BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 23, 2009

Ratusan Ikan Betta Peliharaan Saya

Malam gelap, saya telah menjejaki ke kampung. Waktu itu sekitar jam 2 pagi. Perjalanan yang agak jauh dengan menggunakan keretapi KTM. Masalah pada enjin menyebabkan waktu ketibaan keretapi KTM Lambaian Timur tersasar 4 jam dari masa ketibaan yang sepatutnya. Pemandangan di tepi landasan keretapi agak tercemar dengan asap coklat nipis yang dihembuskan dari corong asap keretapi. Ketika ini saya teringatkan Greg Vezina yang mencipta hidrofuel sekitar dua puluh tujuh atau dua puluh lapan tahun lepas.

Sudah lama saya tidak menaiki keretapi, dan nasib baik saya tidak perlu bersahur di dalam keretapi. Suhu air minum yang amat panas serta berasap. Jika di negara sejuk, saya boleh menganggap suhunya tidak terlalu tinggi kerana persekitaran yang sejuk akan membuatkan air minum tersebut lebih berasap daripada suhu sepatutnya. Namun di Malaysia, suhu yang berasap itu membawa makna sebenar dalam skala suhu di kawasan beriklim khatulistiwa

Pagi ini saya menjenguk di belakang rumah saya. Saya dapati pokok-pokok kiambang telah menguasai permukaan air tangki ikan Betta saya. Lalu saya menyelak pokok-pokok Kiambang ini, dan saya dapati beratus-ratus ikan Betta muncul memberi salam hormat kepada saya, mengiktiraf saya sebagai tuan mereka dan menyatakan rasa lapar perut mereka, barangkali. Projek pembiakan ikan Betta di kampung telah berjalan dengan amat lancar. Ayah saya juga memilih salah seeor ikan Betta untuk dipelihara di dalam rumah. Seekor ikan Betta dengan corak ekor biru gelap dan putih sutera. Ikan-ikan Betta yang dipelihara terdiri daripada pelbagai warna hasil usaha kacukan yang saya lakukan beberapa bulan lepas. Putih, merah, hijau, hitam, kuning, biru, ungu dan selainnya. Memandangkan ikan-ikan Betta dari jenis Half-Moon ini adalah adik-beradik, maka mereka tidak bergaduh. Ratusan ikan Betta hidup harmoni dalam satu tangki ikan bersaiz besar. Saiz yang tiga kali ganda lebih besar daripada saiz tangki ikan Betta saya yang terbaru.

Saya juga mendapati itik-itik serati di rumah saya semakin banyak dan anak-anak mereka yang berwarna kuning berkeliaran. Begitu juga dengan ayam-ayam. Begitu juga dengan arnab-arnab.

Kesemuanya sedang membiak dengan cepat. Ada antara arnab ini dilepaskan begitu sahaja di belakang rumah, kerana tabiatnya yang suka berlari-lari di luar kawasan kandang arnab. Arnab-arnab yang dilepaskan ini sudah dilatih untuk kembali masuk ke kandang selepas sebelum matahari terbenam. Dan lingkaran pagar berdawai halus di sekeliling rumah untuk menghalang kemasukan biawak juga telah dipasang. Anak-anak arnab yang masih kecil berusia beberapa bulan bermain di dalam kandang bersama ibu mereka.

Saya lalu menuju ke kandang arnab utama. Di situ saya melihat seekor lagi ibu arnab dengan anak-anaknya yang baru berusia beberapa hari. Dan, ketika itu juga Gothik, bapa segala arnab di rumah saya, bangkit dan meluru mendapatkan saya. Nampaknya Gothik masih mengenali saya sebagai tuan muda, yang memilihnya untuk dijadikan induk jantan pertama di rumah ini. Dan kesemua binatang-binatang peliharaan di rumah, kini mengelilingi saya sambil memberi tunduk hormat.