BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 09, 2006

San Chai Bukan Pembunuh

Sayang sekali, keupayaan server di tempat saya membataskan kemudahan untuk mengkritik blog. Jika ditakdirkan server sudah baik, saya akan mengulas blog Orange.tk, Mr.shai dan Basri. Dah lama agaknya saudara-saudara jurnalis ni menunggu. Tunggulah apabila keadaan sudah makin baik. Kemudian barulah saya akan memenuhi permintaan Ustaz Muda dan lain-lain dalam senarai pengkritik blog.

Hari ini, saya berasa bangga apabila menerima mesej yang berbunyi:

"Pengkritik... hari ini saya posting dalam Bahasa Melayu yang betul dan lengkap."

Nampaknya tidak sia-sia saya mengulas dan mengkritik blog. Demi Bahasa Melayu dan kalau mahu guna Bahasa Asing sekali pun, biarlah dieja dengan betul. Itu saja. Kalau lebih baik, lebih bagus. Namun, inisiatif yang diambil oleh San Chai cukup menyentuh hati saya. Oleh itu, daripada tidak dapat mengulas blog, biarlah saya mengulas entri di dalam blog San Chai.

Tajuk entrinya ialah Aku Bukan Pembunuh. Menerusi entri ini, San Chai menceritakan rasa bersalah dan kesalnya terhadap seekor kucing. Semua ini tidak disengajakan. Saya berpendapat San Chai tidak bersalah. San Chai tidak sengaja. Kucing adalah binatang yang tidak berakal. Namun kucing tetap memiliki emosi dan perasaan. Rasa takut. Rasa takut boleh menyebabkan kucing bertindak di luar kawalan.

Hidup mati kucing itu tidak diketahui. Tiba-tiba saya teringatkan kisah kucing Nashrex yang mati akibat buasir. Maaf Nashrex sebab mengungkit kisah silam yang menyedihkan ini.

Sudah takdirnya kucing itu pergi. San Chai, awak tidak bersalah. Jangan jadi Soh Chai. Apa maksud Soh Chai? Entah, saya tidak berminat untuk mengetahuinya. Sekadar menyebutnya di sini. San Chai bukan Soh Chai. Baiklah, cukup saya mengarut di sini.

Apa yang nak saya tulis lagi di sini? Barangkali ketika saya sedang menulis ini, kucing itu telah pun pergi meninggalkan alam ni. Cuma jasadnya sahaja, entah bagaimana.

Oh ya, sebelum itu. San Chai, mungkin kesilapan itu kadangkala boleh berlaku. Namun saya ingin menegur San Chai. Penggunaan 'di' untuk perbuatan dan tempat adalah berbeza.

Di telefon = Apabila merujuk kepada tempat adalah jauh, bukannya 'ditelefon'. Dalam kontek ini, San Chai merujuk kepada perbuatan bercakap di telefon. Tempat bercakap ialah di telefon.

Ayat sepatutnya: Bercakap 'di telefon'.

Begitu juga penggunaan
'di' dan 'hadapan'. Penggunaan yang betul ialah 'di hadapan' dan bukannya 'dihadapan'.

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam karangan ini tidak salah. Sebab bagi saya tidak semua perkataan kelihatan tepat dengan tujuan penggunaannya apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak tidak salah sekiranya istilah yang digunakan itu boleh menyebabkan orang mudah faham atau lebih faham.

Saya sendiri pun akan menyelitkan istilah Bahasa Inggeris atau Bahasa Asing yang lain sekiranya tidak bertemu dengan perkataan yang sesuai dalam Bahasa Melayu. Saya juga masih berusaha memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu saya.

Tahniah San Chai, usaha anda amat saya puji.