BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 23, 2009

Kaedah Mengetahui Rahsia Tarikh Lahir Individu - Ulasan Amiene Rev

Ulasan Mengenai Kaedah Mengetahui Rahsia Tarikh Lahir Manusia
Pengulas: Amiene Rev (C) 2009

Beberapa minggu sudah, seorang remaja perempuan memberitahu saya mengenai cara mengetahui rahsia tarikh lahir individu dengan menggunakan kaedah numerologi, dilaksanakan secara metafizik terhadap berbilion-bilion umat manusia untuk mengetahui skrip kehidupan seseorang. Sebenarnya saya kurang berminat dengan perkara-perkara seperti ini, namun disebabkan ramai remaja yang meminta saya mengulas mengenainya, maka di sini, setelah memiliki masa yang agak lapang, barulah saya berkesempatan untuk menulis mengenai rahsia tarikh lahir yang dipopularkan oleh Dr. Azizan Osman.

Kaedah rahsia tarikh lahir ini dikatakan telah wujud sejak berkurun-kurun tahun lalu. Kaedah numerologi telah diasaskan oleh Pythagoras, seorang ahli Matematik sekitar 2600 tahun yang lalu. Untuk menulis ulasan mengenai rahsia tarikh lahir ini, saya telah merujuk beberapa sumber yang berlainan dan memadankannya dalam satu entri seperti ini. Namun kebanyakan sumber adalah berdasarkan budak perempuan (remaja) tersebut yang kebetulan mendapat maklumat ini daripada seseorang yang pernah menghadiri bengkel Mengetahui Rahsia Tarikh Lahir Dr. Azizan Osman. Oleh itu, maklumat di bawah ini tidaklah selengkap mana jika dibandingkan dengan pengetahuan orang yang pernah menghadiri bengkel Rahsia Tarikh Lahir Dr. Azizan. Ibarat sesudu kopi berbanding secawan kopi.


Sebelum kita pergi dengan lebih jauh. Saya ingin menyatakan sifat beberapa nombor di dalam rajah di atas.
  • Pertama, nombor kod asas diwakili oleh huruf O di dalam bulatan biru. Nombor kod asas ini mewakili ciri-ciri utama individu.
  • Kedua, nombor-nombor cermin diwakili oleh huruf S dan T di dalam bulatan hijau. Sekiranya nombor-nombor cermin ini memiliki nilai yang sama; sebagai contoh S = 6, dan T = 6, maka individu tersebut dikatakan berpotensi besar untuk menjadi seorang individu yang amat hebat dan popular.
  • Ketiga, nombor chassis atau nombor kod peribadi. Nombor chassis ini terdiri daripada I, J dan O. Nombor chassis ini juga dikatakan sebagai nombor kombinasi penentu sifat peribadi seseorang. Kedudukan nombor-nombor chassis ini telah saya warnakan dengan warna biru cair.
  • Keempat, nombor-nombor circular yang terdiri daripada kesemua 16 nombor yang diwakili oleh huruf A, B, C, D, E, F, G ,H, I, J, K, L, M, N, O, P, Q, R, S dan T. Kombinasi nombor-nombor tertentu daripada nombor circular ini juga dikatakan satu cara lagi untuk menghalusi sifat peribadi individu.
Ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh individu sebelum mengira nombor chassis atau kod asas individu berdasarkan tarikh lahir mereka. Pertama AB mewakili dua digit hari lahir. Kedua DC mewakili dua bulan lahir. EF dan GH pula mewakili empat digit tarikh lahir. Pendek kata, tarikh lahir individu perlulah disusun mengikut format AB.CD.EFGH yang pada akhirnya akan bertumpu menjadi A+B+C+D+E+F+G+H untuk mengetahui nombor kod asas.

Sebelum itu, perlu diketahui di sini, bahawa sebarang nombor dua digit seperti 10, 11, 12 dan ke atas perlulah diubah menjadi nombor satu digit menerusi kaedah numerologi seperti berikut:
10 --> 1 + 0 = 1
11 --> 1 + 1 = 2
12 --> 1 + 2 = 3
19 --> 1 + 9 = 10 --> 1 + 0 = 1 maka untuk kes seperti ini, kita ambil 1
20 --> 2 + 0 = 2
94 --> 9 + 4 = 13 --> 1 + 3 = 4 maka untuk kes seperti ini, kita ambil 4
Sebagai contoh, saya akan ambil tarikh lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tokoh negara Malaysia ini dilahirkan pada 10 Julai 1925 dan merupakan seorang tokoh yang amat dikagumi di kebanyakan negara, termasuk di negara-negara maju.

