BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Ogos 26, 2009

Semua Kanak-kanak Adalah Pintar DAN Kempen Biadab Sifar

Semua kanak-kanak adalah pintar, namun tidak semua kanak-kanak dapat menonjolkan kepintaran mereka pada usia atau masa yang sama. Faktor persekitaran banyak mempengaruhi perkembangan kepintaran individu. Berdasarkan penyelidikan yang saya lakukan di beberapa buah sekolah tempoh hari, saya mendapati tahap perkembangan kepintaran kanak-kanak ada di antaranya hanya boleh dilihat semasa usia remaja. Beberapa prosedur telah dilakukan untuk meneliti perkembangan kepintaran bagi satu-satu remaja.
  • Sampel dibiarkan menentukan minatnya sendiri.
  • Sampel didedahkan kepada pelbagai situasi kemahiran dan bidang untuk membangkitkan keistimewaan di dalam diri.
  • Sampel dibenarkan untuk melakukan pembetulan bagi kesilapan yang dilakukan dalam usaha mencari minat dan keistimewaan dirinya.
Cadangan kepada ibu bapa, penjaga dan golongan pendidik:
  • Banyakkan berinteraksi dengan sampel. Kemukakan soalan-soalan yang dapat mencetus pemikiran sampel dari pelbagai bidang.
  • Sampel tidak perlu diberi tekanan dalam pembelajaran. Setiap sampel dianggap memiliki gaya pembelajaran yang tersendiri.

Kempen Biadab Sifar

Kanak-kanak atau remaja pintar dianggap tidak berhasil sekiranya mereka bersikap biadab dan kurang ajar. Pada masa yang sama, dalam usaha menjayakan Kempen Biadab Sifar, saya menyarankan pihak-pihak yang terlibat untuk membentuk sampel-sampel yang terdiri daripada remaja dan kanak-kanak untuk turut melaksanakan perkara-perkara berikut:
  • Mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang yang lebih tua atau dewasa.
  • Mencium tangan ibu bapa, penjaga, pendidik dan golongan yang lebih tua apabila bersalaman.
  • Bercakap dengan gaya bahasa dan susunan bahasa yang sopan.
  • Tidak mengeluarkan kata-kata untuk menyakiti orang lain.
  • Memberi salam apabila mengunjungi ke rumah atau ke tempat orang lain.
  • Menghindari konflik dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam pertelingkahan yang sia-sia.
  • Sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
  • Sentiasa menjaga keselamatan harta-benda awam.
  • Menghindari diri daripada sifat prejudis, dendam, cemburu, hasad dengki dan khianat.
  • Sentiasa melihat pada kebolehan diri dan tidak membandingkan kelemahan diri dengan orang lain.
  • Sentiasa bersyukur apabila melihat kegembiraan dan kebahagiaan orang lain.
Dewasa ini, didapati kemunculan warga biadab di negara Malaysia semakin ramai. Ekoran itu, Kempen Biadab Sifar atau seumpamanya perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung gejala biadab daripada terus menjangkiti umat manusia. Kemunculan internet dan dunia siber memudahkan lagi individu-individu yang berniat buruk untuk melepaskan hajat terkutuk mereka bagi mendekati dan mengganggu mangsa-mangsa mereka secara anonymous atau tersembunyi. Bagi kes seperti ini, sokongan pihak berkuasa tempatan adalah wajar bagi mengesan penjenayah-penjenayah siber terbabit bagi dikenakan tindakan undang-undang.

Semoga Kempen Biadab Sifat atau Kempen Anti-Biadab akan dapat dilaksanakan pada suatu hari nanti bagi memupuk budaya bersopan santun, berbudi bahasa dan pencinta kedamaian di kalangan generasi baru di Malaysia.