BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 04, 2006

Maksud Namaku - Amien

Ya! Aku bersorak di dalam hati. Berita Utusan Malaysia, muka depan hari ini melaporkan sesuatu yang sudah lama aku tunggu-tunggu. Bertahun-tahun sebelum ini, aku menyimpan hasrat di dalam hati, apabila usiaku sekitar 40 tahun, aku akan menubuhkan institusi khas untuk melahirkan golongan manusia yang luar biasa. Anak-anak bangsa yang suatu masa nanti akan memegang teraju kecemerlangan negara dalam pelbagai bidang. Anak-anak bangsa yang taraf kecemerlangan dan sumbangan baktinya layak untuk menerima Hadiah Nobel.

Dulu aku merajuk panjang, bertahun-tahun aku merajuk. Aku menunggu kerajaan bertindak, namun tidak ada tindakan yang jelas. Bermula dengan sistem peperiksaan terbuka SPM, aku menunggu hasilnya. Tidak begitu jelas. Masih ramai ibu bapa, para pelajar dan para guru yang kabur dengan tujuan sistem SPM terbuka. Kini, hari ini, sekali lagi ditegaskan:

Kebolehan Am Pelajar.

Golongan yang akan dilibatkan dalam projek seumur hidup aku itu nanti, terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak golongan miskin. Sudah bertahun-tahun aku merancang semua ini. Rekabentuk kurikulum khas, sistem pengurusan institusi khas, program-program khas, strategi penjanaan ekonomi dan kewangan khusus untuk menubuhkan institusi ini. Ia adalah satu-satunya cita-cita muktamad yang aku tetapkan dalam diri ini.

Kerajaan telah sedar betapa ruginya sistem peperiksaan hari ini. Ya, sudah bertahun-tahun aku memberontak. Namun siapa aku? Aku bukan pegawai tinggi kerajaan, bukan menteri, bukan Perdana Menteri. Aku cuma seorang warganegara Malaysia, yang di dalam hati menanam hasrat untuk membantu dalam usaha melahirkan lebih ramai manusia yang boleh berbakti untuk negara. Aku mahu menjadi individu yang mencipta institusi sendiri, untuk menjalankan cita-cita yang sudah lama tertanam dalam jiwa ini.

Tidak ada gunanya hidup jika tidak dapat memberi sumbangan jasa dan bakti. Hidup adalah untuk memberi sumbangan. Jika kerajaan tidak sedar-sedar atau tidak mahu bertindak, aku akan bertindak terlebih dahulu. Sistem yang aku rancang ini tidak bercanggah dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hari ini, aku gembira dengan kesedaran yang ditonjolkan oleh pihak kerajaan. Aku akan menyokong penuh usaha ini.

Aku telah memulakan langkah kecil, dan hari ini sekali lagi aku menerima badai berita yang menguatkan lagi semangatku, cita-cita aku akan berjaya. Doa dan hajatku akan makin tercapai untuk melihat satu sistem pendidikan unggul, fleksibel dan berkesan.

Kerajaan telah bertindak, aku juga... harus bergerak dengan lebih pantas. Dalam masa yang singkat... kekayaan material dan ilmiah harus dikumpulkan, diatur dan dirancang untuk membangunkan institusi istimewa. Tindakan dan cetusan terbaru oleh pihak kerajaan telah mempermudahkan jalanku untuk mencapai cita-cita ini. Ya, Tuhanku... izinkan aku mencapai cita-cita ini. Dan aku bersyukur kepada-Mu kerana semakin hari semakin kau permudahkan langkahku untuk menggapai cita-cita ini.

Dan namaku... yang bermaksud Pemimpin Berilmu... adalah nama dan maksudnya yang diberikan oleh ayahandaku sejak lebih dua dekad yang lalu. Aku akan memikul nama ini seumur hayatku, menjayakan misi muktamad, cita-citaku yang paling muktamad!

Institusi khas itu akan kudirikan, dengan kekayaan dan pengetahuan yang kuusahakan, dan menerusinya akan lahir ratusan anak-anak generasi bangsa Malaysia baru yang lebih hebat akan lahir, lebih hebat daripada aku, agar masa depan bangsaku akan terus terjamin. Mengejar kesempurnaan kehidupan di dwi-dunia.

Maafkan aku, aku tidak tertarik kepada kemewahan dan kemegahan mahligai dunia, yang aku kejar adalah cita-citaku. Sesiapa yang bermotifkan kemewahan dan keuntungan peribadi, ketahuilah... anda akan gagal untuk bekerjasama denganku, kerana aku adalah dari jenis manusia yang mencari kekayaan untuk mencapai cita-citaku.

Aku tidak tertarik terhadap rumah besar, tetapi aku suka untuk memilikinya jika rumah besar itu dihuni oleh anak-anak angkatku yang terdiri dari kalangan anak-anak yatim. Dan bahagian-bahagian dalam rumah itu akan kujadikan perpustakaan dan tempat menimba ilmu.

Aku tidak tertarik dengan kereta-kereta besar dan mewah, tetapi aku suka untuk memilikinya jika kenderaan itu dapat diguna untuk membawa anak-anak angkatku yang terdiri dari kalangan anak-anak yatim untuk mencapai hasrat dan cita-citaku. Moga mereka akan melapisi generasi terdahulu untuk mencipta kecemerlangan manusia pada masa akan datang.

Aku tidak tertarik dengan jumlah wang yang besar, tetapi aku inginkan wang itu untuk membiayai institusi yang bakal kudirikan, dan wang ini akan menjadi modal untuk menjanakan lebih banyak wang untuk mencapai cita-citaku.

