BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, November 10, 2006

Buku-buku Yang Dikasihi

Sudah lama aku di perantauan. Aku jarang-jarang sekali pulang ke rumah. Seingat aku, apabila tiba di rumah nanti, aku perlu bersihkan daun-daun dan tumbuhan yang menjalar masuk ke dalam rumahku menerusi tingkap bilik. Aku juga perlu menghalau binatang-binatang kerdil, katak pisang, jengking, tikus dan mungkin ular yang bertapa di dalam bilikku.

Pada Aidil Fitri lalu, aku berpeluang merasai hari raya di kampung di Timur itu. Sudah lima tahun tidak pulang beraya di sana. Teringat pula aku akan satu soalan yang pernah dikemukakan Syafiq, anak yatim yang kukenali di Rumah Barkat,"Tak balik kampung, tak rindu emak ayahkah?" Kalau semua yang di kampung berangkat ke kampung satu lagi, macam mana nak pulang ke kampung yang jauh di Timur itu. Aku menerangkan.

"Raya tahun ni pulang ke mana?"

"Pontian." Jawab Syafiq.

"Seronok beraya dekat kampung?"

"Tak..." jawabnya sambil menundukkan kepalanya.

Pada ketika itu aku bercadang, jika ada anak-anak yatim di situ yang tidak pulang, ingin aku bawa mereka pulang ke kampungku. Biar mereka bertemu dengan adik-adik sepupuku. Biar mereka sama-sama membentuk kumpulan kanak-kanak pergi berhari raya dari satu rumah ke satu rumah seperti kanak-kanak yang lain. Adik-adik sepupuku, rata-rata terdiri daripada anak-anak yatim juga. Ibu saudara dan bapa saudaraku ramai yang telah meninggal dunia.

Ya, rindu aku pada kampung itu tetap ada. Namun peluang untuk balik itu tidak semestinya ada. Namun aku pulang juga pada setiap hari raya, di kampung yang satu lagi. Jika aku tidak pulang, adik perempuan kesayangan aku akan bising-bising, menyerbu SMS dan Friendster. Menelefonku. Bonda aku juga akan menelefonku. Ya, aku ingat lagi beberapa tahun dahulu bila aku tidak pulang bila tamat praktikal mengajar di sebuah sekolah. Aku suka-suka menambah minggu praktikal mengajar, mengajar suka-suka di sekolah itu.

Bondaku pula bising-bising suruh aku pulang. Anak orang lain dah habis praktikal cepat-cepat pulang ke kampung, aku pula sebaliknya. Seronok mengajar. Namun, untuk memenuhi permintaan bondaku, aku pulang juga, sebelum itu sempat aku menurunkan autograf ke cadar katil setiap anak-anak muridku dengan pen marker yang kugunakan untuk menulis di papan putih. Anak-anak muridku berebut-rebut minta supaya diturunkan autograf. Ini hari terakhir. Kita mungkin takkan jumpa lagi. Ada pula yang memberiku duit kertas supaya menurunkan autograf di atas duit itu. Nak letak dalam bingkai, kata mereka. Tahun-tahun itu telah pun berlalu. Budak-budak itu ada yang sudah besar, masuk ke universiti sekarang.

Balik ke rumah. Malam hari, sekitar jam 11 malam. Aku tiba di rumahku. Bandaraya Islam itu telah berkembang dengan pesat. Tidak ada lagi Bulatan Kijang.

Sampai ke rumah, ayahandaku sudah terlena. Kebiasaannya ayahandaku tidur jam 10.30 malam. Aku masuk ke bilikku. Ada dua buah kotak besar. Dalam kotak itu berisi buku-buku teks, buku-buku rujukan lama. Dari peringkat UPSR, PMR, SPM hinggalah ke institusi tinggi. Ada juga buku-buku yang lain.

"Buku-buku ni nak hantar ke pusat kitar semula." beritahu adikku.

Rumahku memang penuh dengan buku. Boleh kata semua buku-buku dekat rumah ini sudah aku baca. Macam-macam jenis buku. Pelbagai bidang. Tiba-tiba aku terasa berat hati.

Aku lantas membongkar kotak-kotak itu. Aku bertemu buku-buku yang pernah dihadiahkan kepadaku sekitar satu dekad yang lalu. Pelajar Terbaik Tingkatan 1. Pelajar Terbaik Tingkatan 2. Pelajar Terbaik Tingkatan 3. Pelajar Terbaik SPM. Buku-buku itu terus kuasingkan. Sayang. Ini hadiah, tak boleh dikitar semula.

Kemudian aku melihat buku-buku teks dan buku-buku rujukan UPSR, PMR dan SPM. Eh, ada lagi? Adikku memberitahu, buku-buku ini sudah tidak selari dengan silibus kurikulum zaman sekarang. Sayang sekali buku-buku Sains dan Matematik ini. Sayang sekali buku-buku Biologi, Kimia dan Fizik ini. Aku sebenarnya berhajat untuk membawa buku-buku ini ke sana, ke Rumah Barkat.

Tahun depan Matematik dan Sains akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Adik-adik sepupuku pun sudah tidak mahu terima buku-buku ini. Sebelum ini memang banyak juga buku-buku rujukan yang diberikan kepada adik-adik sepupuku dan anak-anak jiran.

Tiba-tiba aku terfikir, jika tidak ada perubahan seperti itu, sudah tentu buku ini boleh diguna pakai lagi? Ah, mengenai bintang Pluto itu?

Buku-buku yang kukasihi. Selamat tinggal. Selamat dikitar semula...

Buku-buku hadiah itu pula aku tenung lama-lama. Aku harap anak-anak murid aku juga akan menghadapi kejayaan yang sama. Begitu juga tiga orang anak yatim yang akan menghadapi SPM tahun ini. Jangan lemah semangat. Tidak bermakna kalian, anak-anak yatim tidak mampu berjaya seperti orang yang ada ibu dan ada ayah.

Aku berharap akan ada kelapangan untuk ke sana lagi. Minggu peperiksaan sudah bermula.