BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Ogos 17, 2009

Satu Ribu Satu Ratus Sebelas

Pos atau entri kali ini agak istimewa, kerana angka sa yang sama untuk empat digit. Hari ini, saya dapati kesemua ikan Betta saya sudah boleh hidup dengan aman di dalam satu tangki. Nampaknya kajian saya terhadap sosiologi ikan Betta sudah masuk ke satu fasa yang baru.

Catatan Seorang Guru Matematik dan ICT - Barisan Jaguh Matematik
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Usaha saya untuk memotivasikan pelajar-pelajar dari kelas corot untuk bersungguh-sungguh mempelajari subjek Matematik nampaknya amat berhasil. Saya dapati pelajar-pelajar saya seperti IS, NR, YS, AT dan ramai lagi sudah mula berkepit dengan buku-buku Matematik dan bahan-bahan rujukan Matematik yang saya berikan.

Apabila mereka melihat saya, cepat-cepat mereka menunjukkan hasil latihan Matematik mereka, dan bertanyakan saya soalan-soalan Matematik. Fenomena seperti ini boleh dikatakan belum pernah berlaku sebelum ini bagi kelas corot. Barisan-barisan pelajar dari kelas corot, telah tampil menjadi barisan jaguh Matematik.

Sementara itu, dua daripada tiga pelajar jagaan saya yang telah dibuang sekolah telah datang ke sekolah pada hari ini. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dibuang sekolah. Saya lantas menemui kedua-dua pelajar secara berasingan ini untuk berbincang secara peribadi. Kemudian saya berbincang pula dengan pihak pentadbiran sekolah, dan dari situ saya melihat kebenaran.

Hati saya terasa sebak secara tiba-tiba. Sebelum ini saya telah diamanatkan oleh pengetua untuk mengawasi keempat-empat pelajar paling bermasalah dan kadangkala dianggap berbahaya di sekolah kerana sikap liar mereka. Pelajar-pelajar ini mempunyai pelbagai rekod yang merisaukan ibu bapa, pihak sekolah dan pelajar-pelajar yang lain.

Jika dibandingkan dengan guru-guru kanan yang lain, saya memiliki paling ramai pelajar jagaan. Bilangannya pelajar jagaan saya adalah dua kali ganda bilangan pelajar jagaan guru-guru terpilih yang lain. Keempat-empat pelajar jagaan saya ini sebenarnya boleh dianggap sebagai mimpi ngeri bagi mana-mana guru yang diamanatkan untuk menjaga mereka. Dan, 'mimpi ngeri' itu 'dihadiahkan' kepada saya.

Pengalaman menjaga keempat-empat pelajar ini banyak memberi kesedaran kepada saya. Saya tidak sesekali berasa menyesal kerana diberikan tanggungjawab ini. Guru-guru kaunselor banyak memberi panduan dan sokongan kepada saya. Malah saya anggap ini sebagai satu penghormatan daripada pengetua terhadap saya. Saya telah cuba sedaya-upaya untuk membentuk satu ruang fleksibel bagi menguruskan hal-hal pelajar ini.

Pelajar yang pertama dibuang adalah pelajar yang paling bermasalah di sekolah ini, yang namanya sering disebut oleh pihak pentadbir sekolah. Pernah dibuang sekolah pada tahun lalu, dan diterima kembali pada tahun ini. Namun, sayang sekali, Tuhan belum membuka pintu hati pelajar tersebut untuk berubah sikap.

Lalu tinggallah tiga orang pelajar lagi. Pada minggu lepas, ketiga-tiga pelajar ini dijatuhkan hukuman dibuang sekolah secara serentak kerana terlalu banyak rekod. Hakikatnya, pelajar-pelajar ini berkelakuan baik di depan saya dan akan mendengar arahan dan saranan saya. Pun begitu, bagaikan ada dendam antara mereka dengan pihak sekolah, dan mereka sering memberontak dan melawan cakap guru-guru yang lain. Memikirkan hal ini, saya diam. Hati saya tidak bersuara. Saya menarik nafas sambil memejamkan mata dan dalam diam mata hati saya melihat sinar ilham terpancar dari celah-celah pintu kesedaran.
Ketika ini, saya sedang mengkaji kaedah terbaik untuk membiak atau menambah bilangan makanan semula jadi di dalam air tangki ikan Betta saya. Dengan cara ini, saya tidak perlu lagi risau untuk meninggalkan ikan-ikan Betta saya selama beberapa hari. Ikan-ikan ini akan dapat memakan plankton atau apa-apa hidupan air yang kecil di dalam tangki air semasa ketiadaan saya.

Saya perlu meletakkan beberapa jenis tumbuhan air di dalam tangki ikan Betta saya, supaya ikan-ikan Betta ini mendapat privasi yang mencukupi untuk bermeditasi, tidur, melakukan hubungan jenis dan mencari ilham. Saya percaya, ikan Betta juga memiliki bakat seni yang terpendam. Disebabkan ikan Betta berpotensi untuk menjadi senikan (seniman ikan), maka, ikan Betta juga berpotensi untuk berjiwa sensitif. Ini dilihat menerusi jiwa sensitif ikan-ikan Betta, di mana ada ikan-ikan Betta yang sangat cenderung beremosi.