BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 13, 2009

Ulasan Filem - District 9 - Movie Review

Ulasan Filem: District 9 - Filem Yang Mengharukan Minda
Pengulas: Amiene Rev (C) 2009

District 9 bukan filem biasa. Ia adalah sebuah filem mokumentari yang menarik dan mempunyai mesej yang boleh ditafsirkan. Salah sebuah filem terbaik yang pernah saya lihat untuk tahun ini. Filem ini mempunyai plot dan jalan cerita yang mampu membuatkan saya berfikir. Filem ini juga memiliki aksi-aksi yang mencemaskan, kasih-sayang, setiakawan dan hubungan luar biasa antara manusia dengan makhluk asing selain sindiran dan teguran tersirat untuk dunia nyata.



Sinopsis Filem District 9:
Filem District 9 mengisahkan kehadiran sebuah kapal angkasa makhluk asing di Johannesburg, Afrika Selatan. Kapal angkasa itu terapung di langit selama beberapa hari, sehinggalah manusia cuba membongkar misteri di sebalik kapal angkasa itu.

Didapati, terdapat beribu-ribu makhluk asing yang kelaparan, keliru dan putus harapan di dalam kapal angkasa tersebut. Persatuan manusia yang baik hati, memutuskan untuk menyelamatkan makhluk-makhluk asing yang juga dipanggil sebagai 'orang udang' atau 'prawn' itu dengan memberi sumbangan makanan dan tempat perlindungan.

Daerah yang memuatkan beribu-ribu makhluk asing itu dikenali sebagai District 9 atau Daerah 9. Bilangan makhluk asing ini meningkat hingga ke angka juta dan mereka juga banyak menimbulkan masalah sosial kepada masyarakat setempat. Makhluk-makhluk asing ini mencuri, menculik manusia dan melakukan banyak kerosakan dan vandalisme. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk setempat.

Makhluk-makhluk asing yang juga dipanggil 'Prawn' oleh penduduk setempat kerana rupanya seperti udang ini sebenarnya adalah makhluk yang setiakawan dan jujur. Mereka juga pandai mencipta senjata-senjata bioteknologi yang canggih dan menukarnya dengan makanan kucing di dalam tin.

Contohnya, satu suit robotik berharga 100 tin makanan kucing. Suit robotik itu dijual kepada kumpulan-kumpulan gelap yang dianggotai oleh warga Afrika. Sayang sekali, kesemua senjata makhluk asing itu tidak dapat digunakan oleh manusia. Ini kerana kesemua senjata canggih ciptaan makhluk asing itu memerlukan pengguna yang memiliki DNA makhluk asing sahaja. Namun, ketaksuban kumpulan-kumpulan gelap terhadap senjata makhluk asing yang dianggap sebagai misteri, ajaib dan keramat menyebabkan mereka tetap mahu menyimpan senjata-senjata makhluk asing ini.

Kumpulan gelap ini sering menipu makhluk-makhluk asing ini. Mereka percaya dengan memakan jantung makhluk asing ini, mereka akan kebal dari pelbagai jenis penyakit termasuklah diabetes. Manakala ketua kumpulan gelap Afrika pula percaya, dengan memakan tangan makhluk asing, akan dapat memberikannya tenaga dan kuasa makhluk asing.

Watak utama dalam filem ini ialah seorang ejen MNU (Multi-Nation United) bernama Wikus van der Merwe (lakonan Sharlto Copley). Wikus sangat menjaga kebajikan makhluk asing ini, tetapi sayangnya dia sering diancam oleh makhluk asing semasa menjalankan tugas.

Memandangkan masyarakat setempat tidak lagi mampu bersabar dengan kebiadaban yang dipamerkan oleh makhluk asing, pihak MNU bercadang untuk memindahkan kesemua makhluk asing ke satu tempat yang tidak ada manusia, iaitu kira-kira 200 kilometer daripada District 9. Tempat baru ini akan dikenali sebagai District 10. Kesemua makhluk asing akan diminta untuk menandatangan satu borang persetujuan untuk berpindah.

Pada suatu hari, ketika Wikus mengunjungi sebuah rumah makhluk asing yang bernama Christopher, Wikus telah menemui satu silinder perak yang mengandungi cecair hitam. Semasa memeriksa silinder perak tersebut, Wikus telah terkena percikan cecair hitam yang menyebabkan mutasi makhluk asing berlaku ke atas Wikus.