Aku tidak tertarik pada wanita yang secantik bidadari, tetapi aku suka jika bidadari itu berilmu pengetahuan, setia, patuh, bijaksana, berilmu, tabah dan taat kepadaku dalam usaha untuk mendidik anak-anak ini mencapai tahap kemanusiaan yang lebih baik.

Aku tidak tertarik dengan tanah-tanah lapang dan ladang-ladang yang luas, tetapi aku suka jika tanah-tanah itu kelak di atasnya didirikan bangunan-bangunan yang kegunaannya nanti adalah untuk membentuk anak-anak angkatku menjadi manusia seperti yang aku cita-citakan sebelum ini.

Aku tidak tertarik dengan pangkat dan kuasa, kerana aku terlalu sibuk untuk mengurus dan mendidik anak-anak angkatku yang terdiri dari kalangan anak-anak yatim ini untuk menjadi manusia yang aku harap-harapkan, dengan kaedahku sendiri, sistem yang kucipta sendiri, berdasarkan apa yang telah kufikirkan, kurenung, kutafsir, kuhayati, kurasai selama ini.

Aku tidak tertarik dengan pengiktirafan akademik, ijazah, sarjana dan doktor falsafah, tetapi aku suka jika dengan adanya pengikirafan ini akan mempermudahkan aku berurusan dengan ramai orang untuk membolehkan aku mencapai cita-citaku. Bagiku ilmu itu boleh dipelajari, yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan ilmu, bukan bagaimana kita menggunakan pengiktirafan itu untuk kepentingan diri. Seorang tukang sapu lebih baik jika dia mampu memanfaatkan ilmu dan teknik menyapu sampah berbanding seorang doktor yang cuma tahu dihormati tetapi gagal memberikan bakti yang baik, sumbangan yang ikhlas, pengorbanan yang tulus.

Aku tidak tertarik dengan usia yang panjang, dan kesihatan yang cemerlang, tetapi aku mahukan kedua-duanya supaya aku akan mampu melaksanakan tugas-tugasku, usaha-usahaku untuk mencapai cita-citaku.

Selama beberapa tahun ini, aku tidak pernah memiliki sebarang pengangkutan. Aku cuma bergerak ke sana ke mari dengan sepasang kaki, dan baju-baju lusuh yang sudah lebih satu dekad lamanya. Namun jangan sangka aku ini orang yang tidak berwang, kerana aku menyimpan wangku untuk cita-cita dan tujuanku. Aku bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mengesani cita-citaku. Tidak ada halangan. Bebas.

Aku ini kedekut, tetapi kedekutku pada orang-orang yang kurasakan berkemampuan. Aku ini kedekut, memakai baju lusuh, sandal buruk, telefon bimbit yang rosak, barangan murah, tetapi aku tidak kisah beratus-ratus duit dan wang sakuku habis untuk mencapai cita-citaku, untuk membantu anak-anak muridku dan anak-anak yatim piatu. Aku ini kedekut tetapi kedekutku bertempat. Aku mungkin tidak pandai bergaya, baju-baju yang kupakai adalah baju-baju tahun-tahun lepas, melainkan aku dibelikan baju-baju baru oleh ibu bapaku, tetapi aku tidak kisah. Sebab aku tahu aku ini orang yang kedekut. Namun aku memohon kepada-Mu, agar berikan aku kemampuan untuk membantu orang-orang yang selayaknya mendapat bantuan dengan izinmu. Jika aku tidak berwang, maka ilmu-ilmu yang kupelajari itu akan menjadi ganti, kuajarkan kepada anak-anak muridku. Selalunya ilmu itu adalah lebih berguna dari wang dan material. Jangan kata aku ini menyusahkan diriku sebab sanggup berulang-alik beratus-ratus kilometer, mengikat perut semata-mata untuk bertemu dengan anak-anak muridku.

Ini aku... ini kehidupan aku. Dan aku merasai ketenangan dalam kehidupan seperti ini. Aku ini manusia yang tidak suka tunduk kepada sesiapa pun, tetapi aku ini manusia yang suka-suka melakukan sesuatu yang boleh memberi sumbangan. Aku ini manusia yang pantang diperalatkan, sebab aku ini manusia yang melakukan sesuatu dengan kerelaanku, bukan dengan paksaan. Aku akan membantu apabila aku suka membantu... ini aku.

Jika suatu hari nanti ditakdirkan aku kehabisan wang dan kelaparan, mati kelaparan, tetapi aku seronok dapat menggunakan wang yang aku ada untuk membentuk anak-anak muridku menjadi manusia. Aku mati sambil tersenyum mengingatkan ini.

Apakah tujuan kekayaan dan kuasa? Tidak ada maknanya kedua-dua ini bagiku selain untuk mencapai cita-citaku dan maksud namaku. Aku tidak peduli apa maksud namaku yang sebenar, jika dalam apa-apa bahasa ia tidak membawa maksud pemimpin berilmu, tetapi aku akan memegang maksud namaku seperti apa yang telah disampaikan oleh ayahandaku kepadaku, namaku ini bermaksud Pemimpin Berilmu. Maksud ini adalah dari lisan ayahandaku.

Aku memegang maksud nama Amien, aku memikul maksud nama ini seumur hayatku. Hari ini, aku menulis mengenai cita-citaku. Sebab sudah tiba masanya untuk aku melangkah dengan semakin pantas.

Kerajaan sudah makin sedar, jadi aku pun patut sudah mula melaksanakan sesuatu. Tidak perlu aku rahsiakan cita-citaku lagi. Moga-moga ini akan mempermudahkan lagi aku untuk menemui orang-orang yang jujur dan ikhlas agar cita-cita ini semakin mudah digapai.