BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 19, 2006

Perbezaan Antara Kenalan Dengan Rakan

Napoleon Hill berkata, jika anda inginkan ramai kenalan, jadilah seorang yang kaya. Jika anda inginkan rakan-rakan, jadilah seorang rakan.


Saya masih ingat pada zaman kanak-kanak dahulu, ada kisah mengenai anjing Lassie yang bersahabat dengan seorang budak. Anjing yang bernama Lassie ini bijak, setia dan berani.

Persahabatan antara manusia memerlukan kesetiaan (berlandaskan kebijaksanaan dan kematangan), keberanian kerana kebenaran. Berani menegur apabila rakan anda melakukan kesilapan. Kebijaksanaan dan kematangan dalam membuat keputusan.

Saya ingin mengulas perkataan-perkataan Napoleon Hill ini. Memang benar dalam kebanyakan hal, kita dapati apabila kita mempunyai kekayaan (wang, tanah, kuasa, pangkat dan sebagainya), akan menyebabkan diri kita disenangi oleh orang lain.

Hati-hati, orang yang tertarik dengan anda itu mungkin hanyalah kenalan dan bukan rakan. Disebabkan anda memiliki sesuatu yang boleh jadi suatu kepentingan bagi mereka. Jadi di manakah rakan-rakan anda? Prinsip ini mengatakan, anda tidak akan mempunyai rakan sejati melainkan anda menjadi rakan kepada rakan-rakan anda. Sentiasa berhati-hati memilih rakan.

Senang sahaja untuk melihat siapa kenalan dan siapa rakan anda. Kenalan itu biasanya akan datang ketika anda kaya, ketika anda popular ketika anda berada di puncak dan ketika anda memiliki kekuatan dan kelebihan dalam sesuatu perkara. Mereka akan berpusu-pusu menegur anda, menarik perhatian anda. Tetapi apabila anda tidak memiliki kekayaan, hilang populariti, saat jatuh dan tidak terserlah kekuatan atau kelebihan, mereka meninggalkan anda. Hal ini biasa dilihat dalam dunia hari ini, tidak kira dulu atau sekarang. Sebab itulah timbulnya kata-kata seperti: "Rakan Ketawa Senang Mendapat, Rakan Menangis Susah Dicari."

Jadi bagaimana anda hendak menguji rakan-rakan anda? Kadang-kala, akan datang kepada anda rakan-rakan yang sering meminta pertolongan. Cuba suatu ketika anda berhenti menolong mereka, dan lihat adakah mereka anda datang kepada anda lagi? Adakah mereka pula akan membantu anda? Adakah mereka merungut-rungut terhadap anda kerana tidak dapat menolong mereka? Atau mereka sudah melarikan diri dan tidak bertegur sapa dengan anda? Jika sebab anda tidak dapat menolong mereka, maka mereka melarikan diri, sudah jelas mereka hanya mempergunakan anda. Anda akan menjadi rakan mereka apabila mereka mendapat manfaat daripada anda. Ketahuilah, mereka ini adalah kenalan anda. Orang-orang seperti ini banyak ditemui dalam dunia perniagaan dan MLM (Multi Level Marketing). Saya minta maaf jika menyinggung perasaan orang-orang yang terlibat dalam bidang ini. Maafkan saya.

Maaf ya, maaf, maaf dan maaf. Apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan pengalaman saya. Sebab itu saya sampai sekarang tidak suka dan tidak aktif dalam apa jua perniagaan berasaskan MLM. Oleh itu, kepada sesiapa yang berkenaan, berhentilah menghantar e-mel yang sedemikian terhadap saya, sekiranya anda membaca entri ini. Memang betul itu cara mudah untuk kaya, bagi andalah, tetapi tidak semua orang mahu jadi kaya dengan cara sebegitu. Citarasa setiap orang adalah berbeza, anda tidak boleh memaksa atau mempengaruhi saya.

Juga, saya juga terkilan dengan sikap beberapa orang kenalan. Sebab mereka menjadi rakan saya semata-mata untuk menarik saya menyertai MLM. Selepas saya menolak dan bertegas tidak mahu, mereka mula tidak bertegur sapa dan berpura-pura tidak mengenali saya, tidak nampak saya. Jadi selama ini apa yang mereka nampak bukan saya, tetapi sasaran perniagaan mereka. Ini adalah satu bentuk penghinaan dalam hubungan sosial manusia. Bukan seorang dua, malah ramai juga yang bersikap begini. Padahal dulu bukan main ramah lagi, mereka datang bertegur sapa, bertanya khabar dan berborak-borak. Cukup memalukan apabila anda mendekati seseorang itu hanya untuk kepentingan diri yang bersifat keuntungan.

Saya tahu, memang saya selalu memperlihatkan diri saya sebagai seorang yang tidak kaya. Jarang sekali apabila saya ke mana-mana dengan mengenakan pakaian yang kelihatan segak dan berstatus tinggi kecuali apabila saya menghadiri atau dijemput ke acara-acara rasmi dan formal, atau ketika keluar dengan rakan-rakan untuk tujuan tertentu, atau ketika saya pergi mengajar anak-anak murid saya (maka ketika itu saya akan berpakaian agak kemas). Itu pun agak mengecewakan apabila saya dapati ada hadirin yang tidak tahu protokol dan adab-adab dalam majlis rasmi. Biarlah, mereka masih kebudak-budakan. Saya sering ke mana-mana dengan imej yang tidak menarik, berpakaian lusuh, merendah diri, dan kelihatan tidak menarik. Ada sebab dan prinsipnya.

