BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 02, 2006

Bistik, Sindrom Down dan...

Setiap kali pergi ke kafe untuk makan malam, selalunya aku akan memesan telur bistik dengan nasi putih. Sehingga mak cik yang menjaga di kaunter mengenaliku dengan pesanan itu. Sudah beberapa kali dia bertanya kepadaku kenapa aku begitu suka makan telur bistik dengan nasi putih. Dia bertanya dan dia juga menjawab, aku pula cuma mengangguk.

Ini rahsia yang tidak boleh aku ucapkan dengan mulutku sendiri, secara lisannya. Aku masih ingat semasa kecilku, dibawa makan bersama keluarga ke sebuah restoran. Di situ, apabila tiba giliranku untuk membuat pesanan, Bondaku akan memesan telur bistik. Aku belum pernah berjauhan dengan keluarga, sehinggalah aku melanjutkan pengajian ke universiti. Dan, setiap kali aku memesan telur bistik, itu tanda ingatan buat Bondaku. Juga aku sering kali mengingati bistik daging arnab yang pernah dibuat oleh Bondaku, juga setiap kali hari raya korban, Bondaku juga akan memasak bistik daging. Namun sudah sekian lama aku tidak merasai resepi ini, sebab sudah lama aku berjauhan dengan keluargaku pada setiap Hari Raya Korban. Cuti cuma seketika. Berakhir dan berlalu...

Awal tahun ini, Busuku meninggal dunia. Dia adindanya kepada Bondaku. Busuku itu mengalami Sindrom Down. Cacat lahir. Tahun ini tidak ada takbir raya. Selalunya dia mengalunkan takbir itu setiap kali menjelang raya. Begitu suka dia pergi ke masjid, menurutiku solat sunat hari raya. Tahun ini Bonda menitiskan air mata, mengenangkan Busu.

Aku... aku ini terlalu dingin. Susah mahu menyatakan perasaan dengan secara luaran. Cuma tulisan, tertitis kesayuan dalam hati ini.