BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Ogos 11, 2009

Perbezaan antara Crown-Tailed dengan Veil-Tailed Betta

Crown-Tailed Betta Lebih Baik Dalam Komuniti Berbanding Veil-Tailed Betta
Pengkaji: Amiene Rev (C) 2009

Ringkasan Hasil Kajian:
Ikan Crown-Tailed Betta lebih bersifat damai, suka berdiam diri dan tenang manakala Ikan Veil-Tailed Betta suka berkeliaran, lincah, agresif, bersikap mendominasi kawasan dan mudah bergaduh dengan ikan-ikan Betta yang lain.

Huraian Kajian:
Hari ini saya menjalankan kajian secara pemerhatian, meneliti perbezaan sifat dan tingkah laku antara Crown-Tailed Betta dengan Veil-Tailed Betta. Saya mendapati Crown-Tailed Betta atau Ikan Sepilar Ekor Mahkota lebih suka menghindari pertarungan berbanding Veil-Tailed Betta atau Ikan Pelaga Siam. Kajian ini walau bagaimana pun belum mendalam dan perlukan variasi.

Crown-Tailed Betta

Crown-Tailed Betta memiliki sirip dan ekor yang berjurai yang menampakkan ikan ini seolah-olah bersifat ganas dan pembengis. Hakikatnya, Crown-Tailed Betta yang dikaji sering mendiamkan diri dan jarang naik ke permukaan untuk mendapatkan oksigen. Saya mengkaji dua ekor ikan Crown-Tailed Betta dan mendapati kedua-duanya mempunyai perilaku yang sama.

Tertarik dengan sifat sukakan kedamaian dan privasi yang ada pada kedua-dua ekor ikan dari spesies Crown-Tailed Betta ini, saya cuba meletakkan kedua-dua jenis ikan yang sama jenis ini ke dalam satu bekas kecil.

Didapati, kedua-dua ekor ikan Crown-Tailed Betta ini menjauhkan diri antara satu sama lain. Berdasarkan sikap yang ditunjukkan oleh ikan jenis Crown-Tailed Betta ini, saya berpendapat, ikan Crown-Tailed Betta boleh hidup dalam komuniti atau dipelihara dalam satu bekas yang sama.


Veil-Tailed Betta

Ikan Pelaga Siam jenis ini biasa didapati di Malaysia. Veil-Tailed Betta memiliki sirip yang panjang dan lurus seperti dedaun atau helaian kain sutera. Sisiknya juga berkilau dengan warna-warna terang, garang atau gelap.

Walaupun sirip-siripnya sering kelihatan layu, namun hakikatnya Veil-Tailed Betta adalah jenis ikan yang bersikap mendominasi sesuatu kawasan. Ikan dari jenis Veil-Tailed Betta ini cenderung untuk mencabar dan mengejar ikan-ikan Betta dari jenis Crown-Tailed. Sekiranya Veil-Tailed Betta bertembung dengan Veil-Tailed Betta yang lain, kebarangkalian untuk berlaku pertarungan maut adalah sangat tinggi.

Saya melepaskan ikan-ikan jenis Veil-Tailed Betta ini secara berhati-hati di lokasi yang berasingan di dalam tangki ikan. Namun, ikan-ikan dari jenis Veil-Tailed Betta ini sangat suka berkeliaran di dalam tangki, dan ini menyebabkan mereka mudah bertemu dengan ikan-ikan yang lain.

Pada mulanya mereka akan saling cabar-mencabar, acah-mengacah antara satu sama lain, namun apabila melihat peluang untuk menyerang telah timbul, pertarungan maut akan berlaku. Ikan-ikan dari jenis Veil-Tailed Betta ini akan saling gigit-menggigit sirip atau ekor lawan mereka dan pergelutan maut akan berlaku.

Sirip-sirip ikan akan koyak rabak dan ini sangat menyedihkan saya. Menyedari bahawa Veil-Tailed Betta memiliki sifat yang berlawanan dengan Crown-Tailed Betta, saya mula mengasingkan 3 daripada 4 ekor ikan Veil-Tailed Betta ini ke dalam bekas yang berasingan. Bekas-bekas yang berasingan itu diletakkan rapat-rapat antara satu sama lain supaya ikan-ikan Veil-Tailed Betta ini dapat melihat antara satu sama lain.

Saya meneliti ikan Veil-Tailed Betta ini satu-persatu dan cuma membiarkan ikan Veil-Tailed Betta yang paling kurang ganas untuk dibiarkan bersama-sama dua ekor ikan Crown-Tailed Betta yang lain.

Pada mulanya ikan Veil-Tailed Betta ini berkeliaran di dalam tangki dan apabila ternampak ikan Crown-Tailed Betta, dia mengejar dan mengepung ikan tersebut. Selepas kira-kira 1 jam kemudian, saya dapati ikan Veil-Tailed Betta yang dibiarkan berada di dalam satu tangki dengan ikan Crown-Tailed Betta itu sudah mula dapat hidup harmoni dengan ikan-ikan Crown-Tailed Betta yang lain.

Sementara itu, ikan-ikan Veil-Tailed Betta yang diasingkan masih menunjukkan sifat mahu mendominasi kawasan, agresif dan saling cabar-mencabar antara satu sama lain.

Berdasarkan ini, saya membuat kesimpulan bahawa ikan Betta dari baka Crown-Tailed sesuai untuk dikomersilkan kerana bersifat suka mengelak pertarungan dan risiko kematian akibat pergaduhan boleh dielakkan walaupun diletakkan secara beramai-ramai dalam satu tangki yang sama, manakala Veil-Tailed Betta pula hanya sesuai dipelihara secara berasingan kerana bersifat suka mendominasi kawasan dan bertarung dengan ikan Betta yang lain.

Selepas ini saya cuma akan membeli ikan Crown-Tailed Betta sahaja sehinggalah saya menemui cara untuk mendamaikan ikan-ikan Veil-Tailed Betta yang sedia ada ini dengan sub-spesies yang sama atau sub-spesies berlawanan. Ikan Veil-Tailed Betta sungguh hiperaktif.

Saya juga membaca kajian tersebut untuk menilai pandangan pengkaji lain mengenai sifat-sifat Ikan Betta. Berdasarkan kajian yang disampaikan menerusi pautan di bawah, saya mendapati jenis ikan Betta yang dikaji adalah dari jenis Veil-Tailed Betta sahaja:

http://cas.bellarmine.edu/tietjen/Projects/display_behaviors_of_male_betta_.htm