Mari kita semak cara pengiraan tarikh lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas. Mula-mula kita susun tarikh lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada 10 Julai 1925 kepada 10:07:1925 mengikut format AB:CD:EFGH, dan kita akan dapat menjalankan pengiraan seperti di bawah:
AB:CD:EFGH --> 10:07:1925

A=1, B=0, oleh itu A+B= 10 --> I=1

C=0, D=7, oleh itu C+D= 7 --> J=7

E=1, F=9, oleh itu E+F=10 --> K=1

G=2, H=5, oleh itu G+H=7 --> L=7

dan seterusnya.
Berdasarkan kiraan rahsia tarikh lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas, maka kita dapati Tun Dr. Mahathir memiliki nombor-nombor berikut:
  • Nombor kod asas diwakili oleh huruf O = 7
  • Nombor-nombor cermin diwakili oleh huruf S dan T adalah sama iaitu masing-masing ialah 6.
  • Nombor chassis atau nombor kod peribadi I.J.O Tun Dr. Mahathir ialah 1.7.7.
  • Nombor-nombor circular yang terdiri daripada kesemua 16 nombor yang diwakili oleh huruf A, B, C, D, E, F, G ,H, I, J, K, L, M, N, O, P, Q, R, S dan T bagi Tun Dr. Mahathir ialah 1,1,3,6,6,6,6,6,6,7,7,7,8,8,9 dan 9.

HURAIAN NOMBOR KOD ASAS:
Nombor kod asas ini diperolehi berdasarkan nombor chassis. Contohnya Tun Dr. Mahathir memiliki nombor-nombor kod asas 1, 7 dan 7 atau nombor chassis 1.7.7. Ini bermaksud Tun Dr. Mahathir memiliki nombor chassis berdasarkan 1 dan 7. Jika anda memiliki nombor chassis 1.2.3 maka sifat peribadi anda adalah berdasarkan nombor 1.2.3. Namun kod asas yang paling utama bagi anda adalah nombor yang mewakili huruf O. Dalam kes ini, nombor 7 mewakili ciri-ciri utama Tun Dr. Mahathir, manakala nombor 1 adalah rangkaiannya. Begitulah apa yang saya faham berdasarkan apa yang diterangkan oleh remaja perempuan tersebut.

Sifat Peribadi Individu Nombor Kod Asas 1

Pro: Mempunyai sifat seorang pemimpin, ada daya tarikan yang tinggi daripada jantina yang berlainan, mempunyai kebijaksanaan yang tinggi, berupaya mengkaji dan menganalisis sesuatu perkara dengan mendalam dan spesifik, seorang yang sukakan ilmu pengetahuan dan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, seorang yang sangat teliti dalam kebanyakan perkara, memiliki daya kreativiti yang sangat tinggi dan kepekaan yang tinggi.

Cadangan: Kepekaan dan kreativiti yang dimiliki hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana individu yang memiliki nombor kod asas 1 berpeluang besar memperolehi keuntungan menerusi kreativiti dan kepekaan.


Kontra: Pentingkan diri sendiri, tidak suka dikritik, susah untuk menerima pandangan atau komen daripada orang lain.

Cadangan: Individu dengan nombor kod asas 1 sesuai bekerja sendiri berbanding bekerja di bawah majikan.

Selebriti dan tokoh yang memiliki nombor kod asas 1 termasuklah Arsene Wenger, Tom Hanks dan Hulk Hogan.


Sifat Peribadi Individu Nombor Kod Asas 2

Pro: Seorang yang berkemahiran tinggi dan memiliki personaliti yang menarik. Mudah kelihatan tenang dan selamba dalam kebanyakan keadaan. Peramah. Sangat suka menjaga kebersihan. Rajin. Berfikiran Matang. Baik hati, lembut hati dan suka menjaga kebajikan dan keperluan orang lain. Mudah bergaul dengan golongan yang lebih tua daripadanya. Apabila diberi tugasan, individu dengan nombor kod asas 2 akan berusaha untuk menyempurnakan tugas tersebut dengan sebaik mungkin. Suka memberi sumbangan, berjasa dan berbakti kepada masyarakat. Boleh dianggap sebagai seorang sahabat atau saudara.

