BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 18, 2009

Budak Kura-kura Mengamuk

Saya dapati ada sesuatu telah berlaku pada ekor seekor ikan Betta saya. Ekornya semakin pendek. Berdasarkan ini, saya menduga, kemungkinan besar ada pergaduhan telah berlaku secara senyap-senyap. Sementara itu, ikan-ikan Betta saya sudah mula mengenali makanan mereka. Jika dahulu, ikan-ikan Betta ini cuma menelan makanan ikan yang terapung di permukaan air, namun sekarang, mereka akan menyelam lebih dalam ke dasar tangki ikan untuk mencari makanan-makanan ikan yang telah karam.

Catatan Seorang Guru Matematik dan ICT - Budak Kura-kura Mengamuk
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Di dalam salah sebuah kelas corot yang saya ajar, ada seorang pelajar yang sangat suka memikul beg, tidak kira semasa duduk atau semasa berdiri. Pelajar ini dikenali sebagai Budak Kura-kura. Pelajar ini jarang berada di dalam kelas. Kadangkala dari bilik guru, saya dapat melihat Budak Kura-kura berkeliaran di luar kelas sambil memikul beg. Walaupun usia Budak Kura-kura sekitar 16 tahun, tetapi Budak Kura-kura masih belum dapat berfikir dengan betul dan waras. Budak Kura-kura hanyut dalam dunianya.

Pelajar seperti ini tidak kisah dengan soal-soal pembelajaran. Dia cuma tahu memikul beg ke sekolah dan terus memikul beg itu ke mana-mana sahaja dia pergi. Dan, dia akan keluar kelas sesuka hati apabila dia bosan berada di dalam kelas, tidak kira ada guru atau pun tidak ada guru di dalam kelas.

Saya berpendapat Budak Kura-kura mengalami masalah mental. Saya juga berpendapat, beg yang sering dipikul oleh Budak Kura-kura pasti mempunyai makna tertentu terhadap Budak Kura-kura sehinggakan Budak Kura-kura tidak mahu berpisah dengan begnya.

Suatu hari, beg Budak Kura-kura hilang. Budak Kura-kura pun mengamuk. Habis kerusi meja ditendang sehingga patah dan rosak. Beberapa kaca tingkap telah dipecahkan. Guru Penolong Kanan datang dan cuba menyelamatkan keadaan. Kisah ini disampaikan oleh pelajar-pelajar lain kepada saya.

Kini kelas tingkatan empat yang paling corot di sekolah itu kekurangan kerusi dan meja. Bilangan kerusi dan meja yang tinggal sangatlah sedikit dan saya tidak pasti bagaimana pelajar di kelas yang paling corot itu akan dapat belajar. Mereka pasti memberi alasan tidak dapat belajar kerana tidak ada kerusi dan meja untuk belajar.

Saya difahamkan Budak Kura-kura telah menerima amaran terakhir daripada pihak sekolah. Pihak sekolah sebelum ini telah memberi banyak peluang kepada pelajar-pelajar bermasalah untuk berubah sikap, sayangnya oleh sebab terlalu banyak peluang itulah maka pelajar-pelajar ini semakin merasakan diri mereka berkuasa dan mereka boleh berbuat sesuka hati di sekolah.

Saya yakin, apabila hukuman rotan dikuatkuasakan semula, zaman pelajar-pelajar beradab seperti era sebelum abad millenium dahulu akan dapat dikembalikan. Pelajar-pelajar ini lemah dan kurang berdaya untuk menggunakan otak mereka untuk berfikir secara logik. Hiperaktif, ADHD dan seumpamanya adalah label yang sesuai untuk pelajar-pelajar bermasalah seperti ini. Mereka perlu diajar secara behaviourisme, untuk patuh kepada arahan. Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi membuat kacau dan mempengaruhi pelajar-pelajar lain untuk turut melakukan pelbagai masalah disiplin di sekolah.
Buat masa ini saya sedang berusaha mengkaji jenis hidupan air yang paling sesuai untuk dibiak di dalam tangki ikan saya. Ini kerana saya dapati ikan-ikan Betta kuat makan dan jika kiraan pertambahaan populasi hidupan air tidak dibuat dengan betul, saya khuatir ikan-ikan Betta saya akan terpaksa berpuasa. Bulan Ramadhan pun sudah hampir tiba, tetapi ikan-ikan Betta saya tidak diwajibkan berpuasa seperti umat Islam. Saya juga kurang pasti ikan-ikan Betta saya ini menganut agama apa.