BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 02, 2009

Satu Tahun Satu Negara - Amiene Rev Sang Pengembara

Saya berhajat mahu pergi menunaikan umrah pada tahun ini juga. Saya sudah menetapkan jadual melancong (bukan sekadar melancong tetapi lebih kepada memenuhi kehendak kajian saya) ke luar negara. Setiap tahun sekurang-kurangnya sebuah negara.

Memandangkan saya ada keluarga angkat dan saudara-mara di beberapa buah negara, maka tidak perlu lagi saya menyewa hotel. Kebetulan pula kebanyakan keluarga angkat saya adalah beragama Islam. Jika ada yang tidak beragama Islam, itu pun bukan satu masalah juga, sebab saya sudah biasa dengan lokasi-lokasi makanan yang sesuai untuk tekak saya sebagai seorang Islam.

Cabarannya kini, saya mahu ke negara yang belum pernah saya jejaki. Ini bermaksud, negara-negara yang mungkin kurang popular dalam peta dunia. Saya perlukan lebih banyak input mengenai beberapa negara yang tidak popular ini. Walau pun negara-negara tersebut kurang popular, tetapi ada subjek atau objek di negara tersebut yang menarik perhatian saya untuk dikaji.

Maka, selepas reda isu H1N1 ini, saya akan kembali aktif ke luar negara seperti biasa. Sesetengah manusia mampu melihat atau memikirkan sesuatu yang di luar jangkaan manusia kebanyakan. Sejarah hidup saya membuktikan saya bukan orang kebanyakan. Terlalu banyak persoalan yang sukar diterangkan kepada manusia-manusia kebanyakan. Ini bukan satu pernyataan yang menghina biarpun ia kelihatan seolah-olah menghina manusia kebanyakan.

Persoalan yang patut ditanya, "Jika mereka tidak mahu dipanggil orang kebanyakan, kenapa mereka bersikap seperti manusia kebanyakan. Kenapa mereka tidak boleh berfikir secara luar biasa?"

Dan sudah semestinya saya rasa saya tidak perlu menjawab soalan di atas. Soalan di atas saya campak ke dalam tong sampah, kerana saya masih ada terlalu banyak persoalan yang perlu saya cari jawapannya sendiri. Carilah jawapannya sendiri, itulah jawapan saya untuk persoalan-persoalan di atas. Pemikiran seseorang individu itu akan membentuk jalan kehidupannya. Saya melalui jalan hidup saya dan tidak berminat untuk mengambil tahu jalan hidup orang lain. Hidup sudah sedia mudah. Belajar. Kerja. Tambah pendapatan. Bercuti. Berseronok. Bersyukur.