Kontra: Adakalanya kurang berkeyakinan untuk memulakan sesuatu perkara (kurang yakin dengan kebolehan diri, sekiranya kurang maklumat tentang sesuatu perkara yang hendak dilakukan) walaupun pada hakikatnya orang lain melihat dia sebagai seorang yang sememangnya mampu untuk melakukannya. Mendengar nasihat tetapi tidak semestinya mengikut nasihat tersebut (kelihatan seperti seorang yang lurus tetapi sebenarnya degil). Lebih mengutamakan kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri sendiri dalam kebanyakan situasi. Suka berkorban untuk orang lain sehingga boleh memudaratkan atau menyusahkan diri sendiri.

Contoh selebriti yang memiliki nombor kod asas 2 ialah Adi Putra (kanak-kanak pintar Malaysia).


Sifat Peribadi Individu Nombor Kod Asas 3

Pro: Dikatakan sebagai seorang individu yang serba boleh. Seorang yang idealistik, aktif dan berpandangan jauh. Tahu dan faham keperluan diri. Mampu membezakan antara perkara buruk dengan perkara baik. Berkebolehan dalam bidang yang diceburi. Berpotensi untuk hidup mewah sekiranya berusaha bersungguh-sungguh. Mudah menyatakan pandangan terhadap sesuatu perkara (suka memberi komen).

Kontra: Bersikap terlalu agresif, bukan seorang yang penyabar dan boleh jadi seorang yang mudah melenting atau panas baran. Suka mengambil mudah sesuatu perkara dan tidak tegas. Boleh jadi seorang yang nakal dan bermulut laser. Perlu berhati-hati dengan perkataan yang digunakan semasa bercakap kerana individu dengan nombor kod asas 3 boleh menyakiti hati orang lain dan seterusnya merenggangkan perhubungan dengan orang lain.

Selebriti yang mempunyai nombor 3 termasuklah Wayne Rooney, Christiano Ronaldo dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Rahsia Peribadi Individu Nombor Kod Asas 4

Pro: Suka mempelajari sesuatu perkara, bekerja dengan tekun, tabah dan memiliki strategi dalam melakukan satu-satu perkara. Memiliki jiwa seni dan biasanya boleh berjaya dalam peperiksaan. Seseorang yang boleh dipercayai dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat. Mudah bersimpati dengan orang lain dan memiliki karisma. Peramah. Suka mengembara dan mencari kebahagiaan dalam hidup. Apabila gagal, akan mudah bangkit semula.

Kontra: Suka memendamkan perasaan. Tidak mudah meluahkan rasa tidak puas hati dalam sesuatu perkara. Terlalu mengutamakan perkara-perkara remeh dan berfikiran sempit, tidak berpandangan luas. Mudah mengalami masalah dalam perhubungan dan rumah tangga.

Selebriti yang memiliki nombor kod asas 4 termasuklah Bill Gates, Alex Ferguson dan Margaret Thatcher.


Individu Dengan Kod Asas 5

Pro: Memliki sikap kepimpinan yang kuat. Suka mengambil risiko. Suka mencuba perkara-perkara baru. Boleh memimpin dan ada karisma. Selalunya akan memegang jawatan tinggi. Sangat rajin dan selalu fokus terhadap kejayaan masa depan jika beliau berkeinginan untuk mencapai kejayaan tersebut. Berfikiran realistik, tegas, berkesedaran tinggi dan tidak suka berangan-angan. Tidak mudah melakukan satu-satu perkara yang sama, perlukan kepelbagaian dan mudah asyik dengan satu-satu perkara yang dilakukan.

Kontra: Keras kepala, tidak boleh dihalang sekiranya ingin melakukan sesuatu perkara. Mudah cerewet biarpun dengan hal-hal kecil. Tidak mudah bertenang dan sentiasa sibuk bekerja. Kurang teliti dalam menyempurnakan satu-satu kerja.

Contoh selebriti yang memiliki nombor kod asas 5 termasuklah Britney Spears, Ronaldo, Abraham Lincoln dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Ciri-ciri Peribadi Individu Dengan Nombor Kod Asas 6

Pro: Nombor 6 dikatakan sebagai nombor untuk terus hidup atau wujud. Mempunyai perjuangan dalam kehidupan. Individu dengan nombor 6 merupakan seorang yang sangat bersopan, berbudi bahasa dan selalunya memiliki citarasa yang tinggi dalam kehidupannya. Individu dengan nombor kod asas 6 juga mudah hidup senang atau mewah dan pada masa yang sama juga merupakan seseorang yang mengawal harta benda dan kekayaan.