Wikus kini mempunyai DNA makhluk asing dan perlahan-lahan berubah menjadi makhluk asing. Hal ini berjaya dikesan oleh pihak MNU di pusat perubatan semasa Wikus menerima rawatan. Jangkitan DNA makhluk asing ke atas Wikus ini sebenarnya telah membuka niat sebenar MNU melindungi makhluk asing.

Pihak MNU sebenarnya telah lama tertarik dengan senjata-senjata canggih ciptaan makhluk asing ini. Oleh itu, kebolehan Wikus untuk menggunakan kesemua peralatan dan senjata bioteknologi ciptaan makhluk asing telah menarik perhatian pihak MNU. Mereka menilai Wikus dengan harga berbilion Dolar. Wikus merupakan manusia paling bernilai di dunia. Pihak MNU mahu mengekstrak keluar DNA makhluk asing dari badan Wikus dan ini bermakna kesemua sel dan tisu badan Wikus perlu digunakan. Ini juga bermakna Wikus akan terkorban kerana ketamakan pihak MNU mahu merampas teknologi makhluk asing.

Menyedari agenda rahsia MNU, Wikus melarikan diri dan menjejaki Christopher. Christopher memberitahu Wikus bahawa makhluk asing memiliki teknologi perubatan untuk menyembuhkan kembali Wikus supaya menjadi manusia normal tetapi teknologi tersebut tidak ada di District 9. Teknologi tersebut berada di planet makhluk asing. Christopher juga berjanji akan kembali ke bumi selepas 3 tahun, untuk menolong menyembuhkan Wikus, tetapi Wikus tidak dapat bersabar memandangkan Wikus kini telah menjadi buruan pihak MNU yang mahukan DNA makhluk asing yang terdapat di badannya.

Pada mulanya Wikus menyalahkan Christopher, namun kemudian, Wikus mula menyedari keikhlasan Christopher. Ini kerana semasa Christopher dan Wikus berjaya memecah masuk ke makmal rahsia MNU, Christopher berasa sangat sedih melihat kaumnya telah dijadikan eksperimen perubatan. Oleh itu Christopher terpaksa melengahkan janjinya kepada Wikus selama tiga tahun kerana mahu menumpukan terhadap usaha menyelamatkan kaum sejenisnya.

Sementara itu, Wikus telah dianggap sebagai pelarian dan pada masa yang sama sebagai penjenayah yang dikehendaki. Wikus telah difitnah mengadakan hubungan seks dengan makhluk asing dan kerana itu beliau telah dijangkiti penyakit makhluk asing yang boleh berjangkit. Ini menyukarkan Wikus untuk menonjolkan diri di khalayak ramai. Mujurlah isteri Wikus masih mempercayai Wikus.

Babak-babak terakhir filem ini berakhir dengan aksi peperangan antara Wikus, makhluk asing dengan pihak MNU. Wikus menggunakan peralatan canggih makhluk asing untuk menyerang balas serangan pihak MNU dan pada masa yang sama untuk melindungi Christopher naik ke kapal angkasa makhluk asing.

Anak lelaki Christopher yang sudah tentunya seekor makhluk asing yang pintar telah berjaya mengaktifkan kapal angkasa makhluk asing secara kawalan jauh dan menyedut kapal angkasa kecil makhluk asing masuk ke kapal angkasa besar.

Adakah misi Wikus untuk membolehkan Christopher pulang ke planetnya berjaya? Bagaimana dengan cinta sejati isteri Wikus yang menunggu kepulangan Wikus biarpun ramai pihak menganggap Wikus telah terkorban? Apakah yang telah berlaku ke atas Wikus? Adakah Christopher akan menunaikan janjinya? Segala panduan jawapan untuk persoalan-persoalan ini akan menyerbu minda selepas menonton cerita ini.

Filem District 9 mungkin kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak kerana aksi terlalu ganas dan isu politik serta perkauman yang ada di dalam filem ini. Filem District 9 adalah sebuah filem yang menyentuh hati, dan pada masa yang sama merupakan satu filem sindiran halus buat umat manusia. Filem District 9 pada mulanya akan menggeletek hati saya, tetapi semakin lama saya menonton filem ini, saya mula tersentuh dengan jalan ceritanya. Saya menganggap filem District 9 ini sebagai salah sebuah filem terbaik untuk tahun 2009. Tahniah buat Neill Blomkamp dan Terri Tatchell.