BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 07, 2009

Kenapa Saya Peram Novel Saya?

Semasa kita menulis novel, kita tentu berasa seronok menulis sehingga kadangkala kita tidak sedar adanya peluang untuk novel kita dilabelkan sebagai karya 'syok sendiri'. Bagi menilai semula novel yang saya tulis, proses 'peram novel' ini dilakukan.

Dalam tempoh 'peram novel', saya akan mengabaikan novel yang telah ditulis untuk beberapa minggu atau bulan. Selepas habis tempoh 'peram novel', barulah saya akan membelek semula manuskrip novel tersebut.

Ketika itu, saya dapat menilai tahap keseronokan membaca novel yang saya tulis. Adakah novel tersebut sedap dibaca, atau memualkan? Adakah novel tersebut dapat memberi perasaan santai kepada pembaca, atau membebankan pemikiran pembaca? Adakah novel tersebut segar atau idea-ideanya sudah basi?

Saya akan dapat menilai novel yang telah saya tulis selepas melakukan proses 'peram novel'. Pentingkah penilaian ini? Harap-harapnya begitulah sebab kita tidak tahu selera pembaca.

Seelok-eloknya apabila kita bertanya kepada orang lain atau peminat novel tentang novel apakah yang mereka suka beli dan baca, jangan pula kita dedahkan diri kita sebagai penulis. Seboleh-bolehnya kita merisik. Dengan ini, kita akan dapat mengetahui pendapat yang lebih jujur dan ikhlas tanpa adanya unsur-unsur untuk menyedapkan hati kita.

Oleh itu, sebarang komen yang diterima pada entri ini tidak akan dinilai sebagai pendapat yang dikehendaki. Kita mesti cari sendiri pendapat-pendapat tersebut di luar sana.