Individu dengan nombor 6 akan berjaya dalam karier dalam bidang pendidikan, bidang seni dan bidang keagamaan. Individu dengan nombor 6 akan mejadi popular dalam masyarakat. Individu dengan nombor 6 juga sangat mengambil berat dan menjaga kebajikan orang-orang bawahannya. Suka membantu orang lain. Selalu menjadi pendamai.

Kontra: Individu dengan nombor 6 suka berbangga dan tidak akan mengambil kerja mudah. Seorang yang perfectionist dan mahukan kesempurnaan dalam melakukan sesuatu perkara. Patuh terhadap kata-kata orang atasan dan tidak mudah menerima cakap atau arahan daripada orang-orang lain yang bukan ketuanya. Melakukan sesuatu adakalanya disebabkan ada kepentingan dalam hasil kerja tersebut yang diperlukan untuk menyempurnakan sesuatu perkara yang lain.

Selebriti yang memiliki nombor kod asas 6 termasuklah Luis Felipe Scolari (pengurus pasukan bola sepak Chelsea), Rafa Benitez (pengurus pasukan bola sepak Liverpool), Warren Buffett (pakar kewangan dunia) dan Albert Einstein (genius dalam bidang Matematik dan Fizik).


Keperibadian Individu dengan Nombor Kod Asas 7

Pro: Memiliki kemahiran yang sangat tinggi dan sangat teliti apabila mengendalikan sesuatu perkara. Individu dengan nombor kod asas 7 tidak akan lupa kepada orang yang pernah menolongnya. Seorang yang sangat-sangat menghargai dan suka berterima kasih. Individu ini ghairah dengan cinta dan seks. Seorang pemikir. Suka kedamaian dan ketenangan. Menarik perhatian orang ramai. Suka menjadi perhatian ramai atau melakukan perkara-perkara yang boleh menonjolkan dirinya di khayalak ramai. Suka mengejar kemasyhuran, populariti dan tuah.

Kontra: Pandai memutarbelit kata-katanya. Suka berlawan cakap. Tidak tetap pemikiran atau pendirian. Mudah mengubah keputusan. Tidak tegas. Sangat suka berahsia dan sikap seperti ini selalunya menyebabkan dirinya dipandang negatif. Tidak menghargai erti persahabatan sejati atau persaudaraan yang sebenar. Sering menganggap semua orang adalah sama. Mendekati orang-orang tertentu kerana ada kepentingan terhadap diri sendiri. Boleh bertindak kejam jika mood tidak baik. Mudah berasa tertekan. Suka menyendiri dan akan mencari kawan apabila ada keperluan. Cerewet. Sensitif dengan persekitaran.

Selebriti yang memiliki nombor kod asas 7 termasuklah Frank Lampard (pemain bola sepak Chelsea), Saddam Hussein, Mawi dan Michael Jackson.


Sikap Individu Dengan Nombor Kod Asas 8

Pro: Selalunya lebih aktif di kalangan kawan-kawan, dan ini menyebabkan individu dengan nombor kod asas 8 mudah terkenal. Sangat pendiam, konservatif dan pasif. Bertanggungjawab dan sangat bermoral. Seorang yang boleh dipercayai. Boleh menyelesaikan masalah. Tidak akan mempermain-mainkan orang lain.

Kontra: Kadangkala tidak jelas dengan apa yang hendak atau sedang dilakukan. Matlamat kabur. Nampak kuat secara luaran tetapi sebenarnya berhati sensitif. Sangat berhati-hati dan percaya kepada pandangan diri. Mudah kehilangan peluang. Sekiranya terjerat dengan perkara-perkara tidak berfaedah dan membuang masa seperti hiburan, individu dengan nombor kod asas 8 mudah jatuh ke jurang kegagalan.

Selebriti yang memiliki nombor kod asas 8 termasuklah Osama Laden dan Steven Gerrad (pemain bola sepak Liverpool).


Individu dengan Kod Asas 9

Pro: Sangat optimistik dan berfikiran terbuka. Suka kelihatan cantik. Sangat beradab. Pintar, peka dan sensitif. Berkebolehan untuk bersikap offensive dan defensive. Pandai dalam memenangi hati orang lain. Berkebolehan untuk menghiburkan orang lain. Mempunyai daya tarikan sebagai penghibur. Boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Melakukan kerja dengan cepat tetapi tidaklah secara terperinci atau khusus. Fleksibel terhadap persekitaran.

