atau benar-benar bertapak di dunia nyata. Baru sebentar tadi dia melihat sesuatu yang menakjubkan, sekarang bertambah lagi satu perkara yang menakjubkan.
"Heeeeeee!" Yuni sudah mula berasa bengang dengan kedua-dua orang kawannya. Sempat lagi bergurau dalam keadaan yang mencemaskan seperti ini. Namun, Yuni mengakui, hatinya turut senang dengan kehadiran Mikel. Seolah-olah kasih sayangnya terhadap haiwan kini terbukti. Haiwan juga mahu disayangi sebagaimana manusia. Mereka memiliki perasaan sebagaimana manusia. Bukankah alam maya ini diciptakan dengan kasih sayang? Sesungguhnya Tuhan itu Maha Menyayangi lagi Maha Mengasihi. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan.
Namun, apakah bencana yang menimpa bumi ini adalah satu balasan daripada Tuhan? Pasti, ada hikmah di sebaliknya. Yuni pasti, dia dan kawan-kawannya akan memperolehi kebenaran itu.
|