Ramai orang yang terpedaya. Mereka melihat saya ke mana-mana pun dengan berjalan kaki, tidak bermotosikal. Tetapi mereka pelik melihat saya sentiasa berduit. Lalu ada di kalangan mereka mendekati saya untuk mengetahui hal-hal sebenarnya. Ya, sebabnya saya melihat keseronokan dan kemewahan itu dari sudut pandangan yang berbeza dengan mereka. Bagi mereka, pakaian yang bergaya, baru, kasut, motosikal dan imej itu penting. Saya pula sebaliknya, wang adalah untuk tujuan mencapai hasrat dan cita-cita tertentu. Wang bukan untuk mempamerkan bahawa diri kita kaya dan berduit, kepada orang lain. Bukan untuk menyuruh orang tetapkan dalam minda bahawa kita berduit, kita ada imej, kita ada kelebihan dan sebagainya. Itu yang menyebabkan saya berbeza dengan golongan ini. Mereka tidak puas hati, malah mempersoalkan pula bagaimana saya boleh hidup dalam keadaan yang mereka tidak sanggup untuk melaluinya. Saya rasa soalan ini tak perlu saya jawab. Jiwa kita nyata berbeza. Hentikan persoalan ini.

Saya juga pernah merasai apa yang dikatakan mewah. Biasanya sebagai ganjaran untuk kejayaan-kejayaan yang pernah saya capai. Saya pernah menikmati makanan mewah berharga puluhan ringgit. Pernah juga menghabiskan wang untuk tujuan yang boleh dikatakan hanya untuk orang-orang berada sehingga menarik perhatian orang-orang tertentu, saya ni betul-betul miskinkah? Sejauh mana kekayaan yang saya miliki? Tidak, tidak. Bukan soal itu, tetapi soal bagaimana anda menggunakan wang anda. Anda boleh sampai ke luar negara jika anda tahu menguruskan kewangan anda. Itu saja. Jangan mendekati saya kerana saya kaya atau kerana anda rasa saya seorang yang kaya. Saya ada seorang sahabat baik, dia sekarang menangguh pengajian seketika untuk belajar di sekolah pondok, pun perangainya sama saya. Ramai orang tertipu bahawa dia seorang yang miskin, padahal dia jauh lebih kaya daripada saya. Saya mengakui saya cuma seorang anak dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bezanya dia memiliki motosikal, dan saya tidak. Bezanya dia tidak memakai pakaian lusuh dan buruk seperti kebiasaan yang saya lakukan. Selain daripada itu, kami sependapat. Dia disenangi ramai, bicaranya menyejukkan hati orang ramai. Saya pula jenis yang berterus terang, kadangkala akan lantang bersuara dalam hal-hal yang saya rasa tidak betul. Namun begitu, kami berdua bersyukur kerana tetap disenangi ramai, sering dicari apabila ada yang memerlukan bantuan, tidak kira rakan atau kenalan. Alhamdulillah. Syukur kepada Tuhan yang memberi keupayaan kepada kami untuk membantu. Jika bukan kerana keizinan-Mu maka tidak ada kekuatan, kemahiran dan kebijaksanaan bagi kami untuk memberi pertolongan kepada hamba-hamba-Mu, iaitu orang-orang selain kami.

Ingatlah apa tujuan sebenar persahabatan. Sebab itu pernah saya katakan dulu dalam sebuah entri tidak lama dulu, mesejnya berbunyi begini, jika sesiapa bersahabat, bekerjasama dengan saya hanya kerana keuntungan dan kemewahan, dia akan berasa kesal dan kecewa. Sebab saya tidak tertarik pun dengan kemewahan. Saya pentingkan cita-cita saya, dan jangan peralatkan saya untuk cita-cita peribadi anda, sebab cita-cita saya bukan untuk diri saya dan bukan untuk diri anda semata-mata. Saya memikul nama saya sebagai landasan untuk mencapai cita-cita mutlak tersebut. Apa-apa yang didapati bercanggah atau mencapah dengan tujuan cita-cita tersebut, tidak akan saya terima untuk usul-usul bekerjasama. Walaupun pada sekali imbaskan, dari segi pelaksanaan dan rancangannya sama. Perbezaan matlamat tidak dibenarkan sama sekali untuk tujuan itu.

Ketegasan itu penting, sebab saya tidak mahukan sesuatu yang klise, sesuatu yang ada kontra dengan matlamat yang hendak dicapai. Tidak ada pertimbangan untuk mengubahnya sebab ini adalah hasrat dan cita-cita sejak beberapa tahun dahulu, dan saya mempunyai peta kehidupan yang harus telah ditanda setiap persinggahannya, bila, di mana dan bagaimana.

Sekian. Harap kepada sesiapa yang berkenaan, sila fahami pendirian saya.