Kontra: Tidak mengambil berat terhadap orang bawahan. Bersikap emosional. Pada mulanya memiliki ramai kawan, dan kemudian berkemungkinan besar akan kehilangan kawan satu demi satu sehingga menjadi seorang yang kesunyian. Mudah berubah-ubah sikap dan sukar difahami. Mudah mengikut perasaan, kadangkala gembira, kadangkala tertekan dan sebagainya. Mudah berputus asa apabila menghadapi cabaran yang sukar.

Selebriti yang memiliki nombor kod asas 9 termasuklah Harrison Ford, Elvis Presley, Suharto dan Megawati Sukarno.


NOMBOR-NOMBOR CIRCULAR

Nombor-nombor circular sebanyak 16 unit diambil daripada huruf A, B, C, D, E, F, G ,H, I, J, K, L, M, N, O, P, Q, R, S dan T. Nombor-nombor ini boleh dicantumkan menjadi kombinasi nombor tertentu yang membawa makna tertentu juga. Berdasarkan Dr. Azizan Osman, ada antara kombinasi-kombinasi nombor circular yang boleh membawa maksud seperti berikut:

1 2 3 @ 1 2 * bermaksud:
  • Ada kekuatan/bakat/anugerah suara
  • Boleh bercakap dengan lancar dan pantas
  • Kadangkala bercakap kosong
  • Kadangkala tidak boleh mengawal mulut atau terlepas cakap/kurang pandai bergurau
  • Boleh berhujah/berdebat

4 2 6 @ 2 4
  • Boleh berceramah
  • Suka berkongsi ilmu
  • Boleh menjadi seorang motivator

8 4 3
  • Mudah berasa bosan dengan satu-satu perkara
  • Terlalu suka berangan-angan
  • Susah untuk berjaya jika tidak fokus dalam melakukan sesuatu perkara
  • Suka mencari peluang baru

5 7 3
  • Mudah bergaul dengan orang atasan atau VIP
  • Orang atasan mudah percaya percakapannya
  • Mudah dihentam dan menghentam orang (barangkali disebabkan kelantangan bercakap)

9 1 1
  • Lebih suka berdikari dalam melakukan sesuatu
  • Suka bekerja sendiri dan sukar bekerjasama dengan orang lain
  • Susah ada rakan kongsi kerana mudah bertentangan pendapat
  • Suka buat keputusan sendiri
  • Boleh menjadi orang tengah
  • Mudah berjaya atas usaha sendiri
  • Keras kepala
  • Senang dikhianati orang lain

1 1 1 1 @ 6 6 6 6 @ 1 6 1 6

  • Suka berfikir secara mendalam
  • Tidak suka berkongsi masalah
  • Mudah berasa kecewa
  • Mudah dilanda tekanan emosi

4 5 6

  • Sesuai menjadi akauntan
  • Mudah terlibat dalam penyelewengan dan rasuah

9 9 9
  • Banyak peluang dalam hidup hingga boleh mengubah diri menjadi seorang yang tamak
  • Sunyi dan suka tinggal di kawasan yang banyak pokok

3 3 3 @ 8 8 8
  • Mudah tertekan
  • Panas baran
  • Berpontensi untuk menjadi seseorang yang memiliki pengaruh dan kuasa
  • Pendendam
  • Degil
  • Mudah berasa resah dan gelisah (perlu belajar bertenang)

4 5 9

  • Lebih suka mengikut gerak hati berbanding merancang dalam usaha mendapatkan sesuatu

6 7
  • Mudah berbelanja untuk orang lain

1 5 6
  • Lebih sesuai kerja di luar (outstation) sekiranya inginkan keuntungan atau rezeki lebih.

1 8 9
  • Suka melancong, suka bergerak dan sentiasa tertekan

8 3
  • Suka aktiviti luar rumah
  • Tidak suka duduk diam di dalam rumah tanpa kerja

3 3 6
  • Kebocoran wang.
  • Duit senang masuk, senang keluar

PENUTUP
Setelah menjalankan kajian terhadap beberapa orang responden yang terdiri daripada kenalan dan sanak-saudara yang terdekat, saya mendapati tidak semua keputusan yang diperolehi adalah betul-betul sama seperti ciri-ciri yang dinyatakan. Ilmu seperti ini boleh membantu merangsang atau memotivasikan individu tetapi tidak boleh diterima atau dipercayai seratus peratus kerana boleh menyesatkan akidah manusia. Sesiapa yang berminat bolehlah menguji kaedah di atas dan menyatakan ketepatan atau peratus ketepatannya di sini.